Showing posts with label Kampungku. Show all posts
Showing posts with label Kampungku. Show all posts

Thursday, 4 April 2013

Kedai Pak Su Che Mat dan Pokok Star



Di kampung  Padang Kijang waktu itu hanya ada satu kedai runcit sahaja iaitu kedai Pak Su Che Mat dan kedai tu masih kekal hingga ke hari ini dan diwarisi oleh anaknya yang bongsu Che Usop.  Kedai runcit tersebut menjual barang  keperluan masyarakat kampung  seperti gula, garam, bawang, beras, sabun mandi, sabun basuh  dan sebagainya. Masa dulu tak ada Tesco, Giant atau supermarket besar seperti hari ini. Sekali sekala sahaja saya akan dibawa oleh Mak saya ke Bandar Tanah Merah. Itupun dua kali setahun. Kali pertama  ketika nak beli peralatan dan pakaian sekolah, kali kedua ketika nak beli pakaian dan kelengkapan raya. Di dalam keluarga, saya seringkali disuruh oleh mak saya atau Mak Timah untuk membeli  barang keperluan  seperti gula, bawang atau sebagainya di kedai Pak Su Che Mat yang jaraknya lebih kurang 500 meter dari rumah. Jalan untuk ke kedai perlu melalui dua ladang getah dan jalannya cuma lorong kecil sahaja.
 
Saya tak kisah  untuk ke kedai dan beli macam-macam barang, walaupun waktu itu usia  saya baru  7- 8 tahun. Walaupun masih kecil saya mampu membawa barang yang saya beli dengan selamat. Seingat saya, perkara yang  menakutkan saya waktu itu adalah perjalanan untuk ke kedai.  Ada satu pokok yang besarnya satu pemeluk. Pokok tersebut dikenali sebagai pokok Star. Kenapa Star? Pokok Star adalah pokok kundang. Biji dalam buah star berwarna ungu. Bahasa Kelantan warna ungu dipanggil warna putih star. Oleh sebab itulah pokok kundang itu dipanggil pokok star. Saya memahami asal nama pokok tersebutpun ketika saya sudah besar panjang dan cuba menganalisis sendiri dari mana asalnya nama pokok tersebut. Pokok tu sangat besar dan rendang dan berada  betul-betul di pertengahan jalan  saya ke kedai. Di batang pokok tersebut ada getah hitam yang mengalir panjang seolah-olah air mata yang sedang menangis.  Bila saya hendak ke kedai, saya kena melalui ladang getah dan juga pokok Star tersebut. Orang sentiasa bercerita benda pelik-pelik pasal pokok star itu. Pokok itu dikatakan berhantu. Kalau malam jumaat, orang akan mendengar suara tangisan daripada pokok tersebut. Bila dengar cerita orang tentang pokok tersebut membuatkan perut saya kecut.

Suatu hari ketika Mak saya menyuruh saya membeli gula. Saya terus bergerak, tidak ada kawan yang boleh menemani saya waktu itu kerana adik saya masih lagi kecil.  Dalam perjalanan saya  ke kedai, samada suka atau tidak, saya akan jumpa dengan satu pokok yang amat menakutkan saya itu.  Apa yang saya buat waktu itu. Saya akan berhenti depan pokok dan  bercakap dengan pokok tu.
“Hai pokok, janganlah usik saya ya. Saya ni nak tolong Mak saya beli barang, kalau saya tak tolong  beli barang, mak saya akan marah saya. Kita kawan ya pokok”.

Setiap kali hendak beli barang, setiap kali itulah saya akan bercakap dengan pokok tu.  Masa pulang beli barang pula saya akan cakap terima kasih kat pokok tu sebab tak kacau saya. Itulah yang saya akan lakukan bila saya disuruh membeli barang, sehingga saya rasa tidak takut lagi kepada pokok tersebut.

Bila saya ingat balik peristiwa tu saya rasa geli hati. Namun pengalaman semasa saya kecil mengajar saya sesuatu. Kalau kita takut untuk menghadapi sesuatu kita kena kuatkan semangat untuk menghadapinya. Bercakaplah secara positif kepada sesuatu yang kita takuti, hadapi ia dengan tenang. Insya Allah, benda yang luar biasa akan menjadi biasa untuk kita.

Tuesday, 2 April 2013

Generator dan TV

Saya berpindah daripada tinggal di dalam kem tentera ke kampung ketika berusia 7 tahun. Bersama saya adalah satu-satunya abang saya yang waktu itu berusia 10 tahun. Mek pula sedang menunggu saat-saat kelahiran adik saya. Pada mula kami balik ke kampung, Kami tinggal bersama dengan Mok Timah (nenek sebelah Ibu saya) dan Cik Yaacob (Ayah sebelah mek). Ketika berpindah di Kampung Ayah masih lagi bekerja di Kem Tentera Batu 11, Tanah Merah Kelantan.

Di kampung, tidak ada kemudahan eletrik, tidak ada jalan tar, tidak ada air paip, kemudahan telefon jauh sekali. Setelah berpindah ke kampung, Ayah terpaksa menjual peti ais, dan barangan eletrik yang lain kepada saudara-saudaranya yang tinggal di bandar yang rumah mereka mempunyai kemudahan eletrik. Hasil jualan barang-barang eletrik ayah telah membeli satu generator untuk menerangi kami sekeluarga di waktu malam. Tenaga eletrik yang dihasilkan dari generator ayah tak terhenti di situ, ada dua rumah berkongsi enjin yang sama iaitu rumah Pak Adik Cik Daud dan juga rumah Tuan Soh. Ayah mengambil sedikit sewa untuk membeli minyak generator.

Oleh sebab rumah kami di antara rumah yang ada TV di kampung pada masa itu, Malam minggu rumah kami akan dipenuhi oleh jiran dan sanak saudara yang tinggal berdekatan untuk menonton TV bersama. Kami menonton TV mengalahkan pawagam-pawagam canggih yang ada sekarang. Mok Timah pula seorang yang rajin, jiran yang datang tengok TV akan dijamu dengan macam-macam makanan antaranya ubi keledek, ubi kayu, ubi badak, dan kadang-kadang pisang rebus dengan air kopi atau colek buah pelam muda, paling tidakpun Mok Timah akan jamu tebu yang telah diracik-racik. Itulah snack yang Mok Timah sediakan untuk jiran yang menonton TV di rumah kami.

Tayangan yang paling diminati pada masa itu adalah gusti. Bila ada gusti semua orang bersemangat. Nak-nak lagi Cik Yaacob (Atok lelaki). Bila dia tengok gusti saya yang gelak terkekek-kekek. Cik Yaacob punya semangat berlawan sangat tinggi, sapa yang ada kat depan pasti kena belasah. Pernah saya duduk depan Cik ketika tayangan gusti. Kepala saya kena tumbuk. Cik angkat tangan dan belasah saya tanpa dia sedar. Saya menangis kesakitan. Tapi malangnya tangisan saya diketawakan jiran-jiran. Cik peluk dan gosok kepala saya sambil tersengih.

“Lain kali jangan dok dekat, kalau orang tengah tengok gusti, bahaya, kan tak pasal-pasal kena sakit.” Nasihat Cik Yaacob sambil tersengeh dan menggosok-gosok kepala saya yang terkena penumbuknya. Cik Yaakob terkenal dengan sifat kepahlawanannya di kampung. Dia memang hebat dan mempunyai ilmu persilatan. Kalau ada majlis keramaian Cik Yaacob akan mempersembahkan silatnya dengan diiringi muzik tradisional Kelantan. Pada saya Cik Yaacob memang hebat.

Walaupun kami hanya menonton TV pada hujung minggu sahaja. Namun kami tetap puas dan terhibur. Bila saya teringat balik, kepuasan kami bukan terletak kepada cerita yang ada di dalam TV, tetapi kepuasan kami terletak kepada kehidupan kami yang sentiasa harmoni. Untuk hidup seperti ini tidak memerlukan kepada gajet-gajet canggih. Cukup dengan rasa kebersamaan dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Hakikat sebenarnya generator dan TV ayah telah menyatukan bukan sahaja kami sekeluarga malah sekampung!!!

Monday, 1 April 2013

Penghijrahan



Saya dilahirkan di sebuah Kampung yang diberi nama Kampung Padang Kijang di dalam Daerah Tanah Merah Kelantan. Ketika berusia 56 hari, saya telah di bawa oleh ayah dan mek berhijrah Ke Kuala Lumpur, mengikut ayah yang bertugas sebagai tentera di Wardieburn Camp, Setapak Kuala Lumpur. Sewaktu saya berumur 3 tahun sekali lagi saya berhijrah Oya Camp, Sibu Sarawak menaiki kapal laut merentasi Laut Cina Selatan dan ketika berusia 5 tahun saya berpindah ke Majidee Camp Johor Baharu. Sepanjang usia saya 5 tahun. Saya dibesarkan di dalam Kem tentera. Saya tidak ingat waktu itu sebab saya masih lagi kecil. Apa yang saya ingat sebelah petang mek (panggilan ibu saya) akan membawa saya bermain-main di padang yang terletak di dalam kem tentera bersama-sama dengan anak-anak jiran yang juga merupakan anak tentera. Sehinggalah umur saya 7 tahun, saya berpindah ke kampung halaman di mana tempat asalnya ayah, ibu dan saya sendiri iaitu di kampung Padang Kijang,Tanah Merah Kelantan. Perpindahan ini merupakan titik permulaan baru dalam hidup saya kerana disinilah sejarah hidup saya bermula kerana daripada anak yang dibesarkan di dalam kem tentera yang tak pernah pijak tanah berselut, bermain lumpur di tanah bendang, sentiasa berpakaian cantik dan indah. Saya kena belajar hidup sebagai orang kampung.

Secara jujurnya saya merasa sangat bertuah dan bersyukur kepada Allah yang Maha Esa kerana Dia telah memberikan saya peluang untuk merasai dua suasana yang sangat berbeza. Suasana menjadi anak yang orang bandar, yang seharian kena berkurung di dalam rumah, tidak dibenarkan keluar bercampur dan bermain sana sini. Dan satu lagi suasana kampung yang dibiarkan bebas beraktiviti tetapi masih lagi terikat dengan adat dan agama.

Hakikatnya seluruh kehidupan insan mempunyai cerita dan nostalgianya yang tersendiri. Kita sebagai insan adalah pelakon di atas pentas dunia yang bakal melalui epilog suka dan duka di dalam meniti arus masa sementara menunggu destinasi yang kekal abadi. Setiap daripada kita adalah bayi yang dilahirkan ke dunia seperti kain putih, kehidupan dan masa depannya dicorakkan daripada pengalaman yang dilaluinya samada pengalaman itu dibentuk oleh kedua ibubapanya, keluarganya, budayanya ataupun dari persekitarannya sendiri.

Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui apa yang tidak diketahui oleh Hambanya. Allah itu Maha Memberi kepada yang meminta dan Allah juga Maha Pengasih dan juga Penyayang kepada makluknya yang bernama insan. Tidak pernah satupun yang terjadi ke atas kita yang terlepas daripada pandanganNya.

"Ya Allah Ya Tuhanku!.Janganlah Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh kami sendiri, walaupun sekadar sekelip mata."