Showing posts with label Resepi Kejayaan 20 Jutawan Melayu di Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Resepi Kejayaan 20 Jutawan Melayu di Malaysia. Show all posts

Tuesday, 19 November 2013

Resepi Kejayaan Jutawan Tulang Gantian: En Romli Ishak

Assalamualaikum En Romli. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk saya menemubual En Romli. Untuk pengetahuan En Romli,  kajian ini bertajuk faktor-faktor kejayaan usahawan dari perspektif Islam. Sebelum kita mulakan temubual kita dengan lebih lanjut terlebih dahulu, saya nak minta En Romli  terangkan sedikit tentang latar belakang En Romli.

Waalaikumusalam, nama saya Romli Ishak, saya berasal dari negeri Kedah Darul Aman. Sedikit tentang latar belakang saya, saya merupakan anak yatim, ayah saya meninggal ketika saya berusia 2 tahun. Selepas usia saya 5 tahun mak saya kahwin lain. Bapa tiri saya tak nak saya dan mak saya buang saya. Dia hantar saya kat rumah datuk saya. Bermula dari peristiwa itu, saya dibesarkan oleh Tuk saya.

Walaupun saya dibesarkan dalam keadaan yang amat menyiksakan, tapi sebenarnya keadaan inilah yang telah banyak membina jati diri saya.  Saya duduk dengan atuk saya, yang tidak ada isteri masa tu. Atuk saya hantar saya sekolah, tapi dia pesan kat saya kalau nak sekolah tak boleh ponteng sekolah dan kena dapat nombor dalam peperiksaan 1, 2 dan 3 sahaja. Saya pernah kena rotan dengan atuk saya sebab dapat No 6. Macam manalah saya nak dapat no 1, 2, 3. Saya tak ada buku teks macam orang lain. Saya cuma ada buku tulis sahaja. Tuk saya tak mampu nak belikan saya buku teks. Hujung tahun 1975 barulah kerajaan bagi buku teks.  Masa saya pergi sekolah atuk saya bagi 10 sen sahaja. Masa tu 10 sen lepaslah nak beli nasi lemak satu bungkus, air saya minum air paip sahaja. Perut saya ni dah immune dengan air paip. Walaupun minum air paip saya tak pernah kena sakit.

Beberapa tahun kemudian atuk saya kahwin dengan orang kampung sebelah, saya dapat nenek tiri. Nasib baiklah nenek tiri saya ni baik orangnya. At least makan pakai saya terjaga, tapi masalahnya saya nak pergi sekolah jauh sebab saya terpaksa tinggal dekat rumah nenek tiri saya yang rumahnya jauh dari sekolah. Setiap hari saya kena kayuh basikal lebih kurang 10KM sehari. Imagine waktu tu saya masih sekolah rendah.  Badan berpeluh-peluh kayuh basikal barulah sampai sekolah. Tapi semangat saya sentiasa berkobar-kobar untuk pergi sekolah.  Lepas tu saya dapat result yang bagus dalam Peperiksaan Penilaian darjah lima dan saya dapat  masuk boarding school iaitu Sultan Abdul Hamid College. Sekolah Tun Dr Mahathir dulu.

Sewaktu saya masuk sekolah menengah, prestasi  pelajaran saya masa tu merosot, sebab saya selalu keluar sekolah untuk cari duit. Setiap hujung minggu saya akan balik berniaga, cikgupun faham dengan keadaan saya.   Kat asramapun saya meniaga macam-macam. Masa saya nak exam SRP, saya kena belajar dan fokus betul-betul, sebab nak dapat result yang baik dalam exam. Sebab sekolah tu pula tak dapat 15 agregat kena reject.  Saya sangat takut waktu tu. Takut kena buang sekolah. Orang kampung semua ingat saya belajar bagus kat sekolah tu. Masa tu siapa yang dapat masuk Asrama Penuh ni kira hebatlah. So saya sangat takut kalau-kalau saya kena buang sekolah. Habislah saya kena marah kat Tuk saya. Tiga bulan nak exam, saya tak keluar mana-mana. Saya fokus betul-betul pada pelajaran saya. Saya pulun belajar betul-betul. Saya baca yasin hari-hari. Saya solat hajat hari-hari, akhirnya saya dapat 13 agregat. OKlah at least saya tak kena reject dari sekolah tu.

Bila saya naik tingakatan 4, Saya dilantik memegang macam-macam jawatan kat sekolah, saya sangat sibuk  dengan persatuan waktu tu , sebab tu SPM saya teruk.  Saya cuma dapat pangkat dua sahaja, tapi pangkat dua masa tu, dah boleh masuk Universiti, akhirnya saya dapat masuk UPM,  ambil Diploma in Agriculture.

Itulah  serba sedikit tentang latar belakang hidup saya, walaupun saya dibesarkan di dalam keadaan yang sangat susah tapi saya bersyukur kerana kesusahan itulah yang menjadikan saya seorang yang tabah dan kuat semangat.


Ok,  En Romli berdasarkan pengalaman En Romli,  Apakah personaliti yang perlu ada pada diri seorang usahawan Muslim?

Pada saya, saya yakin dan saya nampak sebagai seorang usahawan Muslim kita perlu menjaga hubungan kita dengan Allah SWT samada di  waktu susah atau senang kita.  Kita kena percaya dan yakin semua yang berlaku di dalam hidup kita, adalah perancangan daripada Allah SWT. Oleh itu,  kita sebagai hamba kena yakin sepenuhnya kepada  Allah SWT.

Selain itu, untuk berjaya di dalam apa jua bidang yang kita ceburi, kita kena berusaha sehabis yang mungkin. Usaha up to the limit. Selagi mana tidak ada kata berhenti  jangan berhenti.  Macam mana kita nak tahu yang kita kena berhenti. Bila Allah SWT bagi kita sakit, bagi kita demam. Saya biasa masuk wad sebab demam.  Selain itu, selagi kita sihat dan mampu untuk bekerja kita kena kerja. Sebab dunia adalah tempat untuk kita bekerja bukan untuk kita berehat dan kerja juga merupakan satu ibadah.

Seorang usahawan muslim juga kena ikhlas di dalam menjalankan perniagaan mereka. Jangan sekali-kali menipu, suka ambil kesempatan kepada orang lain. Yang penting prinsip agama kena jaga.

Kebanyakan bisnesman yang rosak ni,  dia bukan pengasas  kepada perniagaan yang dijalankan, tetapi dia adalah  orang yang mewarisi perniagaan tersebut daripada keluarga dan sebagainya. Biasanya kalau dia yang mengasaskan perniagaan dia akan jadi seorang yang hebat.  Berbeza usahawan dengan CEO ini adalah usahawan  adalah orang yang merentas jalan, manakala CEO pula adalah orang yang menguruskan perniagaan.  CEO tak semestinya usahawan, tapi kebiasaannya usahawan boleh menjadi CEO sebab dia kena tahu everything di dalam perniagaan yang dilakukan.

Selain itu, bagi yang masih ada mak ayah. Kena jaga mereka baik-baik. Mereka adalah sumber kekuatan seorang anak. Saya cuma rapat dengan mak saya bila saya dah dewasa, bila ayah tiri saya dah meninggal dunia.  Mak saya dulu dan mak saya sekarang sangat berbeza.  Dulu mak saya dia buang saya sebab dia ikut perintah suami dia, dia kena taat pada suami dia, tapi bila ayah tiri saya dah tak ada. Saya cari mak saya balik. Doa  seorang ibu sangat mustajab. Sebagai seorang anak janganlah kita menyakiti hati mak ayah kita. Takut nanti dia  kata macam-macam kat kita, hidup kita akan susah nanti. Pada saya, kalau saya nak buat sesuatu saya akan minta mak saya tolong doakan untuk saya. Macam hari tu saya cakap kat mak saya, saya nak submit proposal  kat JCorp, Saya minta mak saya doakan untuk saya. Hari yang saya submit proposal tu. Mak saya dia puasa dan solat hajat untuk saya.

Bergambar selepas sesi temuramah dengan En Romli Ishak di Pejabat Beliau 
Nantikan buku bertajuk: Resepi Kejayaan 20 Usahawan Muslim Di Malaysia yang bakal muncul di pasaran tidak lama lagi, Buku ini akan menceritakan temubual saya bersama 20 Jutawan Melayu di Malaysia yang akan berkongsi kejayaan mereka di dalam bidang perniagaan yang diceburi

Wednesday, 23 October 2013

Resepi Kejayaan Jutawan Media: Datuk Husamudin Haji Yaacob.

Datuk Husamudin Haji Yaacob merupakan pemilik syarikat karangkraf yang telah menerbitkan lebih daripada 30 majalah setahun. Di antara majalah dan akhbar yang terkenal ialah majalah mingguan wanita, hijabista, akhbar sinar harian dan pelbagai lagi. Syarikat karangkraf juga telah menerbitkan buku dan majalah yang bernilai RM400 juta  setahun. Selain itu beliau juga mempunyai yayasan kebajikan sendiri yang dikenali sebagai Yayasan Nur Karangkraf  dan menawarkan biasiswa kepada para pelajar yang layak.

Alhamdulillah saya telah berkesempatan menemuduga  beliau pada 25 hb Mei 2012 jam 9.00 pagi di Pejabat beliau iaitu si Syarikat Karangkraf yang terletak di Shah Alam Selangor. Tujuan temubual ini dijalankan adalah untuk mengetahui tentang latar belakang usahawan berjaya, pencapaian beliau dan juga faktor-faktor kejayaan dari perspektif Islam.

Datuk Husammudin Haji Yaacob berusia 59 tahun dan berasal dari Kota Bharu Kelantan, memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia UKM pada tahun1978. Pengalaman berniaga beliau bermula dari kecil lagi, iaitu membantu ayah menjual surat khabar dan buku. Sambil menunggu pelanggan sambil beliau membaca, oleh sebab itu,  minat membaca bermula semenjak dari kecil lagi. Minat dalam penulisan diteruskan ketika berada di tahun ketiga universiti. Di antara  sebab menceburkan diri dalam bidang perniagaan adalah kerana faktor kemiskinan dan juga minat di dalam bidang penulisan. Di antara nasihat yang dikongsi dengan saya ialah:

“Kita tengok hari ini mengapa kebanyakkan  keluarga Islam gagal dalam mendidik anak? Keraktor seseorang individu sebenarnya haruslah dibina semenjak dari kecil lagi.  Keluarga Islam  sekarang gagal, kerana ibubapa tak pandai nak ajar anak-anak mereka. Kalau zaman dulu bapa kita adalah sumber inspirasi kita, bapak dulu ada authority, sekali bapak jerit hoi, anak dah takut.  Tetapi cuba tengok bapa sekarang. apa dah jadi? Bapak sekarang sibuk main golf, bapa sibuk dengan business, sibuk dok buat benda-benda lain kat luar. Bila dia balik rumah dia jadi playsafe, bawa anak pergi makan, belanja anak-anak dengan kemewahan. Kononnya nak cover line dengan anak sebab tak sempat nak habiskan masa dengan anak. Cara macam ini sebenarnya tak betul. Anak-anak akan rosak nanti.

Satu lagi perasan tak kenapa lelaki sekarang lembut? Itupun masalah juga tu ..mak sekarang bekerja, bila mak bekerja,  mak jadi paranoid, mak sangat garang. Bila mak garang sangat,  anak-anak  jadi takut dan jinak.  Anak-anak akan merasakan wanita lebih berkuasa. Sebab satu ramai anak lelaki sekarang  nak jadi perempuan. Sebab perempuan ada power, ada kuasa.

Selain itu kalau kita perhatikan ibubapa sekarang sangat protective yang tak bertempat dalam mendidik anak. Sebagai contoh anak nak lintas jalan sendiri mak tak bagi, macam mana anak tu nak berani. Kalau dia lintas jalanpun tak berani, macam manalah anak tu nak ambil risiko berniaga.

Anak saya perempuan, saya suruh dia pergi camp, masuk hutang, biar dia rasa susah sikit. Kalau you ada anak lelaki suruh dia pergi  main bola .Ini tak, Suruh dia berkurung dalam  rumah.  Macam mana budak tu tak lembut. Mak saya dulu, saya nak tidur rumah kawan dia tak bagi, tapi kawan nak tidur rumah boleh. Sebab kalau kawan tidur rumah mak saya ada, mak saya boleh monitor. Mak saya dia kenal semua sapa kawan-kawan saya.
                                                                    
Selain itu ibubapa sekarang sangat manjakan anak. Ibubapa  tak tegas dalam mendidik, tiap-tiap hujung minggu  bawa anak pergi shopping complex, belanja anak-anak makan itu ini. sepatutnya hari minggu bawa anak masuk hutan, atau ajar anak-anak perempuan masak kat dapur. Suruh dia pergi pasar sendiri lepas tu masak sendiri. Biar dia tahu tugas sebagai anak perempuan. Jangan anak perempuan dan anak lelaki dah jadi sama status dah sekarang. Tidak ada beza. Bila dah kahwin esok-esok tak sampai tiga bulan dan bercerai. Macam mana tak bercerai, adap sopan tak dijaga. Sepatutnya ajar anak-anak  untuk dia survive. Biar dia rasa hidup tu bukan mudah, hidup tu susah dan perlu bekerja untuk dapatkan duit. Kalau kita sebagai ibubapa ajar anak kita hidup susah, Insya Allah bila dia dewasa esok-esok dia akan pandai berdikari."

 
Datuk Husamudin Yaacob, ketika ditemui di Pejabat Karangkraf.


Nantikan buku bertajuk: Resepi Kejayaan 20 Usahawan Muslim Di Malaysia yang bakal muncul di pasaran tidak lama lagi, Buku ini akan menceritakan temubual saya bersama 20 Jutawan Melayu di Malaysia yang akan berkongsi kejayaan mereka di dalam bidang perniagaan yang diceburi

Tuesday, 22 October 2013

Resepi Kejayaan Usahawan Kosmetik. Datuk Aliff Syukri Kamarzaman

Pada 6 Sept 2012, Jam 10.00 pagi. saya berkesempatan menemubual Datuk Aliff Syukri Kamarzaman (Pengarah Urusan D'Herbs) di Pejabat beliau di Sungai Buluh. Beliau yang merupakan Jutawan Muda yang baru berusia 25 tahun yang mendapat liputan meluas dari pihak Media cetak dan juga media elektronik.

Antara nasihat beliau ialah:

Ajarkan anak berniaga bermula dari kecil lagi.


Saya mula berniaga sewaktu saya masih kecil lagi, waktu tu saya darjah satu, saya pula tinggal dengan nenek, duit sentiasa tak cukup. Untuk dapatkan duit, saya jualah kacang dan jeruk kat sekolah. Bila kena marah dekat cikgu, saya berhenti berniaga sekejap. Bila saya naik sekolah menengah, business ni dah jadi runtin hidup saya, saya meniaga krongsang, tudung dan lain-lain.

Saya pula jenis tak suka baca buku, Mak saya hantar saya ambil a-level kat Taylor Kolej, saya tak habis belajar, Sejak tu juga saya fikir saya kena kerja kuat sebab saya tak berpendidikan tinggi macam orang lain. Saya pernah bekerja  dari pukul 9 hingga 6 petang, keadaan itu sangat menyiksa saya. Memang bila kita kerja risiko dia kurang berbanding berniaga sebab setiap hujung bulan kita dapat gaji, socso dan juga KWSP, tapi  kalau you ada pendidikan tinggi tak apalah dapat gaji tinggi, tapi kalau macam saya yang cuma ada a-level sahaja itupun tak habis, saya cuma dapat gaji dalam seribu lebih sahaja, manalah cukup nak hidup kat KL ni.

Waktu tulah saya mula mencari pendapatan sampingan, setiap hujung minggu saya akan buat bengkel  kecantikan dan kesihatan  di tempat2 kerja, agensi swasta dan kerajaan, di samping buat bengkel saya jual produk kecantikan dan kesihatan.  Masa saya buat bengkel tu saya tidaklah mengenakan harga yang mahal, saya  cuma kenakan yuran sebanyak RM 5- RM10 sahaja, Tapi  masa saya buat bengkelah,  saya jual produk-produk kecantikan. Setiap kali saya buat bengkel pendapatan saya lebih kurang dalam RM1,000 hingga RM3,000 sebulan.  Selepas dah banyak kali saya menjual produk orang, saya mula rasa daripada saya jual produk orang lebih baik saya jual produk saya sendiri, Maka tercetuslah idea untuk buat produk saya sendiri.

Selain itu, masa tu juga saya ada kedai jual produk kesihatan, 5 tahun lepas saya ada 2 kedai produk kesihatan tapi sekarang saya dah ada 6 kedai produk kesihatan. Setiap daripada kedai kesihatan yang saya ada pendapatannya lebih kurang RM15 hingga RM30 ribu sebulan. Manakala untuk produk di Herbs pula, pusingan produk sebulan adalah lebih kurang dalam  RM1 juta. 

Pada saya, untuk berjaya di dalam bisnes, bukanlah mengambil masa sehari dua. Malah minat dalam bidang bisnes mestilah semenjak dari kecil lagi. Biar kita ajar anak kita bersusah payah  sikit. Baru dia tahu susah nak cari duit, dan dia tahu macam mana nak cari duit. Bukan tahu menghabiskan duit semata-mata.

Datuk Aliff Syukri ketika ditemui di Pejabat D'Herbs

Nantikan buku bertajuk: Resepi Kejayaan 20 Usahawan Muslim Di Malaysia yang bakal muncul di pasaran tidak lama lagi, Buku ini akan menceritakan temubual saya bersama 20 Jutawan Melayu di Malaysia yang akan berkongsi kejayaan mereka di dalam bidang perniagaan yang diceburi