Wednesday, 2 October 2013

5 tips berdepan dengan ego suami

Lelaki dan perempuan adalah dua makhluk ciptaan Allah yang sangat istimewa dengan mempunyai  identiti, sikap dan juga perangai yang jauh berbeza.  Sikap lelaki terkenal dengan ego, panas baran, dan tidak mudah mengalah,  lebih-lebih lagi pada isteri yang disayangi. Manakala sikap perempuan pula adalah ingin dimanja dan disayangi, mudah merajuk, mudah tersentap dan menangis terutamanya pada suami yang dikasihi. Perbezaan dua  karakter ini sangat penting diketahui oleh si isteri dan juga suami sebagai panduan ketika berlaku ketegangan di dalam rumah tangga. Berdasarkan daripada pengalaman dan juga penyelidikan, ingin saya kongsikan khususnya kepada golongan isteri, tips yang boleh dipakai bila berhadapan dengan ego suami.

1. Senyap dan berdiam diri

Ketika berselisih pandangan dengan suami, tidak guna untuk berperang mulut dengannya kerana lelaki selalu merasakan dia sentiasa betul. Tak ramai suami yang diberi kekuatan untuk mengaku kesilapan diri lagi-lagi kepada isterinya. Sebagai seorang isteri, ketika berlaku perselisihan dengan suami, langkah yang paling wajar diambil ialah diam. Kalau masalah itu besar, berikan dia masa untuk berfikir selama beberapa hari. Kalau suami rasa apa yang dikatakan isteri itu betul, maka dia akan dengar  dan akan mengikut apa yang disuarakan oleh sang isteri.  Elakkan dari bertengkar dan berperang mulut dengan suami kerana dibimbangi tindakan tersebut akan menderhakai suami. Dalam waktu berdiam diri, layan kehendak suami seperti biasa dengan ikhlas, cuma kurangkan bercakap dan banyakkan berdiam diri. Mudah-mudahan dengan mengambil tindakan berdiam diri, suami akan lebih memahami apa yang kita rasa.

2. Mulakan dengan meminta maaf.

Sebelum mengambil langkah untuk berdiam diri, minta maaf terlebih dahulu dan katakan dalam hal ini kita yang silap. Ini dinamakan teknik reverse psychology. Dalam hal ini tunjukkan kematangan kita dengan meminta maaf. Pernah dengar  ayat “mengalah bukan bererti kalah”.  Jangan mudah merajuk dan menangis di hadapannya. Perbuatan menangis dan merajuk sesuai bagi pasangan yang baru berkahwin tetapi tidak pada pasangan yang lebih lima tahun berkahwin. Suami akan cepat merasa rimas dan bosan. Dengan meminta maaf juga menunjukkan sifat seorang isteri yang bertakwa. Sebagaimana Allah Berfirman yang bermaksud:
Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, yaitu orang-orang yang menafkahkan, baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.(QS. Ali Imran: 133-134).

3. Menangkan suami

Sebenarnya tujuan isteri bercerita pada suami, bukan sebab nak cari gaduh atau nak menang dalam pergaduhan, tetapi tujuannya adalah untuk suami faham dan tahu apa yang isteri rasa. Betul tak?  Terkadang tu cara isteri bercerita membuatkan dia melenting tak pasal-pasal. Lagi-lagi kalau apa yang diceritakan isteri itu betul dan terkena batang hidung lagilah dia melenting. Bila si isteri rasa suhu suami sudah meningkat cuba redakan dengan meminta maaf dan mengalah. Jangan sekali-kali menambah kata-kata yang boleh melukai hatinya.

4. Bersabar dan Redha

Banyakkan bersabar dan redha dengan suami. Kemarahan itu bukan milik kita tetapi haknya. Jika kita tentang kemarahannya, ia akan lebih cepat terbakar atau merebak. Lagipun api bukan lawannya api sebaliknya hendaklah disimbah dengan air supaya padam. "Untuk meredakan, amalkan surah Toha ayat satu hingga enam dan baca sebanyak 1,000 kali. Tiup kepada wajahnya ketika dia tidur atau pada makanan atau minumannya. Insya-Allah akan lembut hatinya. Allah berfirman dalam surah Thoha yang bermaksud:
"Tha, Ha, (Hai manusia), tiada Kami turunkan al-Quran ini supaya engkau mendapat celaka. Melainkan peringatan bagi orang yang takut (kepada Tuhan). Wahyu yang diturunkan dari Tuhan yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. Tuhan yang Pemurah berkuasa di atas singgahsana. Kepunyaan-Nya apa yang ada dilangit, apa yang ada di bumi, apa yang ada di antara kedua-duanya dan apa yang ada di bawah tanah."
.(QS. At-Thoha: 1-6). 

5. Perbanyakkan berselawat kepada Nabi Muhammad SAW.

Takkala pergaduhan itu membuatkan sehingga isteri menitiskan air mata, maka perbanyakkanlah berselawat kepada junjungan besar nabi Muhammad SAW sebanyak 1000 kali. Selepas itu bermohon kepada Allah SWT supaya Allah membuka hati suami supaya menjadi insan yang lembut hatinya, sejuk jiwanya, tenang fikirannya untuk menerima nasihat sebagaimana sifat Rasulullah SAW takkala melayan isteri Baginda dan semoga Allah memberikan ketenangan untuk isteri untuk merawat lukanya sendiri dan menerima kelemahan dan kekuatan suami seadanya. Insya Allah bila Allah redha maka kehidupan kita akan menjadi mudah. Peringatan penting untuk si isteri adalah kuat dan hebat macam manapun isteri, syurganya di bawah tapak kaki suami. Mencari jalan damai adalah lebih baik daripada bertikam lidah dengan insan yang bergelar suami.

Jadilah isteri yang mempunyai sifat seperti air, yang boleh memadamkan api yang sedang marak menyala. 



No comments: