Showing posts with label Motivasi. Show all posts
Showing posts with label Motivasi. Show all posts

Sunday, 27 October 2013

Himpunan kata-kata hikmah.

Mintalah rezeki hanya pada Allah SWT, kerana dia Maha Pemberi Rezeki dan kongsilah rezeki yang ada sesama manusia kerana dengannya, rezeki akan diberkati.

Kalau nak orang senyum kat kita, kita kena senyum kat orang dulu. Kalau nak orang berlembut dengan kita kita kena berlembut dengan orang dulu. Kalau nak orang sayang kita, kita kena sayang kat orang dulu. Kalau nak orang menghargai kita, kita kena menghargai orang dulu.. Walau dalam apa jua keadaan percayalah memberi lebih indah dari menerima. Memberi senyuman, berlemah lembuh, kasih sayang dan juga penghargaan juga merupakan sedekah dan sedekah yang ikhlas ada ganjarannya.

Kita akan merasa cukup bukan kerana kita memiliki apa yang kita mahu, tapi kita mensyukuri apa yang kita ada.

Saya sering mendengar orang di sekeliling saya berkata saya tidak mampu, Awak bolehlah.  Hakikatnya bukan kurang kemampuan yang melemahkan hidup dan semangat seseorang, tetapi tidak cukup kesungguhan untuk menggunakan kemampuan yang dia ada, yang akan melemahkan semangat seseorang untuk terus melangkah ke hadapan. 

Sunday, 29 September 2013

Tips untuk meningkatkan motivasi diri.

Alhamdulillah selama 3 hari dua malam, saya diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk menghadiri satu Seminar Jutawan Industri 2013 di Dewan Tun Razak PWTC anjuran Richworks Sdn Bhd, Di bawah Mentor Pemasaran No 1 Asia, Dr Azizan Osman. Semasa saya pergi ke sesi preview seminar di dewan MACC Shah Alam, saya sangat terkejut dengan kehadiran lebih dari 4,000 orang Muslim yang sedang berpusu-pusu untuk masuk ke dewan, sehigga saya sendiripun terpaksa bersesak-sesak masuk dan tertolak hingga ke dalam dewan. Uhhh!! Hampir tak bernafas saya dibuatnya. Sudah lama saya tidak menyusahkan diri saya buat kerja berebut-rebut macam ni. Seingat sayalah kali terakhir saya buat kerja berebut2 ni ketika saya nak mencium Hajarul Aswad sewaktu membuat ibadah umrah. Bertolak-tolak dan bersesak-sesak.   Di dalam hati kecil saya berkata “ Masya Allah..Hebatnya Dr Azizan ni, sampai macam ni sekali orang berebut untuk mendapatkan tempat duduk semata-mata untuk mendengar dia bercakap.” Bila masuk ke dalam dewan, saya melihat ada yang duduk di atas lantai, berdiri di tepi-tepi dinding kerana kerusi sudah penuh. Nasib baiklah saya bawa tiga orang team MAC yang masih muda dan masih kuat berlari untuk mendapatkan tempat duduk. Alhamdulillah bolehlah duduk.

Sebelum saya menghadiri seminar ini, saya berasa begitu lemah sangat dan hilang motivasi diri disebabkan tekanan dan bebanan kerja yang sangat berat yang terpaksa saya siapkan di ofice, dalam waktu yang sama saya terpaksa menyiapkan penulisan akhir tesis PhD saya, menyiapkan penulisan arikel di Journal,  saya terpaksa menyiapkan modul-modul baru di MAC Training and Consultancy, menerima undangan ceramah, melayan mesyuarat Jabatan, mesyuarat consultant dan juga persatuan, melayan pelajar-pelajar  yang datang kepada saya untuk interview kisah kejayaan, melayan pelajar-pelajar dan isteri-isteri yang bermasalah.. membuatkan saya merasa teramat-amat  penat dan lemas.  Sehinggalah suatu hari saya diajak oleh sahabat saya Nursalina Yin Abdullah untuk mendaftar di Preview Seminar Dr Azizan Osman, waktu itu saya tidak teragak-agak untuk mendaftar.

Selepas saya pergi ke preview seminar,  Saya seperti mendapat tenaga baru, dan saya tidak teragak-agak untuk mendaftar ke Seminar Intensif Jutawan Industri (IJI). Alhamdulillah syukur sangat-sangat saya seperti di charge dengan bateri baru. Banyak benda yang dikongsi oleh Dr Azizan sepanjang sesi seminar 3 hari 2 malam, membuatkan saya mengenali lebih tentang diri saya sendiri, membuatkan saya memahami mengapa Allah tentukan perjalanan hidup saya seperti ini.  Walaupun saya terpaksa bersesak-sesak di antara beribu-ribu orang yang hadir di dalam seminar berikut. Saya tidak kisah.Malah beribu-ribu orang yang hadir di IJI tersebut membawa harapan dan semangat masing-masing  untuk berjaya menjadi manusia yang sempurna sebagai khalifah di Muka Bumi Allah SWT. Mengapa saya berkata demikian? Sewaktu saya mengadakan sesi networking bersama perserta-peserta seminar, saya berjumpa ramai golongan professional antaranya doktor, lawyer, pensyarah, professor, guru,CEO syarikat, manager, ustaz,ustazah,  kakitangan kerajaan dan ramai lagilah. Kalau dalam bidang bisnes tu tak payahlah ceritalah.. macam-macam  bisnes ada, daripada sekecil-kecil bisnes hingga ke sebesar-besar bisnes.  Dan ramai juga saya jumpa pelajar-pelajar universiti yang tengah mencari-cari arah. Kalau mereka bahagia dan berjaya di dalam hidup mereka? Kenapa mereka datang ke sini? Ke seminar ini? Mesti ada sesuatu yang mereka harapkan sebab itu mereka sampai di sini. Saya merasa sangat kagum dan tiba-tiba saya terasa amat kecilnya diri  saya ini.

Saya tak mampu nak kongsikan semua apa yang saya dapat,  tapi insya Allah dari masa ke semasa saya cuba hubungkaitkan apa yang saya dapat dengan peristiwa dan kejadian yang datang kepada saya. Insya Allah dalam artikel kali ini saya nak kongsikan Tips untuk meningkatkan motivasi diri, semangat diri yang hilang. Tips yang saya dapat ialah “The Power of Grateful” ataupun kuasa bersyukur dan kuasa berselawat.
Saya percaya setiap dari anda semua tahu kelebihan bersyukur, saya juga tahu. Tetapi saya jarang meluahkannya. Jadi untuk meningkatkan semula motivasi  kita, salah satu tips yang  anda boleh lakukan sebelum tidur malam adalah anda ambil diari anda ataupun kertas. Andai senaraikan 10 sahaja perkara dalam hidup anda yang membuatkan anda rasa bersyukur sangat-sangat. Saya bagi contoh 10 perkara yang membuatkan saya  rasa bersyukur sangat-sangat.

1. Alhamdulillah syukur padaMu Ya Allah kerana kau masih memberikan aku nyawa untuk bernafas.
2. Alhamdulillah syukur  padaMu Ya Allah kerana kau masih memberikan aku rasa untuk aku menikmati rezekimu siang dan malam.
3. Alhamdulillah syukur padaMu Ya Allah kerana kau masih memberikan aku kesihatan untuk aku terus menjalani kehidupan di atas muka bumi ciptaanMu.
4. Alhamdulillah syukur padaMu Ya Allah kerana kau masih memanjangkan usia kedua ibubapaku untuk aku menikmati  redup dan teduhnya kasih sayang mereka kepadaku.
5. Alhamdulillah Ya Allah kerana kau kurniakan aku suami untuk aku menyangi dan disayangi.
6. Alhamdulillah Ya Allah kerana kau kurniakan aku anak-anak untuk aku menikmati indah dan bahagianya  perasaan menjadi seorang ibu.
7. Alhamdulillah Ya Allah kerana kau kurniakan aku sahabat-sahabat untuk aku berkongsi segala rasa yang ada.
8. Alhamdulillah Ya Allah kerana kau memberikan aku peluang dan ruang untuk menjadi seorang pendidik untuk mendidik anak-anak bangsaku.
9. Alhamdulillah Ya Allah kerana kau campakkan rasa cinta dan pengharapanKu kepadaMu di dalam setiap atur langkah yang kulalui.
10. Alhamdulillah Ya Allah kerana kau berikan aku rasa cinta dan sayangku kepada kekasihMu, buah hatiku Rasulullah SAW untuk aku susuli dan teladani.

Tulis ayat-ayat syukur ini baik-baik dan simpan. Sebelum tidur berselawatlah kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW paling kurangpun 100 kali dan selepas itu tidur. Bilamana anda bangkit dari tidur.Bacalah 10 ayat syukur yang anda tulis tersebut. Percayalah anda akan merasa nikmat yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Kenapa? Tak percaya. Ingatkan  satu ayat al-Quran.” Sekiranya kamu bersyukur, aku akan tambah kepadaMu. Dan ingatlah sekiranya kamu kufur, maka azabku amatlah pedih.”
Kenapa saya minta senaraikan 10 sahaja. Sebab jika kita nak senaraikan semua nikmat Allah yang Allah berikan kepada kita, Maka kita tak mampu untuk senaraikan. Cukup dengan senarikan 10 nikmat sehari untuk kita bina kekuatan dan motivasi diri. Cuba anda buat. Anda akan dapat kesannya.



Tuesday, 29 May 2012

Kenapa kita lemah?

Artikel ini saya tulis bukan untuk menyentuh sensitiviti mana-mana pihak. Kalau dengan membaca artikel saya ini membuatkan anda tersentuh. Saya dengan rendah diri memohon ampun dan maaf. Artikel ini saya tulis sebagai perkongsian ilmu yang saya dapat daripada beberapa siri majlis ilmu yang saya hadiri dan berjumpa dengan orang-orang yang cemerlang dalam kerjaya mereka. Mereka banyak berkongsi ilmu dengan saya. Dan saya merasakan perlu untuk saya berkongsi ilmu dengan anda semua. Sebab Allah SWT berfirman yang bermaksud: Manusia yang baik adalah orang yang memberi manfaat kepada orang lain. Insya Allah saya cuba memberikan sedikit ilmu dan pengalaman yang saya ada untuk anda dan yang baik jadikan panduan dan yang buruk jadikan tauladan.
Agama dan kekayaan tidak dapat dipisahkan. Rasulullah SAW dan para sahabat merupakan seorang yang kaya raya, mereka berjaya di dalam perniagaan ketika umur mereka masih muda. Kenapa Melayu ramai yang miskin dan lemah? Kerana fikiran kita dipengaruhi dengan materialisma dan juga hendonisme. Kita solat lima waktu tapi kita tak ada roh solat, kita membaca al-Quran tetapi kita tak ada roh al-Quran. Kita mengamalkan Islam tetapi tidak ada roh Islam. Kadangkala kita takbir “AllahuAkbar” tetapi kita fikiran kita masih dikawal oleh hawa nafsu.

Artikel ini akan membincangkan tentang hawa nafsu di dalam berbelanja yang akan mengakibatkan pelbagai masalah terjadi. Kebanyakan masyarakat Melayu terjebak di dalam berbelanja lebih dari pendapatan. Kos sara hidup sangat tinggi tapi ramai di kalangan masyarakat kita yang boleh hidup mewah. Sebagai contoh siswazah baru keluar universiti gaji 2K dah nak pakai kereta Honda, Sewa rumah teres 2 tingkat, kredit kad sampai 3, nak pakai baju branded, Malas masak dan makan luar. Belum masuk lagi hiburan sana sini. Purchasing power di kalangan masyarakat Melayu lagi tinggi.

Bila sudah berkahwin, suami isteri kerja, kalau salah seorang tak kerja akan menghadapi masalah ekonomi disebabkan sudah terbiasa berbelanja boros. Bila dapat anak, kos hidup akan bertambah lagi, nak beli susu anak, pampers anak, nak bayar pengasuh. Untuk menambah pendapatan, Suami atau isteri buat kerja lebih masa dan akhirnya membuatkan rumahtangga akan terabai dan anak-anak akan menjadi mangsa. Cuba bayangkan kalau kita letak anak kat baby sitter melebihi 8 jam. Kalau kita yang kat office dah tak larat nak kerja sampai 8 jam, apatah lagi orang yang menjaga anak kita yang dia kerja bukan dengan hati tapi dia juga seperti kita kerja sebab nak duit. Makin lama institusi rumahtangga semakin menuju kemusnahan. Anak-anak banyak terdedah dengan masalah sosial kerana kurangnya perhatian daripada ibubapa, tambahan sekarang dunia IT, maklumat berpindah sangat pantas, untuk mencari benda-benda yang tak baik cuma dihujung jari sahaja. Selain itu akan berlaku pertengakaran antara suami dan isteri yang semuanya berpunca dari hidup bermewah-mewah.

Itu belum masuk lagi cerita tentang dunia para isteri yang sangat ambil berat dengan kecantikan dan kesihatan diri. Kadang-kadang tu bila dah obsess nak cantik sanggup habis belanja, beribu-ribu, malah puluhan ribu pergi slimming centre, beli produk kesihatan yang mahal dan tak masuk akal, dengan alasan nak cantiklah, takut suami larilah, sakit sana sinilah dan pelbagai alasan lain. Padahal diri sendiri tahu sebelum beli produk belanja rumah sudah tak cukup, apatah lagi dengan beli produk tersebut dan akhirnya terjebak lagi dalam satu lagi masalah hutang.

Cerita suami lain pula biasa suami ni banyak obsess dengan hobi, macam-macam hobi ada, sukanlah, hikinglah, minat keretalah, minat berjalanlah dan pelbagai hobi yang adakalanya hobi tu tak munasabah langsung. Sanggup menghabiskan masa, duit dan tenaga kerana hobi yang akhirnya juga membawa padah kepada diri sendiri dan juga keluarga. Suami adalah ketua keluarga. Kalau dah ketuanya pun tak betul, macam manalah imannya nak betul.

Apa-apapun punca yang berlaku adalah kerana kita meminggirkan Islam dalam kehidupan kita, kita banyak terikut-ikut dengan gaya hidup mewah yang akhirnya akan memusnahkan diri kita sendiri.

Islam mengajar kita hidup dalam kesederhanaan:-

1. Kalau anda masih lagi belajar hiduplah dengan berjimat cermat, tak perlu nak beli atau pakai barang-barang yang mahal untuk mengejar branded atau keselesaan. Belilah untuk memenuhi keperluan bukan keselesaan. Sebagai contoh kalau dah beli satu kasut tu, pakai sampai koyak dulu baru beli lain. Tak perlu sebagai seorang pelajar sampai nak beli 10 kasut dan kasut pulak ikut tema baju. Latih diri untuk biasa dengan ketidakselesaan.

2. Kalau anda baru sahaja bekerja. Janganlah terlampau bermewah-mewah, walaupun duit itu adalah duit anda. Tapi rezekitu perlu diagih-agih antaranya simpanan, bagi duit kat parent,belanja sendiri dan juga untuk charity. Menurut pakar ekonomi barat. Kita perlu tanamkan minat untuk menyimpan walaupun kita mempunyai hutang yang perlu dijelaskan. Sebab bila kita ada duit simpanan dia akan tarik aura positif untuk rezeki kita bertambah. Selain itu perbelanjaan untuk ibubapa dan charity juga penting sebagai baja untuk rezeki kita, selepas itu barulah fikirkan kenderaaan apa yang layak kita pakai, kalau tak mampu beli kereta, belilah motor dulu atau cari rumah yang dekat dengan office, boleh pergi kerja jalan kaki. Jimat masa, tenaga dan duit. Pilihlah kerja yang boleh add value kita. Maksudnya tak pa kalau kita kerja sebagai makenik, baju kotor kena minyak hitam, daripada kita kerja kilang yang hari-hari buat benda yang sama. Sekurang-kurangnya kerja makanik kita tahu baiki kereta dan kita boleh baiki kereta kita sendiri kalau rosak atau boleh buka business baiki kereta nanti.

3. Kalau kita baru mendirikan rumahtangga, tak payahlah nak berangan terus beli rumah bangle dengan perhiasan perabut penuh di dalam. Cari dulu rumah kecil untuk disewa, bukan nak menampung orang ramaipun, Cuma anda berdua sahaja. Perabut beli yang penting dulu seperti dapur gas, peti ais, meja makan kecil, tilam dan juga TV. Belajar masak makanan di rumah dan kalau boleh bawa bekal pergi ofis. Sekali sekala bolehlah makan kat luar. Sambil tu kena cari peluang untuk berniaga sambilan bermula dari rumah sebagai persediaan.

4. Kalau yang sudah mempunyai anak, baliklah ke rumah awal terutamanya ibu. Jangan biarkan anak-anak tinggal dengan orang terlalu lama. Sebab anak itu adalah amanah yang Allah dah beri kepada kita dan anak juga adalah asset ibubapa dunia dan akhirat. Oleh itu masa untuk mereka perlu dijaga kerana kita akan dipersoalkan nanti dihadapan Allah tentang tanggungjawab kita.Didiklah anak tersebut dengan ilmu agama semoga dia menjadi anak yang kuat jiwa dan berikan anak-anak dengan makanan yang penuh dengan nutrisi supaya perkembangan anak akan menjadi sihat dan teratur.

5. Sebagai seorang wanita berpada-padalah di dalam menjaga kecantikkan diri. Jaga diri untuk kesihatan, ikut cara Islam dan sihat secara sunnah Rasul antaranya tidur awal dan bangun bertahajud, berpuasa sunat, makan ikut waktu solat, makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang. Banyakkan membaca al-Quran dan hiasi diri dengan wuduk. Hati yang positif dan tenang akan menjadikan seseorang perempuan tu hebat.

6. Sebagai seorang suami. Anda adalah pemimpin, dan bertanggungjawab ke atas pimpinanmu. Oleh itu seorang lelaki samada dia seorang suami ataupun sudah bergelar ayah. Jadilah lelaki yang hebat di sisi Allah SWT, nescaya anda juga akan menjadi lelaki yang hebat di sisi manusia.

7. Selain itu sentiasalah menjaga solat lima waktu, membaca al-Quran dan menghayati pengertiannya, solat dhuha, solat tahajud dan juga sentiasa bersedekah. Carilah kawan-kawan yang positif yang boleh membina kekuatan dalaman kita, hadirilah majlis-majlis ilmu yang boleh memberi nilai tambah kepada kita untuk cemerlang di dunia dan juga akhirat.

Semoga kita semua berhijrah ke arah kebaikan.. Amin

Saturday, 26 May 2012

Tips untuk anak lelaki jadi hebat dan handsome!!!!




Alhamdulillah pada hari jumaat lepas saya berkesempatan menemubual seorang usahawan dan jutawan Muslim hebat iaitu Datuk Husammudin Hj Yaacob. CEO Karangkraf Sdn Bhd. Banyak perkara positif yang dikongsi pada saya antaranya cara membina jati diri seorang anak (terutamanya anak lelaki). Antara tips yang dipesan kepada saya:




1. Anak lelaki biarkan dia buat sesuatu yang boleh membina keyakinan diri. Sebagai contoh pergi sekolah dengan basikal atau suruh dia pergi kedai naik basikal. Sebelum lepas dia pergi. Bagi dia nasihat antaranya naik basikal, ikut tepi jalan. Jangan berhenti kalau ada orang tak kenal tanya jalan atau sebagainya. Zaman saya dulu saya kayuh basikal jauh, sepanjang 25 Kilometer untuk pergi air terjun, Mak dengan ayah saya tak kisahpun. Orang baratpun sama, ketika anaknya masih kecil lagi dia dah campak anak tersebut dalam kolam renang, suruh anak tu belajar berenang. Bila dia nampak anak tu macam nak lemas, barulah dia bantu.


2.Anak lelaki galakkan dia main sukan, antaranya main bola, badminton atau beberapa sukan lasak. Galakkan dia bersukan lepas balik sekolah. Sebelum dia pergi main pesan kat dia kena balik sebelum pukul 7 malam, kalau dia tak balik denda. Jangan halang dia bermain sebab dia ada banyak tenaga dan dia perlu salurkan tenaga kepada benda yang lebih positif.


3. Anak-anak jangan manjakan dengan aktiviti berjalan dekat shooping kompleks atau makan luar hujung minggu atau belikan pakain yang mahal ataupun berjenama. Ini akan mengajar anak tersebut hidup mewah. Bila dia dah biasa hidup mewah memang susah nak control dan dia akan menjadi seorang yang boros. Hujung minggu lebih baik bawa anak masuk hutan atau pergi kebun atau dusun. Suruh dia masak sendiri guna kayu api, ajar dia hidup tanpa kemudahan elektrik, internet dan juga tidur di atas tilam yang empuk. Biar dia rasa susahnya nak hidup.


4.Kenapa anak lelaki sekarang ni banyak yang lembut? Jawapan beliau kerana anak-anak sekarang banyak didominasikan oleh Ibu. Semenjak dari kecil di dalam fikiran anak tersebut sudah ditanam bahawa ibulah yang paling berkuasa berbanding dengan ayah. Ibu kuat berleter, panas barang dan sebagainya. Sedangkan ayah mengambil sikap sambil lewa di dalam mendidik anak. Kalau anak buat masalah ibu yang akan marah. Dari kecil lagi anak dididik dengan perempuan mempunyai power. Oleh itu anak tersebut akan memilih untuk menjadi lemah lembut sehingga merubah sikapnya sebagai seorang lelaki.


5. Ajar anak lelaki pergi beli barang sendiri di kedai. Khususnya barang2 dapur. Senaraikan barang apa yang nak dibeli. Hantar dia kat kedai suruh dia pergi beli. Sebelum tu ajar dulu dia macam mana nak pilih sayur yang segar, ikan yang segar dan juga bawang atau barang runcit lain. Hantar dia kat kedai yang selalu kita beli barang. Tinggalkan dia sorang2 kat situ. Ini adalah untuk melatih anak macam mana nak menguruskan hal ehwal rumah tangga dan juga macam mana nak PR dengan orang. Melalui cara itu akan membina keyakinan anak tersebut.


6. Ajar anak jadi pemimpin dengan menjaga adik2 di rumah. Bila kita pergi kerja suruh dia jaga adik-adiknya. Bagi dia tanggungjawab masing-masing. Jangan masak, biarkan dia masak sendiri dan bila balik rumah pastikan hidangan dah siap, rumah dah kemas, pakaian dan berbasuh dan lipat. Biar dia rasa susah sikit. Tapi ini penting untuk masa depannya.


7. Ajar anak lelaki buat bisness, jual sesuatu kat kawan. Sekali sekala buat kuih atau cup-cake atau biskut dan suruh anak jual kat sekolah. Ajar anak buat bisness dari kecil lagi. Sebab Rasulullah SAW sendiri dari kecil lagi sudah diajar berniaga. Ini akan mendorong anak tersebut berminat dengan bidang perniagaan bila dia dewasa nanti.


8. Galakkan anak banyak membaca. Membaca jambatan ilmu. Saya dulu anak seorang ustaz, ayah saya d buka kedai jual surat khabar dan juga buku-buku. Setiap hari saya mesti habiskan baca surat khabar atau buku di kedai saya. Selepas membaca saya akan menulis kembali apa yang saya. Sebenarnya saya telah menceburkan diri di dalam bidang penulisan secara aktif ketika berada di tahun akhir di UKM. Waktu itu saya belajar ekonomi, tetapi saya masih suka menulis, sebab dah dilatih dari kecil membaca. Saya tidak ada masa kosong sejak dari kecil lagi. Jadual saya sentiasa penuh. Alhamdulillah setakat hari ini karangkraft dah publish majalah dan buku bernilai RM400 juta setahun. Kami di karangkraft mempunyai 30 buah majalah sekarang. Saya tak ada masa nak lepak atau keluar berhibur dengan kawan-kawan. Saya tak pernah main golf dan tak suka main golf dan buat kerja yang entertaint orang ni. Kalau kawan saya nak jumpa saya, datang kat ofic atau boleh datang di rumah. Kalau nak berjaya kena fokus dengan apa yang kita buat dan pastikan produk kita terbaik dan memenuhi kehendak pasaran.


Itu antara tips yang Datuk kongsi dengan saya hari tu..Bila fikir-fikir balik ada kebenaran daripada ulasan beliau. Sebab kadang-kadang cara kita mendidik anak agak tidak tepat dan manjakan anak tak bertempat. Bila terjadinya masalah di kemudian hari, masa itulah baru menyesal.. Muhasabah untuk diri sendiri juga sebenarnya..:)

Saturday, 6 August 2011

Semangat yang hilang

Dua minggu lepas aku bermenung sendiri, entah mengapa otakku tidak mampu lagi untuk memuntahkan idea. Seolah-olah segala penulisan tesisku dangkal, puas aku membaca dan meneliti. Tapi aku seolah-olah kereta yang kehabisan minyak. Dalam keadaan memaksa diri, aku menyelusuri perpustakaan Universiti Malaya untuk mendapatkan maklumat penulisanku, tapi masih terasa dangkal, selama dua minggu juga aku bertungkus-lumus memerah otak dan tenaga menatap jurnal2 antarabangsa di database. Pun masih lagi kaku. Apa yang terjadi padaku sekarang, sedangkan chapterku tinggal 80% untuk kusiapkan.

Badan terasa panas membahang, apa yang kumakan semuanya dimuntahkan balik, sehinggakan suatu hari badan tidak boleh menerima apa2 makanan lagi, kerana setiap setengah jam aku pasti akan muntah. Tali perutku rasa macam mahu putus. Kepalaku sakit hanya Allah sahaja yang tahu. badanku menjadi tidak menentu sehingga waktu itu aku merasakan seolah-olah malaikat maut akan datang menjemputku. Aku sungguh tidak berdaya. Mengapakan terjadi begini? Akhirnya aku mengajak sahabatku Nadia menghantar aku ke Klinik berdekatan dan diberikan suntikan untuk memberhentikan aku daripada terus muntah. Dr menulis surat, menasihati aku admitted di hospital sebab badan kehilangan banyak air.

Perasaan tertekan dan berkecamuk makin menghimpit tangkai hati. kerja yang perlu kusiapkan tidak berdaya untuk diteruskan. Janjiku pada supervisor untuk menyiapkan tugasanku secepat yang mungkin tertangguh. Aku buntu. apa yang aku perlukan sebenarnya?Pagi itu dalam keadaan yang masih lemah aku bertemu dengan kawan baikku di office. Padanya kuceritakan masalahku.

"U stress, over stress.." Sahabatku Dr Mandy pakar dalam Psikologi mengungkapkan kata.
Dahiku berkerut seketika. Dalam hatiku seolah-olah tidak percaya yang aku dilanda stress. " U berhenti Study sekejap. buat apa yang u suka. please.. don't push yourself, your body told u something.. Jaga kesihatan you". Selanjutnya sahabatku seperti biasa melanjutkan leterannya dan aku seperti biasa sanggup menadah telinga dan mendengar setiap inci yang diperkatakan. Walaupun dia bukan seagama dan sebangsa denganku, tapi dialah satu-satunya kawanku di ofic yang senang diajak berbincang. Sudah hampir 10 tahun kami berkawan. Segala cerita suka dan duka kami kongsi bersama.

Akhirnya aku nekad untuk berhenti seketika. Aku meminjam dua novel motivasi dari sahabatku Nadia sepanjang tempoh rehat ini. Dan alhamdulillah juga sahabatku Nur Salina binti Abdullah sudi menemaniku dan membelanjaku untuk rawatan SPA sebelum ramadhan bermula.







Alhamdulillah aku bersyukur kepada Allah, dalam keadaanku yang begitu tidak menentu masih ada kawan2 yang datang menyandangkan bahu untuk aku menumpang daripada rebah tersungkur. Selain itu syukur juga kupanjatkan kepada Allah kerana di kelilingi suami yang sangat memahami, anak-anak yang baik dan juga anak-anak didiku yang sangat prihatin padaku.

Malam ini aku selesai membaca kedua-dua novel tersebut yang kumulakan dari Jumaat lepas. Alhamdulillah Syukur, sedikit sebanyak novel motivasi ini telah memberikan aku kekuatan untuk terus bangkit dan berjuang. Aku tak akan mengalah pada keadaan. Aku mesti berusaha untuk menyempurnakan research PHDku walau dalam keadaan apa sekalipun.. Terima Kasih Sahabatku Nadia. kerana meminjamkan buku yang penuh makna buatku..

Monday, 6 December 2010

Motivasi Maal Hijrah 1432

Assalamuaikum,

Esok kita akan menyambut tahun hijrah 1432, Sudah pastinya setiap orang mempunyai azam dan matlamat tersendiri. Hidup tanpa tujuan dan matlamat seperti kapal di lautan luas yang tidak tahu ke mana arah dan tujuannya..
Manusia diciptakan oleh Allah SWT yang terdiri dari dua bahagian iaitu jasmani dan juga rohani. Kedua-dua bahagian ini perlu dijaga dan dipelihara untuk menjamin kesempurnaan dan kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Apakah makanan utama jasmani kita? Apakah latihan jasmani yang perlu kita lakukan untuk memastikan kita sihat? Sudah pasti makanan utama untuk jasmani kita adalah makanan2 yang halal dan juga sihat. Kita perlu mengawal kuantiti dan kualiti makanan yang diambil untuk memastikan ianya mencukupi dan tidak melebihi daripada keperluan badan kita. Sekiranya makanan yang diambil melebihi keperluan badan, makanan tersebut akan bertukar menjadi lemak dan tosik yang berkumpul di dalam badan yang akan mengakibatkan munculnya pelbagai jenis penyakit.Selain daripada menjaga makanan, kita juga perlu sentiasa mengamalkan senaman secara konsisten untuk meningkatkan kadar metabolisma dalam badan, membekalkan oksigen, memberi latihan kepada sistem dalaman badan terutamanya jantung. Menjaga makanan dan juga senaman penting untuk kesihatan Jasmani kita.

Manakala dari aspek rohani pula, makanan utama rohani adalah iman, ilmu dan juga memperbanyakkan ibadah samada ibadah umum mahupun ibadah khusus. Bayangkan sekiranya kita hanya mementingkan diet yang sihat, menjaga pemakanan dan berat badan tetapi dari aspek rohani kita biarkan ianya kelaparan, maka sudah pasti kita akan mengalami satu kehidupan yang pincang dan tidak seimbang.Kehidupan di dunia yang mengejar pangkat dan harta suatu hari nanti akan musnah dan memakan diri sendiri, kecantikkan kita di dunia tidak akan berkekalan suatu hari nanti ianya akan menjadi makanan ulat semata-mata. tetapi latihan-latihan rohani yang kita lakukan di atas dunia merupakan bekalan yang akan kita bawa ketika bertemu dengan Allah SWT.

Tetapi bolehkah kita melakukan amalan2 baik untuk dibawa bekal di hari akhirat kelak sedangkan jasmani kita sentiasa lemah dan tidak sihat.Sudah pasti kita akan kehilangan motivasi dan semangat untuk melakukan amal ibadah kerana kesihatan yang tidak mengizinkan. Oleh itu menjaga kesihatan jasmani dan juga rohani penting untuk kita mencapai kebahagian dan kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Tanamkan azam sempena tahun baru ini untuk berhijrah ke arah kebaikan, membaiki diri menjadi insan kamil dan sempurna... Semoga setiap Jihad yang dilakukan untuk kebaikan akan mendapat pengiktirafan di sisi Allah SWT.Ini kerana Jihad yang paling besar yang perlu dilakukan ialah Jihad Melawan hawa nafsu..

Monday, 13 April 2009

sunset or sunrise







Cantik pemandangan ni! Kebesaran Allah! cuba teka, sunset ke sunrise ?



Wednesday, 7 January 2009

Sunnah Berjuang

Berjuang menempah susah
Menanggung derita menongkah fitnah
Itulah gelombang hidup samudera duka
Seorang mujahid memburu syahid.

Dibuang dia berkelana
dipenjara dia uzlah dibunuh syahid
Namun jiwa tetap mara menuju cita
membara demi Allah dan Rasul-Nya.

Berjuang tak pernah senang
Ombak derita tiada henti
Senang susah silih berganti
Inilah sunah orang berjuang.

Malamnya bagai rahib merintih sayu
Diiring serta air mata
Siangnya bagaikan singa di rimba
Memerah keringat meluah tenaga.

Berjuang memang pahit
Kerana syurga itu manis
Bukan sedikit mahar yang perlu dibayar
Bukan sedikit pedih yang ditagih.

Berjuang ertinya terkorban
Rela terhina kerana kebenaran
Antara dua pasti terjadi
Tunggulah syahid atau menang.

Sunnah orang berjuang

Perjuangan itu sememangnya pahit tapi nikmatnya sememangnya manis