Showing posts with label muhasabah diri. Show all posts
Showing posts with label muhasabah diri. Show all posts

Saturday, 12 October 2013

Di sebalik Ujian dan Cinta Agung

Hati mana tak pernah dilukai, hati mana tak pernah disakiti. Selagi bernama manusia pasti urusan hati tidak akan selesai sampai bila-bila. Hari ini kita gembira, esok lusa kita berduka nestapa. Hari ini kita hidup dengan penuh keyakinan, esok mungkin kita hilang keyakinan diri. Hari ini kita berani, esok lusa kita menjadi seorang yang sangat-sangat pengecut. Apapun keadaan kita Allah Maha mengetahui, Maha Melihat dan juga Maha Mendengar. Inilah cabaran dunia, Allah menguji tanpa henti.Hanya insan yang sabar dan yakin sahaja yang mampu meneruskan kembara hidup di alam fana ini.

Allah yang Maha Penyayang telah menyediakan penawar untuk kita mengubati penyakit  hati. Antara penawar yang disediakan ialah solat, terutamanya Qiamulail. Esakan, tangisan dan rintihan di sepertiga malam di saat-saat kesunyian adalah nikmat cinta Agung yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Air mata yang menitis, menginsafi kesilapan dan kekhilafan diri di depan yang Maha Pencipta akan diberi limpahan kurnia dariNya. Ia adalah nikmat yang tidak akan difahami oleh sesiapapun melainkan kepada orang yang merasainya. Tangisan yang mengalir di malam hari akan menghilangkan segala rasa hiba dan kesakitan yang ada yang akan menjadi kekuatan kepada jiwa untuk mengharungi gelombang kehidupan.

Saya percaya dengan bertawakal dan berdoa serta usaha yang berterusan Allah tidak pernah dan tidak akan memandangnya sia-sia. Apabila Allah menolong kita, tiada sesiapapun yang boleh menahannya. Pertolongan Allah akan datang dalam pelbagai rupa, dalam bentuk idea, kelapangan masa, kesihatan, ketenangan dan pelbagai-bagai lagi. Hanya manusia yang jahil sahaja yang tidak mampu  untuk menilai kemakbulan doa yang Allah berikan kepada kita.

Pernah suatu ketika saya merasa sangat-sangat terluka dengan perbuatan manusia. Setiap malam saya saya bangun untuk bersolat, berdoa dan menangis kepada Allah supaya diberi kekuatan untuk merawat kelukaan yang saya hadapi. Tak kala saya menangis dan memohon kepada Allah, Antara yang saya minta ialah:
a) Saya meminta supaya Allah mengampunkan segala dosa-dosa yang saya lakukan. Mungkin disebabkan kekhilafan saya sendiri yang menyebabkan saya menghadapi kelukaan itu.
b) Saya meminta  supaya Allah, jangan adakan perasaan benci atau dendam di hati saya dan melupakan perbuatan manusia yang telah melukakan hati saya kerana dengan adanya perasaan sebegitu seolah-olah akan menjadi sekam membakar diri,
 c) Seterusnya saya bermohon agar Allah mengubati hati saya dengan memberikan hadiah yang terbaik untuk saya merawat kelukaan ini. Itulah doa yang saya minta waktu itu.

Alhamdulillah Allah SWT memberikan apa yang saya minta. Pertama, apa yang saya rasa adalah ketenganan jiwa yang membolehkan saya lebih fokus untuk menyiapkan kerja-kerja saya tanpa memikirkan tentang kelukaan yang saya hadapi dan Allah SWT juga memberikan hadiah kepada saya dengan menjadikan saya sebagai tetamu istimewa di Mekah dan juga Madinah. Alhamdulillah impian untuk ke sana  dimakbulkan oleh Allah SWT. Dan saya yakin itu adalah hikmah dan hadiah dari Allah di atas kesakitan dan kelukaan yang saya hadapi.

Ketenangan dan kebahagiaan jiwa ketika menjadi tetamu Allah adalah saat indah yang sukar dilafazkan dengan kata-kata

Setiap kali ada kesempatan yang baik, di tempat yang baik, dan di waktu yang baik saya akan mengulangi merayu dan merintih kepada Allah. Bila Allah berikan ujian kepada saya, pertama kali  saya akan berkata : "Allah tidak akan memberikan ujian kepada saya, kalau Dia tahu saya tak mampu untuk menanggungnya, dan seterusnya diungkapkan dengan rasa syukur dan redha dengan ujian yang datang.  Dan selebihnya saya akan berserah kepada Allah untuk menguruskannya. Kerana jika kita meminta manusia mengaturkan perjalanan hidup kita, kita sering menjadi mangsa, dan jika kita sendiri yang menguruskannya kita pasti tak akan mampu untuk mengendalikannya. Tapi sekiranya kita berserah kepada Allah SWT, untuk menguruskannya saya yakin keajaiban pasti akan berlaku. Kadang-kadang  masalah yang kita rasa kita sudah kalah, kita sudah tewas dan kita amat-amat  penat tetapi Allah boleh menggantikannya dengan kemenangan, kejayaan dan kebahagiaan jiwa. Itulah Ajaibnya cinta Allah, kasih sayangnya tak pernah bertepi kepada insan yang bernama hamba.

Semoga kita semua akan menjadi tetamu Allah suatu hari nanti

Wednesday, 3 April 2013

Tinta buat anak

Anak-anakku

Cuba kau penjamkan matamu, tenangkan fikiranmu,tanya dalam hatimu.. Apakah tujuan hidup kita sebenarnya. Seandainya diri ini mampu berkata-kata pada seluruh dunia dengan suara yang kuat bergema, akan kulontarkan satu jeritan yang menusuk di dalam jiwa... bahawa dunia ini sudah hampir ke penghujungnya, dunia ini sudah terlalu tua, dunia ini hanya menunggu masa untuk binasa.

Hapuskan persengketaan, koyakkan segala permusuhan, lontarkan segala maksiat dan kejahatan, bersihkan diri dengan air suci, supaya jiwa tidak hitam lagi.

Duhai anak-anakku

Fikirkan sedalam mungkin, apa arah kehidupanmu, sematkan ke dalam jiwamu azam dan semangat yang kental, kerana hidup ini bukan sekadar untuk bersuka ria. tetapi ada tujuan dan matlamat yang telah tersedia untuk diterpa.

Indah sungguh pertemuan ini, perancangan Allah yang Maha Kuasa. Hari demi hari, bulan demi bulan dan tahun demi tahun. kita semakin akrab dan bertambah akrab. Allahuakbar3x... Maha Suci Engkau Ya Allah. Terlalu banyak kenangan kami. Namun kami terpaksa akur dengan sunnahMu.. Setiap pertemuan akan berakhir dengan perpisahan..

Ahh berhentilah duhai mata, dari mengalirkan mutiara jernih. Perpisahan ini bukan untuk ditangisi tetapi untuk dikenang, bukan kenangan hari ini, tetapi untuk selama-lamanya.

Tuesday, 11 December 2012

Kita bertanya, Allah menjawab..

Bila diri terasa letih mengharungi seribu satu macam dugaan hidup. Bila tangisan kita panjang dan kedukaan kita datang. Bila kita kehilangan teman untuk berbicara dan berkata-kata. Bila kita kecewa di dalam usaha kita yang tak pernah menjadi. Bila kita merintih dengan kesakitan yang datang. Sebenarnya setiap saat kepahitan dan kepayahan yang kita lalui itu adalah tanda besarnya kasih sayang Allah kepada kita.

KITA BERTANYA: KENAPA AKU DIUJI?
ALLAH MENJAWAB:
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."
(Surah Al-Ankabut, Ayat 2-3)

KITA BERTANYA: KENAPA AKU TAK DAPAT APA YG AKU IDAM-IDAMKAN?
ALLAH MENJAWAB:
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
(Surah Al-Baqarah, Ayat 216)

KITA BERTANYA: KENAPA UJIAN SEBERAT INI?
ALLAH MENJAWAB:
"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya."
(Surah Al-Baqarah, Ayat 286)

KITA BERTANYA: KENAPA RASA FRUST?
ALLAH MENJAWAB:
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman."
(Surah Al-Imran, Ayat 139)

KITA BERTANYA: BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?
ALLAH MENJAWAB:
"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)."

KITA BERTANYA LAGI: BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?
ALLAH MENJAWAB:
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk"
(Surah Al-Baqarah, Ayat 45)

KITA BERTANYA: APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI?
ALLAH MENJAWAB:
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu’min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka… “
(Surah At-Taubah, Ayat 111)


KITA BERTANYA: KEPADA SIAPA AKU BERHARAP DAN MEMINTA PERTOLONGAN?
ALLAH MENJAWAB:
"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dari Nya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal."
(Surah At-Taubah, Ayat 129)

KITA BERKATA: AKU TAK DAPAT TAHAN!!!
ALLAH MENJAWAB:
"… ..dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir."
(Surah Yusuf, Ayat 87).
KITA BERKATA: KEPADA SIAPA HENDAK KITA MENGADU UNTUK MELERAIKAN SEGALA KEKUSUTAN INI.
ALLAH MENJAWAB:
‘Dan apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu (Muhamad) tentang aku, maka sesungguhnya aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa kepadaKu. (Surah Al-Baqarah: 186)
KITA BERKATA: SIAPAKAH YANG AKAN MEMBANTU KITA UNTUK MENGURUSKAN SEGALA KEPAYAHAN DAN KESUSAHAN YANG KITA HADAPI:



ALLAH MENJAWAB:
(Ingatlah), ketika kamu memohon pertolongan kepada TuhanMu lalu diperkenankanNya bagiMu. “Sungguh aku akan mendatangkan bala bantuan kepadaMu dengan seribu Malaikat yang datang berturut-turut.

Ujian yang datang kepada kita adalah dari Allah, dan kepadaNyalah kita memohon petunjuk dan juga pertolongan. Setelah berusaha bersungguh-sungguh, mintalah dengan Allah dengan sebenar-benar permintaan. Berserahlah kepada Allah dengan sebulat-bulat penyerahan. Ikhlaskan diri, dan rendahkan diri serendah-rendahnya dan menangislah memohon keampunanNya, kerana titisan air mata yang mengalir kerana takutkan Allah akan memadamkan api neraka yang marak menyala. Menangis kerana kekalahan dunia tidak akan memberikan apa-apa faedah kepada kita, malah makin kuat kita menangis kerana hal duniawi, makin kusut jiwa dan juga perasaan.

Rasulullah S.A.W menyatakan bahawa di akhirat kelak, antara golongan manusia yang mendapat perhatian Allah SWT ialah mereka yang menangis kerana Allah Taala. Allah SWT berseru, “ Dimanakah hamba-hamba-Ku yang menangis?” Lalu Allah SWT memerintahkan para Malaikat-Nya supaya membawa hamba-hamba-Nya yang menangis di siang hari lebih-lebih lagi di malam hari kerana mengenangkan dosa-dosa mereka.

Sebanyak mana air mata yang mengalir kerana takutkan kemurkaan Allah, maka ia akan ditimbang bersama-sama dengan darah para syuhada yang tumpah kerana memperjuangkan dan mempertahankan agama Allah. Air mata itu juga akan ditimbang bersama-sama dengan dakwat ulama yang telah menulis berbagai-bagai kitab yang memperjelaskan hukum-hakam dan syariat Allah SWT supaya difahami dan diamalkan oleh manusia.

Ya Allah Ya Tuhan kami...
Tunjukilah kami jalan yang lurus.
bimbinglah kami, kuatkanlah hati-hati kami,
Suburkanlah rasa cinta dan pergantungan kami kepadaMu Ya Allah,
jua kepada KekasihMu Ya Allah buah hati kami Nabi Muhammad SAW.
Ya Allah..
Jadikanlah air mata yang jatuh di pipi kami
Air mata yang takutkanMu Ya Allah.
Air mata keinsafan
Di atas dosa dan kekhilafan kami kepadaMu.
Amin Ya Rabal Alamin.

Thursday, 19 July 2012

Marhaban Ya Ramadhan

Marhaban Ya Ramadhan

Wahai Allah..
Ampunilah dosa kami pada janji yang telah kami mungkiri.
Ampunilah dosa kami pada amanahmu yang telah kami khianati
Ampunilah dosa kami pada ujian dan dugaanMu yang kami tak sabar untuk menghadapi
Ampunilah dosa kami pada nikmat dan kurniaanMu yang tidak kami syukuri.
Ampunilah dosa kami pada rahmat dan kasih sayangMU yang tidak kami sedari.

Terima kasih Ya Allah di atas peluang yang kau berikan..
Untuk kami terus berada di bulan yang penuh rahmat dan kasih sayangMU.
Untuk kami mengecapi keindahan dan kemuliaan Ramadhan.
Untuk kami menikmati syahdu dan khusuknya bermunajat kepadaMu.
Untuk kami bersihkan diri dan jiwa kami dari hiasan-hiasan duniawi.

Mohon kami Ya Allah, di bulan yang penuh barakah ini.
Istiqamahkan hati-hati kami
Ikhlaskan hati-hati kami
Bersihkan jiwa-jiwa kami
Berikan kesihatan dan kekuatan kepada kami
Untuk kami terus dan terus berbakti
Moga di penghujung perjuangan ini
RedhaMu yang bakal menanti..

Dari dairi :
Cinta seorang hamba
Yazilmiwati Yaacob

Wednesday, 16 May 2012

Allah menguji kerana menyangimu

Duhai teman Berjalan di bumi ini, Terasa kian payah dan semakin susah, Satu demi satu kekusutan datang, Walaupun cuba untuk leraikan, Namun tiada jalan yang penyelesaian, Bila kekusutan dan kepayahan datang, Yang tenang berubah menjadi suram, Yang sabar berubah menjadi resah, Yang riang berubah menjadi gundah, Kepada siapa hendak diadukan segala keresahan, Siapa yang sudi mendengar segala keluhan, Siapa yang sudi mengubat luka jiwa yang lara.. Teman, Renunglah ke dalam mata hati, Siapakah yang menciptakan manusia, Siapakah yang memberikan ujian demi ujian, Siapakah yang kasihNya tidak pernah berkurang, Siapakah yang rahmatNya meluas tak bertepi, Teman, Kisah duka dan derita, Kisah susah dan sengsara, Kisah pahit dan air mata, Adalah hadiah yang tidak diminta, Kerana di sebalik kisah sedih itu, Allah ingin sekali melihat hambaNya, Menangis dan merintih sayu kepadaNya, Merendah diri dan meminta, Menadah tangan dan berdoa, Dalam sedu dan air mata, Ya Allah Ya Rabbi.. Ku syukuri segala pemberianMu, Aku redha di atas ujianMU, Dan aku memohon kau ampunilah dosa-dosaku, Kau rahmatilah perjalanan hidupku.. Dan tabahkanlah hatiku di dalam menerima UjianMu, Berikanlah aku petunjuk dan jalan untuk kuharungi, Segala dugaan yang menimpaku.. Berikanlah aku jalan keluar dari segala masalah yang aku hadapi, Berilah aku semangat yang kuat dan jiwa yang kental di dalam mengharungi hidup ini, Kuatkanlah imanku dan rahmatilah aku. Duhai Teman.. Ujian Allah adalah bukti kasih sayangNya, Kerana bersama-sama dengan kesusahan pasti ada bahagia di penghujungnya..

Thursday, 20 November 2008

Kebesaran Allah (air terjun di atas gunung nuang)

Tuhan,
Tika fajar menyinsing,
mega unggu beriring
Embun membasahi pipi.
aku menangis sendiri
terasa kerdil diri ini.
aku mendongak ke langit
hanya langit biru
tidak kulihat engkau
aku tunduk ke bumi
hanya rumput hijau
tiada kulihat jua.
ku menginsafi diri
yang lahir dari hati.
kebesaranmu aku kagumi