Tuesday, 29 May 2012

Kenapa kita lemah?

Artikel ini saya tulis bukan untuk menyentuh sensitiviti mana-mana pihak. Kalau dengan membaca artikel saya ini membuatkan anda tersentuh. Saya dengan rendah diri memohon ampun dan maaf. Artikel ini saya tulis sebagai perkongsian ilmu yang saya dapat daripada beberapa siri majlis ilmu yang saya hadiri dan berjumpa dengan orang-orang yang cemerlang dalam kerjaya mereka. Mereka banyak berkongsi ilmu dengan saya. Dan saya merasakan perlu untuk saya berkongsi ilmu dengan anda semua. Sebab Allah SWT berfirman yang bermaksud: Manusia yang baik adalah orang yang memberi manfaat kepada orang lain. Insya Allah saya cuba memberikan sedikit ilmu dan pengalaman yang saya ada untuk anda dan yang baik jadikan panduan dan yang buruk jadikan tauladan.
Agama dan kekayaan tidak dapat dipisahkan. Rasulullah SAW dan para sahabat merupakan seorang yang kaya raya, mereka berjaya di dalam perniagaan ketika umur mereka masih muda. Kenapa Melayu ramai yang miskin dan lemah? Kerana fikiran kita dipengaruhi dengan materialisma dan juga hendonisme. Kita solat lima waktu tapi kita tak ada roh solat, kita membaca al-Quran tetapi kita tak ada roh al-Quran. Kita mengamalkan Islam tetapi tidak ada roh Islam. Kadangkala kita takbir “AllahuAkbar” tetapi kita fikiran kita masih dikawal oleh hawa nafsu.

Artikel ini akan membincangkan tentang hawa nafsu di dalam berbelanja yang akan mengakibatkan pelbagai masalah terjadi. Kebanyakan masyarakat Melayu terjebak di dalam berbelanja lebih dari pendapatan. Kos sara hidup sangat tinggi tapi ramai di kalangan masyarakat kita yang boleh hidup mewah. Sebagai contoh siswazah baru keluar universiti gaji 2K dah nak pakai kereta Honda, Sewa rumah teres 2 tingkat, kredit kad sampai 3, nak pakai baju branded, Malas masak dan makan luar. Belum masuk lagi hiburan sana sini. Purchasing power di kalangan masyarakat Melayu lagi tinggi.

Bila sudah berkahwin, suami isteri kerja, kalau salah seorang tak kerja akan menghadapi masalah ekonomi disebabkan sudah terbiasa berbelanja boros. Bila dapat anak, kos hidup akan bertambah lagi, nak beli susu anak, pampers anak, nak bayar pengasuh. Untuk menambah pendapatan, Suami atau isteri buat kerja lebih masa dan akhirnya membuatkan rumahtangga akan terabai dan anak-anak akan menjadi mangsa. Cuba bayangkan kalau kita letak anak kat baby sitter melebihi 8 jam. Kalau kita yang kat office dah tak larat nak kerja sampai 8 jam, apatah lagi orang yang menjaga anak kita yang dia kerja bukan dengan hati tapi dia juga seperti kita kerja sebab nak duit. Makin lama institusi rumahtangga semakin menuju kemusnahan. Anak-anak banyak terdedah dengan masalah sosial kerana kurangnya perhatian daripada ibubapa, tambahan sekarang dunia IT, maklumat berpindah sangat pantas, untuk mencari benda-benda yang tak baik cuma dihujung jari sahaja. Selain itu akan berlaku pertengakaran antara suami dan isteri yang semuanya berpunca dari hidup bermewah-mewah.

Itu belum masuk lagi cerita tentang dunia para isteri yang sangat ambil berat dengan kecantikan dan kesihatan diri. Kadang-kadang tu bila dah obsess nak cantik sanggup habis belanja, beribu-ribu, malah puluhan ribu pergi slimming centre, beli produk kesihatan yang mahal dan tak masuk akal, dengan alasan nak cantiklah, takut suami larilah, sakit sana sinilah dan pelbagai alasan lain. Padahal diri sendiri tahu sebelum beli produk belanja rumah sudah tak cukup, apatah lagi dengan beli produk tersebut dan akhirnya terjebak lagi dalam satu lagi masalah hutang.

Cerita suami lain pula biasa suami ni banyak obsess dengan hobi, macam-macam hobi ada, sukanlah, hikinglah, minat keretalah, minat berjalanlah dan pelbagai hobi yang adakalanya hobi tu tak munasabah langsung. Sanggup menghabiskan masa, duit dan tenaga kerana hobi yang akhirnya juga membawa padah kepada diri sendiri dan juga keluarga. Suami adalah ketua keluarga. Kalau dah ketuanya pun tak betul, macam manalah imannya nak betul.

Apa-apapun punca yang berlaku adalah kerana kita meminggirkan Islam dalam kehidupan kita, kita banyak terikut-ikut dengan gaya hidup mewah yang akhirnya akan memusnahkan diri kita sendiri.

Islam mengajar kita hidup dalam kesederhanaan:-

1. Kalau anda masih lagi belajar hiduplah dengan berjimat cermat, tak perlu nak beli atau pakai barang-barang yang mahal untuk mengejar branded atau keselesaan. Belilah untuk memenuhi keperluan bukan keselesaan. Sebagai contoh kalau dah beli satu kasut tu, pakai sampai koyak dulu baru beli lain. Tak perlu sebagai seorang pelajar sampai nak beli 10 kasut dan kasut pulak ikut tema baju. Latih diri untuk biasa dengan ketidakselesaan.

2. Kalau anda baru sahaja bekerja. Janganlah terlampau bermewah-mewah, walaupun duit itu adalah duit anda. Tapi rezekitu perlu diagih-agih antaranya simpanan, bagi duit kat parent,belanja sendiri dan juga untuk charity. Menurut pakar ekonomi barat. Kita perlu tanamkan minat untuk menyimpan walaupun kita mempunyai hutang yang perlu dijelaskan. Sebab bila kita ada duit simpanan dia akan tarik aura positif untuk rezeki kita bertambah. Selain itu perbelanjaan untuk ibubapa dan charity juga penting sebagai baja untuk rezeki kita, selepas itu barulah fikirkan kenderaaan apa yang layak kita pakai, kalau tak mampu beli kereta, belilah motor dulu atau cari rumah yang dekat dengan office, boleh pergi kerja jalan kaki. Jimat masa, tenaga dan duit. Pilihlah kerja yang boleh add value kita. Maksudnya tak pa kalau kita kerja sebagai makenik, baju kotor kena minyak hitam, daripada kita kerja kilang yang hari-hari buat benda yang sama. Sekurang-kurangnya kerja makanik kita tahu baiki kereta dan kita boleh baiki kereta kita sendiri kalau rosak atau boleh buka business baiki kereta nanti.

3. Kalau kita baru mendirikan rumahtangga, tak payahlah nak berangan terus beli rumah bangle dengan perhiasan perabut penuh di dalam. Cari dulu rumah kecil untuk disewa, bukan nak menampung orang ramaipun, Cuma anda berdua sahaja. Perabut beli yang penting dulu seperti dapur gas, peti ais, meja makan kecil, tilam dan juga TV. Belajar masak makanan di rumah dan kalau boleh bawa bekal pergi ofis. Sekali sekala bolehlah makan kat luar. Sambil tu kena cari peluang untuk berniaga sambilan bermula dari rumah sebagai persediaan.

4. Kalau yang sudah mempunyai anak, baliklah ke rumah awal terutamanya ibu. Jangan biarkan anak-anak tinggal dengan orang terlalu lama. Sebab anak itu adalah amanah yang Allah dah beri kepada kita dan anak juga adalah asset ibubapa dunia dan akhirat. Oleh itu masa untuk mereka perlu dijaga kerana kita akan dipersoalkan nanti dihadapan Allah tentang tanggungjawab kita.Didiklah anak tersebut dengan ilmu agama semoga dia menjadi anak yang kuat jiwa dan berikan anak-anak dengan makanan yang penuh dengan nutrisi supaya perkembangan anak akan menjadi sihat dan teratur.

5. Sebagai seorang wanita berpada-padalah di dalam menjaga kecantikkan diri. Jaga diri untuk kesihatan, ikut cara Islam dan sihat secara sunnah Rasul antaranya tidur awal dan bangun bertahajud, berpuasa sunat, makan ikut waktu solat, makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang. Banyakkan membaca al-Quran dan hiasi diri dengan wuduk. Hati yang positif dan tenang akan menjadikan seseorang perempuan tu hebat.

6. Sebagai seorang suami. Anda adalah pemimpin, dan bertanggungjawab ke atas pimpinanmu. Oleh itu seorang lelaki samada dia seorang suami ataupun sudah bergelar ayah. Jadilah lelaki yang hebat di sisi Allah SWT, nescaya anda juga akan menjadi lelaki yang hebat di sisi manusia.

7. Selain itu sentiasalah menjaga solat lima waktu, membaca al-Quran dan menghayati pengertiannya, solat dhuha, solat tahajud dan juga sentiasa bersedekah. Carilah kawan-kawan yang positif yang boleh membina kekuatan dalaman kita, hadirilah majlis-majlis ilmu yang boleh memberi nilai tambah kepada kita untuk cemerlang di dunia dan juga akhirat.

Semoga kita semua berhijrah ke arah kebaikan.. Amin

No comments: