Showing posts with label Ayah dan ibu. Show all posts
Showing posts with label Ayah dan ibu. Show all posts

Friday, 4 February 2011

Cerita pahit manis ayah dan ibu

Cuti sempena raya cina ni saya berkesempatan mengunjungi kedua orang tua dan juga keluarga mertua saya di kampung. Berhenti penat sekejap sementara menunggu misi-misi yang seterusnya yang akan bermula selepas Chinese New Year nanti.

Seperti biasa bila balik ke kampung rutin harian saya ialah duduk melepak dengan ayah dan mak saya di serambi rumah sambil makan goreng pisang panas dan juga teh O panas, Pukul 10.00 pagi, ayah saya baru balik dari menghantar rumput untuk makanan kambingnya dan selepas asar ayah saya baru habis mencerut rumput untuk makanan kambing-kambingnya. Saya dan mak saya seperti biasa akan menanti ayah saya balik dengan goreng pisang panas dan juga teh o panas, kadang2 tu, saya hidangkan ubi rebus ataupun pisang rebus untuk ayah saya. Anak-anak saya akan bersama-sama dengan anak-anak jiran di halaman rumah sambil bermain-main dengan permainan tradisi kampung. Saya akan melakukan rutin tersebut sambil mendengar celoteh2 mereka. Ada terselit cerita suka dan duka yang akan mereka kongsikan bersama saya. Sambil makan sekali sekala saya menyampuk. Aktiviti ini akan menghilangkan rasa tekanan kerja dan kesibukan mengejar masa buat itu dan ini sepanjang hidup di kota besar. Mereka adalah penawar hidup saya, tiap kali saya merasa susah hati, saya akan balik mencari mereka.bukan balik untuk berkongsi masalah saya dengan mereka tetapi melihat wajah dan senyuman yang terukir di bibir merekapun.. jiwa dan hati saya akan menjadi tenang.."Itulah The Power of Parent"

Teringat celoteh mak saya. "Kalau boleh mak tak nak kau mati dulu. sebab bila kau mati dulu sapa yang nak jaga mak, sapa nak jaga ayah" Sambil deraian air matanya jatuh ke pipi. Kelu lidah saya tak terkata. Begitu besar harapan ayah dan mak saya kepada saya. Jauh di sudut hati saya, saya tertanya-tanya adakah saya sudah menunaikan tanggungjawab yang sebenarnya sebagai seorang anak kepada mereka. Saya jauh di Kota. Mak dan Ayah saya jauh di desa. Hanya sekali sekala bila tiba musim cuti seperti ini saya akan balik menjenguk mereka. Kadang-kadang bila rindu pada mereka tidak tertanggung. saya akan menyuruh ayah dan mak saya berkunjung ke rumah saya di Ibu kota untuk beberapa hari. Saya akan merasa bersalah kepada mereka kalau tidak meluangkan masa sekali sekala untuk mereka.

"Anak-anak bila dah kahwin banyak yang lupa mak ayah sendiri.Kalau anak lelaki ikut sangat cakap bini, kalau anak perempuan ikut sangat cakap laki, tak ada masa nak jengok mak bapak sendiri, biar mak ayah sendiri duduk sorang2 kat kampung, tak adapun nak tanya khabar, sihat ke? Sakit ke? Hidup ke? Mati ke?, Kalau ya pun sibuk, tak akanlah tak ada masa langsung nak jengok orang tua kat kampung ni.." Ayah saya menyambung celotehnya.. Saya terdiam. diam seribu bahasa. Jauh di sudut hati saya mengerti ayah dan mak saya rindukan adik beradik saya yang lain. "Jangan ingat bila kita senang kita lupa pada mak ayah kita, kita boleh senang sampai bila-bila. belum tentu lagi"... Ayah saya berhenti seketika.Mata Ayah saya berkaca. Saya tak sanggup untuk menatap wajah-wajah sedih ayah dan mak saya. Saya mengalihkan cerita lain, saya tak mahu ayah dan mak saya bercerita tentang cerita2 sedih. Jauh di sudut hati saya, saya berjanji saya akan sentiasa meluangkan masa untuk mereka. Semoga Allah memberikan saya kesempatan untuk berbuat demikian. Semoga Allah panjangkan usia kedua orang tua saya..Saya masih lagi mahu mendakap mereka ketika usia mereka masih ada, bukannya ketika mereka sudah terbujur kaku.
"Mak dan ayah nak makan apa malam ni?" tanyaku sebagai mengalihkan topik cerita duka mereka. "Steamboat kat Pasar malam tu ada lagi tak? Kalau ada orang nak pergi beli. Mak dan ayah nak makan Steamboat tak?"Kedua mereka tersenyum memandangku sambil ayah menjawab. Mu kalau ada umah, naiklah badan ayah. Habislah diet ayah dengan mak kamu." Sambil tergelak... saya gelak sekali walaupun dalam hati saya juga seperti ayah dan mak saya... menangis.
Apa yang saya lakukan adalah untuk tauladan pada anak-anak saya. Semoga waktu-waktu emas saya nanti dia akan menjaga dan menyayangi saya seperti mana saya menjaga dan menyayangi mak dan ayah saya sekarang.

Saturday, 28 November 2009

Erti Sebuah Pengorbanan (salam aidiladha 27 Nov 2009)



Pondok di mana acara korban lembu diadakan.
Adik iparku bersama puteri sulongnya.



Sementara tengah menunggu lembu dilapah. "Janganlah serius bang"

Bergambar di rumahku di kampung. rumah ini sudah berusia 25 tahun.
Ayah, adik bongsuku dan juga sepupu baruku yang baru turun dari surau selepas menunaikan solat hari raya korban.Surau ni kalau hari raya aidilfitri penuh sesak.Tapi raya korban tak ramai. Dapatku perhatikan wajah-wajah warga emas di sini sedang bermuram kerana anak-anak yang berada di perantauan tidak ada di sisi.
Jemaah wanita sedang bersalam-salaman

Mulanya aku terfikir juga untuk malas balik ke kampung. Sebab cuti cuma dua hari. Memenatkan badan sahaja. Hubby juga mengomel2 kerja banyak. nak siapkan itu dan itu tambahan lagi sekarang hujung bulan banyak benda nak kena settle tapi memikirkan ibu dan ayah yang mengharapkan kepulangan anaknya di pagi hari raya maka aku kuatkan semangatku untuk balik ke kampung. Mujur dalam kesibukan kami hubby juga memahami... yang kami masih lagi ada ayah dan ibu yang amat memerlukan anaknya.Walaupun pada pandangan sesetengah orang hari raya ini cuma hari raya korban, tak beriya-iya menyambutnya pun tak apa, namun istilah korban itu sendiri perlu difikirkan oleh segelintir anak-anak yang tinggal di perantauan. Berkorban bukan bermaksud mengorbankan binatang ternakan sahaja, tetapi pengorbanan dari segi masa, tenaga dan duit juga perlu.. ayah dan ibu sangat merindukan kepulangan anaknya.Tambahan di hari perayaan sebegini.
Dapat ku lihat keceriaan di wajah orang tuaku apabila melihat anak menantu dan cucunya balik. Pagi tu kami sekeluarga sampai di kampung pukul 8.00 pagi, bertolak dari kl 10.00pm. Tidur di Gua Musang 3 jam. sebab tak tahan mengantuk.
"Along tak balik mek" tanyaku pada ibuku..
"Tak", air muka ibuku berubah..."Mek malas nak cakap apa, masing-masing ada anak, hari ni dia buat kat kita, esok lusa dia akan dapat balik... kalau dulu sebelum kahwin macam2 janji. tiap kali raya akan balik, tak akan ada alasan, tapi sekarang macam-macam alasan, anak cuti sekolahpun susah nak balik," Mata ibuku berkaca. Jauh di hati ibuku sangat sedih dengan sikap anaknya.
Aku terdiam mendengar leteran ibu. Jauh di sudut hati aku kesal, kesal kerana bertanyakan soalan itu kepada ibu, kesal kerana sikap anak-anak yang tidak memahami tentang pengharapan seorang ibu.
Sedarilah duhai anak... bukan wang ringgit yang diperlukan ayah dan ibu, tetapi perhatian dan kasih sayang lagi berharga bagi ibu diusia emas.Bayangkanlah kalau suatu hari nanti anak kita melupakan kita di saat2 kita mengharapkan mereka.... anak yang ramai belum tentu akan dapat menjaga hati dan perasaan ayah dan ibu kalau hari ini kita tak mampu untuk menjaga hati dan perasaan ayah dan ibu kita.
Ya Allah, Tuhan yang Maha Penyayang
Kurniakanlah kepadaku kasih sayang dan perhatian suamiku, kedua ibubapaku dan juga anak-anakku sebagaimana aku mengasihi dan menyanyangi mereka...