27hb Mei 2013- 2 June 2013
Sudah lama saya berimpian
untuk menjejaki kota Istanbul, Turki. Bila menulusuri sejarah
kegemilangan Tamadun Uthmaniah dan kisah kehebatan anak muda Sultan Muhammad
Al-Fateh, hati sentiasa meronta-ronta untuk ke sana. Saya sentiasa berharap dan
berdoa semoga suatu hari saya akan sampai ke juga ke sana. Alhamdulillah Allah
tidak memandang doa saya sia-sia. Akhirnya
pada tarikh dan masa yang dirancang, saya bersama-sama dengan suami sampai ke
negara Impian saya selepas Mekah dan Madinah. Walaupun saya pergi atas urusan pembentangan kertas kerja saya di
4th Global Islamic Markerting conference yang telah diadakan di The Best West Plus
Presiden Hotel. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengenali Kota bersejarah
ini. Kota di mana runtuhnya sistem kekhalifahan terakhir di dalam sejarah
Tamadun Islam.
Hotel yang saya tinggal adalah Hotel Nanda, yang terletak kira-kira 3 KM dari Istanbul Universiti, dekat dengan station Tram (kalau Malaysia
LRT) perhentian Leili Universiti. Kalau nak ke Grand Baazar cuma mengambil masa
lebih kurang 10 minit jalan kaki. Grand Bazar adalah Pasar terbesar di dunia yang telah
dibina pada masa pemerintahan Sultan Muhammad Al-Fateh. Hotel ini
tak adalah bertaraf lima bintang atau empat bintang. Sewa hotelnya pun bolehlah
RM1800 untuk 6 malam. Pada saya bila bercuti luar negara ni terutamanya di sebelah-sebelah
Eropah, biarlah ambil hotel biasa-biasa sahaja, sebab banyak lagi duit boleh
guna untuk buat benda lain di sana. Lainlahkan kalau dah kaya sangat-sangat. Bolehlah
nak tidur kat hotel bertaraf lima bintang Lagipun fungsi hotel di sini betul-betul
digunakan untuk tempat saling baju dan tempat tidur sahaja. Dalam bab ini saya
kagum dengan sepasang suami isteri dari Indonesia, yang merupakan peserta
conference. Kedua-duanya masing-masing menyambung pengajian di peringkat PhD. Mereka
menyewa services apartment di sini, siap bawa beras dan macam-macam makanan .
Katanya mereka tak lalu hari-hari nak mengadap makanan orang Eropah ni. Dalam
hati saya “Betul juga cakap dia ni, saya dah kali kedua datang ke Bumi Eropah
masih tak belajar dari kesilapan, Please take note wahai diri.. Next time kalau
pergi tempat yang kita tak biasa dengan budaya makanan di orang, sewalah
service apartment. Kalau tak lalu makan luar, boleh masak. At least masak nasi
dan goreng telurpun dah cukup.”
Kami sampai di Antartuk Airport jam 5.30 pagi. Dah habis
waktu subuh di sini. Matahari naik jam 5.15 pagi. Oleh kerana badan terlampau
penat, kami memilih untuk menaiki teksi ke hotel. Teksi tu kami cari di luar airport.
Jarak dari airport ke hotel kami lebih kurang 15KM. Tambang teksi 35
Lira.
Sampai sahaja di hotel, kami tak boleh nak check in lagi sebab waktu check in adalah pukul 12.
Pihak hotel yang baik hati dan memberi kami breakfast free pada hari itu.
Alhamdulillah. Kami turun ke restoran
untuk makan pagi. seperti biasalah di negara sebelah-sebelah Eropah ni.
Pelbagai bijirin, juice, roti dan juga
salad di kaunter hidangan. Sayapun tak pandai nak makan makanan kat sini sebenarnya. Saya hanya
mengambil bijirin dan nasib baik saya ada bawa bekal kopi Guara.
Selepas bersarapan pagi itu saya meminta kepada pihak hotel
untuk menumpangkan beg pakaian saya di kaunter. Kami mengambil kesempatan
berjalan-jalan di sekitar kawasan hotel. Suasana sunyi sekali. Kedai-kedai di
sini dibuka pada jam 9.00 pagi. Satu lagi keadaan yang melemahkan saya di sini
adalah jalannnya berbukit, bangunan hotel dan rumah kedai di buat di
lereng-lereng bukit yang tidak ditarah. Penatnya mendaki hanya Allah sahaja
yang tahu. Pesanan saya pada siapa yang nak datang ke sini, jangan pakai kasut
tumit tinggi, kalau pakai kasut sukan lagi bagus.
Selepas bersiar-siar di kawasan sekitar hotel, saya balik
semula ke Hotel dan check in. Kami
melelapkan badan seketika untuk menghilangkan penat dalam perjalanan. Bila tiba
waktu petang, saya mengajak suami saya tunjukkan tempat saya conference esok,
berbekalkan peta yang ada di tangan, akhirnya saya sampai juga ke The Best West
Plus, Presiden Hotel. Alhamdulillah jaraknya taklah jauh dari
tempat saya tinggal. Tapi memandangkan bangunan di sini hampir sama, dan di celah-celah bangunan pula jalan
orang lalu lalang, Saya tak yakin kalau saya balik seorang-seorang kat Hotel daripada tempat conferece boleh
lepas ke tidak. Oleh sebab itu, tugas utama suami saya di sini adalah menghantar
dan mengambil saya balik dari conference. Mmmm time-time macamnilah nak
mengada-ngada lebihkan.
Masa saya pergi ke Istanbul, cuaca di
sini tersangat baik, tak terlampau panas dan juga tak terlampau sejuk. Suhu dalam
16 darjah Celsius. Baru nak berubah musim dari musim sejuk ke musim panas.
Balik dari tempat conference kami berjalan –jalan di sekitar hotel, tanpa kami sedar kami dah sampai ke Grand Bazaar. Pasarnya dari luar nampak macam dah tua sangat-sangat. Tapi bila masuk ke dalam boleh sesat. Sebab pasar ni sangat besar terdapat lebih
daripada 4,000 buah kedai. Macam-macam ada.
Pemandangan dari luar Grand Bazar |
Pemandangan dari dalam Grand Bazar |
Kami berjalan beberapa seketika
sambil mencari-cari apakah yang sesuai untuk dijadikan makan malam. Akhirnya
kami memilih roti keju. Roti ni macam roti canai tapi dalamnya letak keju dan
juga daun saderi. Sedaplah juga makan, tapi kat sini tak ada kuah kari
atau dal, so saya makan dengan sambal bilis tin yang saya bawa. Mmmm
cukuplah untuk alas perut saya dan suami.
Dalam roti ni ada keju, daun sup dan daun bawang |
Roti yang ala-ala roti canai kat Malaysia |
Balik di hotel saya fokus kepada research saya, sebab esok
adalah giliran saya kena present paper. Macam biasa bertungkus lumus dan
bersengkang mata study, itulah namanya belajar. Kalau tak sanggup nak buat
kerja ni awal-awal lagi cakap jangan belajar. Sambil bertungkus lumus belajar, sesekali mata saya menjeling ke arah suami yang tengah syok melayan cerita-cerita Turki
di kaca TV. Terdetik di hati saya. “Faham ke dia ni tengok cerita
Turki ni, dahlah semua bahasa Turki, tak ada translation plak tu.” Saya
tergelak sendiri. Nak buat apa lagikan,
nak keluar isterinya tengah study, layan jelah TV tu” Detik hati saya sendiri. Bila dia tengok saya
tergelak sorang-sorang. Matanya terus menoleh ke arah saya dengan berkerut di
dahi. Alamak dia perasanlah..seperti biasa cara untuk control line, Saya buat-buat tak tahu dan macam tak ada apa-apa yang berlaku. Tiba-tiba
terus fokus pada kertas kerja yang ada di tangan saya. Study punya study entah pukul
berapa saya terlelap saya sendiri tidak pasti.
Hari Kedua (29 Mei
2013)
Saya tersedar, bila jam menunjukkan pukul 4.00 pagi. Kalau
kat Malaysia dah pukul 8.00 pagi. Terus bangkit dan bersiap
untuk bertahajud, Selepas bertahajud
saya mengangkat tangan berdoa:
Ya Allah
Ya Tuhanku,
Kau ampunilah dosa-dosaku,
Dosa kedua ibubapaku
yang amat aku kasihi,
Dosa ibu dan ayah
mertuaku,
Dosa suamiku,
Dosa anak-anakku,
Dosa ahli keluargaku
Dosa guru-guruku yang
telah mendidikku dari kecil hinggalah dewasa.
Dosa anak didiku
Dosa sahabat-sahabat
yang kukasihi
Dan dosa untuk saudaraku
muslimin dan Muslimat sekalian
Ya Allah Ya Tuhanku
Aku sangat-sangat
merasa bersyukur
Kerana kesempatan yang
Engkau berikan
Untuk aku sampai ke
sini
Untuk aku mengenali
bumi ciptaanMu
Untuk aku terus
mensyukuri segala Nikmat dan PemberianMU.
Terima Kasih Ya Allah,
atas nikmatMu
Ya Allah Ya Tuhanku
Peliharalah
anak-anakku,
jauhilah mereka dari segala mara bahaya
jauhilah mereka dari segala mara bahaya
Ubati kesedihan mereka
Kerana ditinggalkan
oleh kami seketika.
Pulangkan kami kepada
mereka dengan selamat nanti,
Insya Allah dengan
izinMU.
Ya Allah Ya Tuhanku
Kau kurniakanlah segala
hajat fasi-fasi MAC
Yang telah mengirimkan
doa kepdaku.
Kerana kami mengerti di
antara orang-orang yang mustajab doanya.
Ialah doa orang yang
bermusafir.
Permudahkanlah segala
urusan mereka
Berikanlah kejayaan
kepada mereka di dunia dan akhirat.
Ya Allah Ya Tuhanku
Permudahkanlah urusanku
di sini
Jadikanlah musafir kami
di sini
Musafir yang mendapat
pahala ibadah dariMu
Musafir yang mendapat
RahmatMu
Musafir yang
mendapat keberkatanMU.
Amin Ya Rabal Alamin.
Selepas selesai
berselawat kepada junjungan besar Rasulullah
SAW. Saya terus mengaminkan doa
dengan linangan air mata yang jatuh di pipi. Terasa tenang dan damai sekali.
Habis sahaja berdoa kedengaran azan subuh sambung menyambung. Saya difahamkan
di Istanbul ini ada lebih dari 3000 buah masjid di sini dan jarak di antara
satu masjid dengan satu masjid yang lain adalah dekat.
Selepas menunaikan
solat subuh, perut saya terasa lapar. Kalau ikutkan waktu Malaysia dah
pukul 10.00 pagi, Patutlah lapar. Apa
lagi seperti biasa, Kalau bermusafir bekal yang saya tak pernah tinggal adalah
Mee Maggi. Pagi-pagi di sini mana ada
kedai buka. Lagipun musim sekarang waktu siang lagi panjang dari waktu malam. So tak ada pilihan melainkan paksa diri untuk
makan Mee Maggi, sementara menunggu waktu breakfast hotel pukul 7.00 pagi.
2 comments:
Salam sejahtera
Kalau nk pergi turki dokumen ap yg perlu disediakan.selain dr pasport merah
En Naim.. Minta Maaf, saya dah lama tak menjenguk blog disebabkan kesibukan yang melanda. Cuma perlu bawa pasport sahaja. tak perlu visa
Post a Comment