Showing posts with label Anak. Show all posts
Showing posts with label Anak. Show all posts

Saturday, 31 January 2015

Lapan resepi mendidik amanah Allah

Anak adalah anugerah Allah yang tidak ternilai. Mereka bukannya harta dan perhiasan dunia semata-mata, malah mereka juga adalah bekalan dan aset kepada kedua ibu bapa selepas pergi meninggalkan dunia ini. Saya seringkali ditanya bagaimanakah cara yang terbaik untuk mendidik anak-anak. Berdasarkan kepada pengalaman dan juga pemerhatian saya terhadap kawan-kawan yang berjaya mendidik anak mereka menjadi anak-anak yang cemerlang, di bawah ini saya kongsikan lapan tips untuk mendidik anak menjadi anak yang cemerlang di dunia dan di akhirat. Insya Allah,



1.Perhatian
Anak merupakan amanah dari Allah SWT yang memerlukan perhatian dan kasih sayang yang sepenuhnya dari kedua ibu bapa. Anak-anak yang kurang perhatian akan menjadi anak yang nakal, tidak mendengar cakap dan degil. Mereka akan melakukan perkara-perkara yang boleh menyakiti hati ibu bapa semata-mata untuk meraih perhatian daripada ibu bapa mereka.  Oleh itu berilah perhatian yang sewajarnya kepada anak-anak kerana bila mereka kaya dengan perhatian, mereka akan menjadi anak yang mendengar kata. Perhatian juga perlu terhadap bidang pendidikan mereka. Jangan menyerahkan tugas mengajar mengaji al-Quran kepada ustaz semata-mata, Ibu bapa juga mestilah tahu dan pandai mengajar mengaji . Kalau tak tahu kenalah belajar. Manakala di dalam bidang akademik pula, ibu bapa perlu tahu setakat mana prestasi pendidikan anak-anak mereka. Jangan terlalu menyerahkan tugasan mengajar hanya kepada guru atau pusat tusyen semata-mata. sehingga

2. Pujian
Pujian juga sangat penting untuk menjadikan mereka merasa dihargai. Sebagai manusia biasa, kita lebih suka dipuji daripada dikeji. Kalau kawan-kawan kita, kita boleh puji, kenapa begitu susah untuk memuji anak sendiri untuk mereka lebih rasa dihargai oleh kedua ibu bapa mereka.

3. Pelukan
Peluk anak bukanlah hanya pada anak-anak yang masih kecil. Anak-anak yang tengah meningkat remaja dan juga dewasa juga memerlukan pelukan daripada ayah dan ibu. Pelukan seorang ibu akan menghilangkan kegundahan  hati yang dialami oleh si anak dan akan membuatkan jiwa anak menjadi tenang.

4. Perkataan
Pilihlah perkataan yang baik-baik tak kala bercakap dengan anak. Kalau kita seringkali memilih perkataan yang boleh melukakan hati mereka, mereka akan lebih suka menceritakan masalah mereka kepada orang lain berbanding kepada kita.  Bila anak sudah mencari orang lain untuk menceritakan masalah kepada mereka, jangan terkejut bila suatu hari nanti kita sudah tidak mengenali anak sendiri. Selain itu sentiasalah memberikan kata-kata motivasi kepada anak untuk menjadikan mereka sentiasa bersemangat di dalam melakukan apa juga aktiviti.


5. Pendidikan
Pendidikan di sini merangkumi pendidikan akhlak, agama dan juga akademik. Seimbangkan antara ketiga-tiga pendidikan ini. Insya Allah anak-anak kita akan dipaternkan dengan gaya pendidikan yang lengkap untuk keperluan mereka dunia dan akhirat.



6. Pukul
Pukul juga penting sebenarnya untuk mengajar mereka hukuman yang mereka akan dapat jika mereka melakukan kesalahan. Kalau kita tidak pernah bertegas dengan mereka, mereka akan “naik lemak” dan lama kelamaan mereka akan susah untuk dibentuk menjadi manusia  yang baik. Rotan boleh, tapi jangan dengan nafsu amarah, rotanlah anak dengan penuh kasih sayang dan dengan bertujuan hendak mengajar bukan untuk mencederakan.

7. Penghargaan
Setiap manusia akan gembira bila dihargai. Begitu juga dengan anak kita. Mereka akan rasa bangga bila ibu bapa mereka yang menghargai hasil usaha mereka. Belajarlah menghargai mereka walaupun dengan memberikan hadiah yang bernilai RM5. Dengan itu mereka akan bersemangat untuk melakukan sesuatu yang baik.

8. Pantau
Pemantauan juga penting, sebagai ibu bapa mereka perlu tahu dengan sapa anak mereka berkawan. Bagaimana cara mereka bercakap. Tegurlah mereka apabila mereka mengeluarkan perkataan yang kesat dan tidak baik. Kalau mereka sudah terbiasa dengan perkataan kesat, jatuhkan hukuman. Kita tidak pernah mengajarkan mereka menggunakan perkataan kesat. Mungkin mereka dapat perkataan tersebut daripada kawan-kawan mereka yang lain.


Sekiranya kita dapat mempraktikan tips-tips di atas, Insya Allah anak-anak kita bakal menjadi anak-anak yang soleh di dunia dan akhirat. Mereka akan menjadikan kita sebagai sumber inspirasi, guru, kawan, polis malah segala-galanya dalam kehidupan mereka.

Monday, 19 November 2012

"Maafkan Akif Mama!!"

Gerimis pagi mengiringi perjalanan saya ke office, saya ada kelas pagi ni, ada pembentangan kertas kerja pelajar pukul 8.30 pagi. Pembentangan terakhir. Saya ke tempat kerja dengan perasaan yang berkecamuk di dalam diri, samada saya hendak menemani bujang sulong saya mengambil keputusan peperiksaan UPSR atau saya meneruskan pekerjaan saya.

“Hari ni, abang pergi teman akif ambil result, mama ada kelas. Nanti kalau sempat mama datang, apapun yang terjadi pada result anak kita, kita kena redha ya bang..” saya berpesan kepada suami sebelum melangkah keluar ke tempat kerja. Suami saya mengangguk tanda setuju.

Selepas habis kelas jam 8.30 pagi, saya bergegas menunaikan Solat Dhuha dan selesai membaca doa sunat dhuha Saya berdoa kepada Allah SWT.

Ya Allah Ya tuhanku! Hari ni result UPSR anakku keluar. Aku sentiasa memohon yang terbaik dariMu yang Allah. Sentiasa bermohon agar mendapat keputusan yang terbaik daripadaMu Ya Allah. Sebagai ibu aku sudah berusaha sedaya yang mampu untuk memberikan yang terbaik untuk anakku Akif. Walaupun apapun keputusannya hari ini. Semoga kami sekeluarga tenang dan redha menerimanya. Amin.

Tanpa sedar air mata saya menitis laju, pipi saya sejuk namun saya dapat merasakan ketenangannya. Keluar dari surau saya terus bergegas untuk ke sekolah Akif. Sekolah Keb Taman Putra Perdana. Kedengaran suara cikgu mengumumkan keputusan mereka yang mendapat 5A. Sekolah Akif berada di kedudukan kedua Daerah Sepang. Ada 27 orang pelajar yang mendapat keputusan 5A. Seorang demi seorang anak-anak yang berjaya mendapat 5A naik ke pentas. Saya memandang anak-anak yang menaiki pentas dengan tenang. Setelah habis senarai 27 orang pelajar. Nama Akif saya tidak dipanggil. Sah anak saya tidak mendapat 5A. Saya perlu mencari dia, di mana dia? Saya perlu memberikan sokongan kepadanya.

Bila saya mendapatkannya, air matanya terus mengalir.

”Mama Akif minta maaf…Maafkan Akif Mama” Dia tak dapat meneruskan kata-kata. Hanya air mata kecewa yang menitis. Saya terus memeluknya erat sambil melihat slip keputusan peperiksaan yang dihulurkan kepada saya. 4A 1B. Subjek Sains dapat B.

Saya menepuk2 bahunya..”Akif, Akif jangan nangis, Pada mama Akif dah melakukan yang terbaik. Oklah ni dapat macam ni. Anak lelaki memanglah result dia macam ni slow and steady.” Saya mula berseloroh untuk menenangkan perasaannya.

“Mama ni, Akif serius, mama main-main plak,”Sambil menyapu air matanya yang mengalir di tudung saya.Dia memang begitu. Bila menangis tudung saya yang menjadi sasaran. Saya tersengeh dengan membiarkan sahaja dia melakukan begitu. Abahnya diam tak terkata. Tapi saya perasan, mata abahnya berkaca. Terharu agaknya..

“Minggu depan mama cuti seminggu, mama nak cari sekolah tahfiz untuk Akif. Akif setuju? Kita doa sama-sama ya, semoga akif dapat belajar di sekolah tahfiz nanti” Saya menyambung kata-kata saya. Kedua mereka memandang saya. Akif hanya mampu mengangguk-anggukan kepala.

“So macam mana? Akif nak balik dengan mama ke? Mama dah nak balik dah ni..”..Saya memulakan pertanyaan. Bila melihatkan tangisan akif yang semakin redha.

“Mama pergilah baliklah dulu, Akif nak layan perasaan jap kat tiang sekolah ni” Dia mula berseloroh.

”Mmm ok gak tu, pegang tiang tu kuat-kuat. Takut terbalik susah pula nanti. Kesian kat adik nanti tak sempat habis belajar kat sini..” saya melawak lagi. “Nak layan perasaan tu jangan lama sangat, mama dengan abah nak pergi makan ni, karang ada pula yang lapar”..Saya menghabiskan ayat saya sambil meninggalkan dia sambil tersenyum.

Masuk sahaja di dalam kereta, saya menadah tangan berdoa..

"Alhamdulillah Syukur Ya Allah, aku sudah berikan yang terbaik dan aku sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anakku Zul Akif, dan aku bersyukur dan redha inilah yang terbaik untuknya. Terima kasih di atas segala pemberianMu ke atas kami. Amin..”

Mesej dan call berpusu-pusu masuk bertanyakan Akif dan saya melayannya satu persatu..:) Terima kasih semua.