Tuesday 11 December 2012

Kita bertanya, Allah menjawab..

Bila diri terasa letih mengharungi seribu satu macam dugaan hidup. Bila tangisan kita panjang dan kedukaan kita datang. Bila kita kehilangan teman untuk berbicara dan berkata-kata. Bila kita kecewa di dalam usaha kita yang tak pernah menjadi. Bila kita merintih dengan kesakitan yang datang. Sebenarnya setiap saat kepahitan dan kepayahan yang kita lalui itu adalah tanda besarnya kasih sayang Allah kepada kita.

KITA BERTANYA: KENAPA AKU DIUJI?
ALLAH MENJAWAB:
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."
(Surah Al-Ankabut, Ayat 2-3)

KITA BERTANYA: KENAPA AKU TAK DAPAT APA YG AKU IDAM-IDAMKAN?
ALLAH MENJAWAB:
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
(Surah Al-Baqarah, Ayat 216)

KITA BERTANYA: KENAPA UJIAN SEBERAT INI?
ALLAH MENJAWAB:
"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya."
(Surah Al-Baqarah, Ayat 286)

KITA BERTANYA: KENAPA RASA FRUST?
ALLAH MENJAWAB:
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman."
(Surah Al-Imran, Ayat 139)

KITA BERTANYA: BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?
ALLAH MENJAWAB:
"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)."

KITA BERTANYA LAGI: BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?
ALLAH MENJAWAB:
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk"
(Surah Al-Baqarah, Ayat 45)

KITA BERTANYA: APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI?
ALLAH MENJAWAB:
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu’min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka… “
(Surah At-Taubah, Ayat 111)


KITA BERTANYA: KEPADA SIAPA AKU BERHARAP DAN MEMINTA PERTOLONGAN?
ALLAH MENJAWAB:
"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dari Nya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal."
(Surah At-Taubah, Ayat 129)

KITA BERKATA: AKU TAK DAPAT TAHAN!!!
ALLAH MENJAWAB:
"… ..dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir."
(Surah Yusuf, Ayat 87).
KITA BERKATA: KEPADA SIAPA HENDAK KITA MENGADU UNTUK MELERAIKAN SEGALA KEKUSUTAN INI.
ALLAH MENJAWAB:
‘Dan apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu (Muhamad) tentang aku, maka sesungguhnya aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa kepadaKu. (Surah Al-Baqarah: 186)
KITA BERKATA: SIAPAKAH YANG AKAN MEMBANTU KITA UNTUK MENGURUSKAN SEGALA KEPAYAHAN DAN KESUSAHAN YANG KITA HADAPI:



ALLAH MENJAWAB:
(Ingatlah), ketika kamu memohon pertolongan kepada TuhanMu lalu diperkenankanNya bagiMu. “Sungguh aku akan mendatangkan bala bantuan kepadaMu dengan seribu Malaikat yang datang berturut-turut.

Ujian yang datang kepada kita adalah dari Allah, dan kepadaNyalah kita memohon petunjuk dan juga pertolongan. Setelah berusaha bersungguh-sungguh, mintalah dengan Allah dengan sebenar-benar permintaan. Berserahlah kepada Allah dengan sebulat-bulat penyerahan. Ikhlaskan diri, dan rendahkan diri serendah-rendahnya dan menangislah memohon keampunanNya, kerana titisan air mata yang mengalir kerana takutkan Allah akan memadamkan api neraka yang marak menyala. Menangis kerana kekalahan dunia tidak akan memberikan apa-apa faedah kepada kita, malah makin kuat kita menangis kerana hal duniawi, makin kusut jiwa dan juga perasaan.

Rasulullah S.A.W menyatakan bahawa di akhirat kelak, antara golongan manusia yang mendapat perhatian Allah SWT ialah mereka yang menangis kerana Allah Taala. Allah SWT berseru, “ Dimanakah hamba-hamba-Ku yang menangis?” Lalu Allah SWT memerintahkan para Malaikat-Nya supaya membawa hamba-hamba-Nya yang menangis di siang hari lebih-lebih lagi di malam hari kerana mengenangkan dosa-dosa mereka.

Sebanyak mana air mata yang mengalir kerana takutkan kemurkaan Allah, maka ia akan ditimbang bersama-sama dengan darah para syuhada yang tumpah kerana memperjuangkan dan mempertahankan agama Allah. Air mata itu juga akan ditimbang bersama-sama dengan dakwat ulama yang telah menulis berbagai-bagai kitab yang memperjelaskan hukum-hakam dan syariat Allah SWT supaya difahami dan diamalkan oleh manusia.

Ya Allah Ya Tuhan kami...
Tunjukilah kami jalan yang lurus.
bimbinglah kami, kuatkanlah hati-hati kami,
Suburkanlah rasa cinta dan pergantungan kami kepadaMu Ya Allah,
jua kepada KekasihMu Ya Allah buah hati kami Nabi Muhammad SAW.
Ya Allah..
Jadikanlah air mata yang jatuh di pipi kami
Air mata yang takutkanMu Ya Allah.
Air mata keinsafan
Di atas dosa dan kekhilafan kami kepadaMu.
Amin Ya Rabal Alamin.

Monday 19 November 2012

"Maafkan Akif Mama!!"

Gerimis pagi mengiringi perjalanan saya ke office, saya ada kelas pagi ni, ada pembentangan kertas kerja pelajar pukul 8.30 pagi. Pembentangan terakhir. Saya ke tempat kerja dengan perasaan yang berkecamuk di dalam diri, samada saya hendak menemani bujang sulong saya mengambil keputusan peperiksaan UPSR atau saya meneruskan pekerjaan saya.

“Hari ni, abang pergi teman akif ambil result, mama ada kelas. Nanti kalau sempat mama datang, apapun yang terjadi pada result anak kita, kita kena redha ya bang..” saya berpesan kepada suami sebelum melangkah keluar ke tempat kerja. Suami saya mengangguk tanda setuju.

Selepas habis kelas jam 8.30 pagi, saya bergegas menunaikan Solat Dhuha dan selesai membaca doa sunat dhuha Saya berdoa kepada Allah SWT.

Ya Allah Ya tuhanku! Hari ni result UPSR anakku keluar. Aku sentiasa memohon yang terbaik dariMu yang Allah. Sentiasa bermohon agar mendapat keputusan yang terbaik daripadaMu Ya Allah. Sebagai ibu aku sudah berusaha sedaya yang mampu untuk memberikan yang terbaik untuk anakku Akif. Walaupun apapun keputusannya hari ini. Semoga kami sekeluarga tenang dan redha menerimanya. Amin.

Tanpa sedar air mata saya menitis laju, pipi saya sejuk namun saya dapat merasakan ketenangannya. Keluar dari surau saya terus bergegas untuk ke sekolah Akif. Sekolah Keb Taman Putra Perdana. Kedengaran suara cikgu mengumumkan keputusan mereka yang mendapat 5A. Sekolah Akif berada di kedudukan kedua Daerah Sepang. Ada 27 orang pelajar yang mendapat keputusan 5A. Seorang demi seorang anak-anak yang berjaya mendapat 5A naik ke pentas. Saya memandang anak-anak yang menaiki pentas dengan tenang. Setelah habis senarai 27 orang pelajar. Nama Akif saya tidak dipanggil. Sah anak saya tidak mendapat 5A. Saya perlu mencari dia, di mana dia? Saya perlu memberikan sokongan kepadanya.

Bila saya mendapatkannya, air matanya terus mengalir.

”Mama Akif minta maaf…Maafkan Akif Mama” Dia tak dapat meneruskan kata-kata. Hanya air mata kecewa yang menitis. Saya terus memeluknya erat sambil melihat slip keputusan peperiksaan yang dihulurkan kepada saya. 4A 1B. Subjek Sains dapat B.

Saya menepuk2 bahunya..”Akif, Akif jangan nangis, Pada mama Akif dah melakukan yang terbaik. Oklah ni dapat macam ni. Anak lelaki memanglah result dia macam ni slow and steady.” Saya mula berseloroh untuk menenangkan perasaannya.

“Mama ni, Akif serius, mama main-main plak,”Sambil menyapu air matanya yang mengalir di tudung saya.Dia memang begitu. Bila menangis tudung saya yang menjadi sasaran. Saya tersengeh dengan membiarkan sahaja dia melakukan begitu. Abahnya diam tak terkata. Tapi saya perasan, mata abahnya berkaca. Terharu agaknya..

“Minggu depan mama cuti seminggu, mama nak cari sekolah tahfiz untuk Akif. Akif setuju? Kita doa sama-sama ya, semoga akif dapat belajar di sekolah tahfiz nanti” Saya menyambung kata-kata saya. Kedua mereka memandang saya. Akif hanya mampu mengangguk-anggukan kepala.

“So macam mana? Akif nak balik dengan mama ke? Mama dah nak balik dah ni..”..Saya memulakan pertanyaan. Bila melihatkan tangisan akif yang semakin redha.

“Mama pergilah baliklah dulu, Akif nak layan perasaan jap kat tiang sekolah ni” Dia mula berseloroh.

”Mmm ok gak tu, pegang tiang tu kuat-kuat. Takut terbalik susah pula nanti. Kesian kat adik nanti tak sempat habis belajar kat sini..” saya melawak lagi. “Nak layan perasaan tu jangan lama sangat, mama dengan abah nak pergi makan ni, karang ada pula yang lapar”..Saya menghabiskan ayat saya sambil meninggalkan dia sambil tersenyum.

Masuk sahaja di dalam kereta, saya menadah tangan berdoa..

"Alhamdulillah Syukur Ya Allah, aku sudah berikan yang terbaik dan aku sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anakku Zul Akif, dan aku bersyukur dan redha inilah yang terbaik untuknya. Terima kasih di atas segala pemberianMu ke atas kami. Amin..”

Mesej dan call berpusu-pusu masuk bertanyakan Akif dan saya melayannya satu persatu..:) Terima kasih semua.


Wednesday 14 November 2012

Kerinduan!!!


Pulang sahaja dari program perkhemahan di Mujahadah Agro Camp. Saya menerima panggilan dari adik perempuan saya. Dia bagitahu saya yang bapa mertuanya baru pulang dari Mekah sekarang tengah koma di Hospital Putrajaya. Nafas saya terhenti seketika, saya kenal sangat dengan bapa mertuanya, Ayah Mat, orangnya sangat peramah dan sentiasa ceria, saya tak dapat gambarkan keadaan beliau yang tengah koma. Namun saya tidak meneruskan untuk pergi ke Hospital malam itu disebabkan Ayah Mat dalam ICU dan kepenatan saya yang baru pulang dari berprogram menghalang saya untuk berbuat demikian.

Keesokan harinya, setelah tiba waktu melawat saya terus meluru ke Hospital. Di hospital saudara mara sudah penuh berhimpun di sekeliling katil. Kelihatan wajah sugul isteri ayah mat yang saya panggil mek berada di tepi katil dengan air mata berlinang. Bila melihatkan kehadiran saya, air matanya makin deras mengalir. Hati saya tetiba menjadi sayu. Saya cuba menahan air mata dari menitis, waktu itu saya kena kuat. Saya datang untuk beri dia semangat. Saya tenung wajah ayah Mat yang tengah koma, nafasnya tersekat-sekat. Mek memulakan ceritanya.

“Mek terpisah dengan Ayah Mat ketika kami hendak melakukan Wuquf di Padang Arafah. Sebelum ini ayah dimasukkan ke hospital di Mekah kerana demam dan sakit kencing manis yang dialaminya. Setiap hari Mek akan datang menemaninya di sana. Oleh kerana wuquf adalah rukun haji yang wajib kami kerjakan, kami terpaksa pergi berasingan. Mek pergi sendiri dengan rombongan tabung haji, dan ayah pulak pergi dengan ambulance bersama pesakit-pesakit yang lain. (Saya dapat gambarkan keadaan itu,sewaktu saya pergi umrah tahun 2010, ayah tunjukkan hospital dekat Padang Arafah, ayah juga bercerita kepada saya, kalau tiba musim haji, beratus entah beribu orang pesakit akan dibawa oleh ambulance ke sini untuk menunaikan wuquf di Padang Arafah, masa ini kita pun tak kenal pesakit itu datang dari negara mana, sebab semua urusan pesakit diuruskan oleh kerajaan Arab Saudi. Dan ada juga pesakit yang meninggal dunia di sini)

Mek menyambung ceritanya “ Selepas itu kami tidak berjumpa lagi. Mek mencari ayah Mat di merata-rata tempat tetapi mek tak jumpa dengan Ayah Mat. Dalam keadaan yang tidak keharuan, Mek duduk di kaki lima masjidil haram mengadap Ka’abah, memohon kepada Allah SWT agar ditemui suami tercinta yang sudah hilang entah ke mana. Mek nekad waktu itu untuk mencium Hajarul Aswad untuk memohon kepada Allah supaya bertemu dengan Ayah Mat. Akhirnya dengan badan yang tidak bermaya mek meredah lautan manusia untuk mencium Hajarul Aswad. Cita-cita mek untuk mengucup Hajarul Aswad tercapai. Masa mek mencium Hajarul Aswad, mek menangis sungguh-sungguh supaya Allah menemukan mek dengan Ayah Mat. Kami sudah 8 hari terpisah.”Air matanya gugur lagi. Saya dapat bayangkan waktu itu macam mana, Mekah sangat istimewa, walaupun dalam lautan manusia yang sedang berpusu-pusu menunaikan tawaf dan berebut-rebut untuk mencium Hajarul Aswad tetapi dengan tekad dan keinginan yang kuat, Allah akan memperkenankan permintaan hambaNya.

Selepas selesai mengucup Hajarul Aswad, mek jatuh terjelepuk di depan Ka’abah. Pandangannya tidak berkelip memandang Ka’abah. Dalam hatinya memohon “Ya Allah bantulah hambaMu untuk mencari suamiku, kalau dia hidup khabarkanlah kepadaku di mana, kalau dia mati sekalipun sampaikanlah berita itu kepadaku. Aku redha Ya Allah”(Allah dengan sifat yang Maha Pengasih, walaupun hambanya tidak berbuat apa-apa cuma memandang Ka’abahpun akan mendapat 20 pahala kebajikan, apatah lagi kalau kita bersolat di depan Ka’abah) Dalam keadaan yang tidak menentu dan lemah itu seorang lelaki Melayu datang menghampiri Mek. Dia tanya mek “ Saya perhatikan Makcik menangis daripada tadi lagi. Kenapa ya? Mak cik ada masalah ke?” tanya lelaki tersebut. Mek menceritakan apa yang sudah berlaku. Rupa-rupanya lelaki tersebut adalah seorang Dokto yang kebetulannya juga sedang mengerjakan Haji di Mekah. (Bila kita meminta dengan bersungguh-sungguh pasti Allah akan makbulkan permintaan kita ) Mek memohon kepada doktor tersebut untuk mencari suami yang telah 8 hari hilang, yang tidak tahu khabar berita samada hidup atau mati. Mek pula tak pandai speaking dan tak tahu juga Berbahasa Arab untuk bertanya. Akhirnya dengan pertolongan Doktor tersebut Mek mula menjelajah dari satu klinik ke satu klinik, dari satu hospital ke satu hospital di Mekah dan akhirnya Mek bertemu juga dengan Ayah Mat yang tengah terlantar sakit tidak sedarkan diri di Hospital di Mina. Alhamdulillah Syukur kepada Allah dengan pertolongan yang diberikan. Walaupun di dalam pertemuan itu Ayah Mat tidak sedarkan diri, tapi Allah tetap izinkan kami bertemu.

Bermula dengan pertemuan itu setiap hari mek berdoa semoga Ayah Mat sedar dan sembuh. Mek dan Ayah Mat nak balik ke Malaysia. Masa untuk mereka menunaikan fardhu haji sudah hampir sampai ke penghujungnya. Akhirnya masa untuk pulang ke Tanah Air sudah tiba. Sekali lagi Allah SWT memperkenankan doa Mek, ayah mat sedar dari sakitnya dan Doktor memberi keizinan untuk ayah mat balik. Alhamdulillah.
Di dalam flight ayah mat seperti biasa, suka berseloroh dan melawak walaupun di dalam keadaan beliau yang sangat lemah. Sampai sahaja di Malaysia, ayah di bawa pulang ke rumah anaknya di Persin 8 Putrajaya jam 12 malam. Lepas makan malam ayah kata ayah nak rehat. Ayah Mat capai bantal terus tidur. Ayah Mat kepenatan kerana perjalanan yang jauh ditambah pula kesihatan beliau yang masih belum pulih sepenuhnya. Waktu Mek sedar pukul 3 pagi dia tengok ayah tidur lagi, mungkin Ayah Mat letih. Pukul 6.00 pagi mek kejut ayah Mat untuk solat subuh, tapi ayah Mat tak sedarkan diri. Ayah dihantar ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan segera. Menurut Doktor Ayah Mat pengsan sejak dari malam tadi lagi. Dan sekarang Ayah Mat di dalam keadaan tidak sedarkan diri dan bernafas dengan bantuan oksigen. Masa Mek salingkan baju Ayah Mat untuk tukar baju hospital, dalam baju Ayah Mat ada surat dari hospital Arab Saudi yang mengarahkan ayah untuk terus rujuk kepada hospital bila balik ke Malaysia. Tapi ayah mat tak bagitahu anak-anaknya kerana teruja sangat untuk jumpa dengan anak-anak. Dan yang kedua di perut ayah Mat terlihat kesan pembedahan lebih kurang sejengkal lebih di bawah pusat , Itupun ayah Mat tak bagitahu mek dan ahli keluarga sebab takut Mek terkejut. Ayah Mat tahu mek ada sakit jantung. Ayah Mat dibedah kerana ada sakit ulser perut” Mek berhenti bercerita seketika. Air matanya luruh lagi..” Kalau jadi apa-apapun kat Ayah Mat, Mek redha. Sekurang-kuranya dia sempat untuk menunaikan Haji, walaupun tak sesempurna orang lain”. saya memandang Ayah Mat yang tengah terbaring di atas katil. Keadaan beliau sangat kurus, saya hampir tidak mengenali beliau.

Pandangan saya sukar untuk saya tafsirkan sendiri. Saya teringat pesan ayah kepada saya setiap kali saya balik kampung, dan setiap kali saya berjumpa dengan ayah. “Pergilah Mekah ketika masih muda dan sihat ni, simpan duit tu, tekadkan niat untuk pergi Haji. Jangan pentingkan dunia sangat-sangat. Dunia ni kejar banyak manapun tak akan pernah cukup. Tanamkan niat dalam hati kita untuk buat haji di usia muda, berdoa sentiasa kepada Allah SWT. Insya Allah, Tuhan akan makbulkan. Pergi buat haji masa usia muda ni seronok, semua benda yang kita nak buat, kita boleh buat. Jangan bila kita dah sakit, badan dah tak larat, baru teringat nak pergi Mekah.” Jiwa saya meronta-ronta bila mengingatkan kata-kata ayah.. Ayahlah orang yang pertama membawa saya memasukki masjidil haram, melihat Ka’abah, mengajar saya tawaf, mengajar saya sa’e. dan mengajar saya bertahlul. Ayahlah yang menunjukkan saya tempat-tempat yang mustajab doa. Di Madinah, mak orang pertama yang membawa saya menjejaki masjid Nabawi, melawat raudah untuk berjumpa dengan Rasulullah SAW dan para sahabat dan juga melewati kubur Baqi’. Mekah dan Madinah sangat istimewa, keistimewaanya tak mampu untuk dihuraikan dengan kata-kata dan digambarkan dengan permikiran, dia adalah perjalanan holistik. Saya sudah sampai ke beberapa buah negara China, Spain, Myamar, Indonesia dan lain-lain lagi. Semuanya tak sama dengan apa yang saya dapat di Mekah dan Madinah.

Setelah selesai menghabiskan bacaan Yasin di katil Ayah Mat, saya meminta izin untuk pulang ke rumah, “Ayah mat! Ayah Mat! Saya balik dulu ya, Insya Allah kalau ada masa saya datang lagi, Ayah Mat rehat dulu ya.” Dia tidak membalas, tetapi saya nampak ada air matanya keluar. Saya tahu dia sedar, tapi dia tak mampu untuk berkata-kata. Waktu melawat sudah tamat.

Hujan di luar Hospital sore itu sangat lebat. Saya belari meredah hujan yang lebat itu, saya kena cepat. Ada sesuatu yang saya tak dapat tahan daripada tadi lagi. Masuk sahaja di dalam kereta, saya hamburkan air mata yang saya tahan di dalam wad tadi. Di dalam deras air mata yang mengalir.Saya memohon kepada Allah

Ya Allah Ya Tuhanku! Kau ampunilah dosa-dosaku! Dosa kedua ibubapaku, dosa suamiku,dosa anak-anakku, dosa kaum keluargaku, dosa guru-guruku,dosa anak didikku, dosa sahabat-sahabat yang amat kukasihi dan seterusnya dosa kaum muslimin dan muslimat sekalian. Aku hambaMu yang dhaif dan lemah ini tak mampu mengatasi segala ketentuanMu Ya Allah. Sembuhkanlah Ayah Mat yang tengah terlantar sakit itu Ya Allah. Kalau telah ditakdirkan umurnya tidak panjang, kau ambilah dia dengan cara yang baik. Sesungguhnya semua itu mudah bagiMu.Sesungguhnya aku sangat kesihan melihat dia Ya Allah!

Ya Allah Ya Tuhanku! Sesungguhnya aku sangat rindukan Ka’bah. Sangat rindukan untuk tawaf, sangat rindukan untuk mencium Hajarul Aswad, sangat rindukan untuk berlari-lari anak dari bukit safa ke bukit Marwah, sangat rindukan untuk beriktikaf di Masjisil haram. Sangat rindukan untuk menghirup air zam-zam yang berada di setiap penjuru rumahMu. Sangat rindukan Raudah, sangat rindukan Rasulullah SAW. Sangat rindukan masjid Nabawi, Sangat rindukan Kubur Baqi’. Sangat rindukan segala-galanya yang ada di sana. Benar kata ayah Ya Allah! Sesungguhnya dunia kejar macam manapun tak akan pernah cukup. Ya Allah jemputlah hambamu yang hina dan dhaif ini untuk menjadi tetamuMu untuk kesian kalinya.Berikanlah aku kelapangan rezeki, kelapangan masa, kelapangan kesihatan untuk menjadi tetamu Ya Allah! Bantulah hambaMu yang dhaif dan hina ini Ya Allah. Amin Ya Rabal Alamin.


Selepas mengaminkan doa, saya berasa begitu tenang dan damai. Terima kasih Ya Allah! Di atas nikmat ketenangan ini. Azan magrib berkumandang di dalam kereta, saya harus segera pulang ..

12 November 2012

Wednesday 15 August 2012

Dalam hati ada taman

Dalam hati saya ada taman yang indah, semampu dan sedaya yang boleh taman ini saya jaga dengan keimanan, saya bajainya dengan ketakwaan dan saya pagari dengan tuntutan syariat. Saya mengharapkan taman ini akan dihiasi oleh bakal bidadari syurga, yang akan mendokong setiap jalan-jalan perjuangan, yang akan bersama-sama menyusuri denai-denai ujian dan kepahitan, yang akan setia bersama mendaki puncak kejayaan.Dan bersamanya saya akan terus belajar memberi dan memberi tanpa meminta untuk dibalas. Bersamanya juga saya mengharapkan akan sentiasa merasai nikmat cinta yang dianugerahkanNya hingga ke syurga.

Thursday 19 July 2012

Marhaban Ya Ramadhan

Marhaban Ya Ramadhan

Wahai Allah..
Ampunilah dosa kami pada janji yang telah kami mungkiri.
Ampunilah dosa kami pada amanahmu yang telah kami khianati
Ampunilah dosa kami pada ujian dan dugaanMu yang kami tak sabar untuk menghadapi
Ampunilah dosa kami pada nikmat dan kurniaanMu yang tidak kami syukuri.
Ampunilah dosa kami pada rahmat dan kasih sayangMU yang tidak kami sedari.

Terima kasih Ya Allah di atas peluang yang kau berikan..
Untuk kami terus berada di bulan yang penuh rahmat dan kasih sayangMU.
Untuk kami mengecapi keindahan dan kemuliaan Ramadhan.
Untuk kami menikmati syahdu dan khusuknya bermunajat kepadaMu.
Untuk kami bersihkan diri dan jiwa kami dari hiasan-hiasan duniawi.

Mohon kami Ya Allah, di bulan yang penuh barakah ini.
Istiqamahkan hati-hati kami
Ikhlaskan hati-hati kami
Bersihkan jiwa-jiwa kami
Berikan kesihatan dan kekuatan kepada kami
Untuk kami terus dan terus berbakti
Moga di penghujung perjuangan ini
RedhaMu yang bakal menanti..

Dari dairi :
Cinta seorang hamba
Yazilmiwati Yaacob

Tuesday 29 May 2012

Kenapa kita lemah?

Artikel ini saya tulis bukan untuk menyentuh sensitiviti mana-mana pihak. Kalau dengan membaca artikel saya ini membuatkan anda tersentuh. Saya dengan rendah diri memohon ampun dan maaf. Artikel ini saya tulis sebagai perkongsian ilmu yang saya dapat daripada beberapa siri majlis ilmu yang saya hadiri dan berjumpa dengan orang-orang yang cemerlang dalam kerjaya mereka. Mereka banyak berkongsi ilmu dengan saya. Dan saya merasakan perlu untuk saya berkongsi ilmu dengan anda semua. Sebab Allah SWT berfirman yang bermaksud: Manusia yang baik adalah orang yang memberi manfaat kepada orang lain. Insya Allah saya cuba memberikan sedikit ilmu dan pengalaman yang saya ada untuk anda dan yang baik jadikan panduan dan yang buruk jadikan tauladan.
Agama dan kekayaan tidak dapat dipisahkan. Rasulullah SAW dan para sahabat merupakan seorang yang kaya raya, mereka berjaya di dalam perniagaan ketika umur mereka masih muda. Kenapa Melayu ramai yang miskin dan lemah? Kerana fikiran kita dipengaruhi dengan materialisma dan juga hendonisme. Kita solat lima waktu tapi kita tak ada roh solat, kita membaca al-Quran tetapi kita tak ada roh al-Quran. Kita mengamalkan Islam tetapi tidak ada roh Islam. Kadangkala kita takbir “AllahuAkbar” tetapi kita fikiran kita masih dikawal oleh hawa nafsu.

Artikel ini akan membincangkan tentang hawa nafsu di dalam berbelanja yang akan mengakibatkan pelbagai masalah terjadi. Kebanyakan masyarakat Melayu terjebak di dalam berbelanja lebih dari pendapatan. Kos sara hidup sangat tinggi tapi ramai di kalangan masyarakat kita yang boleh hidup mewah. Sebagai contoh siswazah baru keluar universiti gaji 2K dah nak pakai kereta Honda, Sewa rumah teres 2 tingkat, kredit kad sampai 3, nak pakai baju branded, Malas masak dan makan luar. Belum masuk lagi hiburan sana sini. Purchasing power di kalangan masyarakat Melayu lagi tinggi.

Bila sudah berkahwin, suami isteri kerja, kalau salah seorang tak kerja akan menghadapi masalah ekonomi disebabkan sudah terbiasa berbelanja boros. Bila dapat anak, kos hidup akan bertambah lagi, nak beli susu anak, pampers anak, nak bayar pengasuh. Untuk menambah pendapatan, Suami atau isteri buat kerja lebih masa dan akhirnya membuatkan rumahtangga akan terabai dan anak-anak akan menjadi mangsa. Cuba bayangkan kalau kita letak anak kat baby sitter melebihi 8 jam. Kalau kita yang kat office dah tak larat nak kerja sampai 8 jam, apatah lagi orang yang menjaga anak kita yang dia kerja bukan dengan hati tapi dia juga seperti kita kerja sebab nak duit. Makin lama institusi rumahtangga semakin menuju kemusnahan. Anak-anak banyak terdedah dengan masalah sosial kerana kurangnya perhatian daripada ibubapa, tambahan sekarang dunia IT, maklumat berpindah sangat pantas, untuk mencari benda-benda yang tak baik cuma dihujung jari sahaja. Selain itu akan berlaku pertengakaran antara suami dan isteri yang semuanya berpunca dari hidup bermewah-mewah.

Itu belum masuk lagi cerita tentang dunia para isteri yang sangat ambil berat dengan kecantikan dan kesihatan diri. Kadang-kadang tu bila dah obsess nak cantik sanggup habis belanja, beribu-ribu, malah puluhan ribu pergi slimming centre, beli produk kesihatan yang mahal dan tak masuk akal, dengan alasan nak cantiklah, takut suami larilah, sakit sana sinilah dan pelbagai alasan lain. Padahal diri sendiri tahu sebelum beli produk belanja rumah sudah tak cukup, apatah lagi dengan beli produk tersebut dan akhirnya terjebak lagi dalam satu lagi masalah hutang.

Cerita suami lain pula biasa suami ni banyak obsess dengan hobi, macam-macam hobi ada, sukanlah, hikinglah, minat keretalah, minat berjalanlah dan pelbagai hobi yang adakalanya hobi tu tak munasabah langsung. Sanggup menghabiskan masa, duit dan tenaga kerana hobi yang akhirnya juga membawa padah kepada diri sendiri dan juga keluarga. Suami adalah ketua keluarga. Kalau dah ketuanya pun tak betul, macam manalah imannya nak betul.

Apa-apapun punca yang berlaku adalah kerana kita meminggirkan Islam dalam kehidupan kita, kita banyak terikut-ikut dengan gaya hidup mewah yang akhirnya akan memusnahkan diri kita sendiri.

Islam mengajar kita hidup dalam kesederhanaan:-

1. Kalau anda masih lagi belajar hiduplah dengan berjimat cermat, tak perlu nak beli atau pakai barang-barang yang mahal untuk mengejar branded atau keselesaan. Belilah untuk memenuhi keperluan bukan keselesaan. Sebagai contoh kalau dah beli satu kasut tu, pakai sampai koyak dulu baru beli lain. Tak perlu sebagai seorang pelajar sampai nak beli 10 kasut dan kasut pulak ikut tema baju. Latih diri untuk biasa dengan ketidakselesaan.

2. Kalau anda baru sahaja bekerja. Janganlah terlampau bermewah-mewah, walaupun duit itu adalah duit anda. Tapi rezekitu perlu diagih-agih antaranya simpanan, bagi duit kat parent,belanja sendiri dan juga untuk charity. Menurut pakar ekonomi barat. Kita perlu tanamkan minat untuk menyimpan walaupun kita mempunyai hutang yang perlu dijelaskan. Sebab bila kita ada duit simpanan dia akan tarik aura positif untuk rezeki kita bertambah. Selain itu perbelanjaan untuk ibubapa dan charity juga penting sebagai baja untuk rezeki kita, selepas itu barulah fikirkan kenderaaan apa yang layak kita pakai, kalau tak mampu beli kereta, belilah motor dulu atau cari rumah yang dekat dengan office, boleh pergi kerja jalan kaki. Jimat masa, tenaga dan duit. Pilihlah kerja yang boleh add value kita. Maksudnya tak pa kalau kita kerja sebagai makenik, baju kotor kena minyak hitam, daripada kita kerja kilang yang hari-hari buat benda yang sama. Sekurang-kurangnya kerja makanik kita tahu baiki kereta dan kita boleh baiki kereta kita sendiri kalau rosak atau boleh buka business baiki kereta nanti.

3. Kalau kita baru mendirikan rumahtangga, tak payahlah nak berangan terus beli rumah bangle dengan perhiasan perabut penuh di dalam. Cari dulu rumah kecil untuk disewa, bukan nak menampung orang ramaipun, Cuma anda berdua sahaja. Perabut beli yang penting dulu seperti dapur gas, peti ais, meja makan kecil, tilam dan juga TV. Belajar masak makanan di rumah dan kalau boleh bawa bekal pergi ofis. Sekali sekala bolehlah makan kat luar. Sambil tu kena cari peluang untuk berniaga sambilan bermula dari rumah sebagai persediaan.

4. Kalau yang sudah mempunyai anak, baliklah ke rumah awal terutamanya ibu. Jangan biarkan anak-anak tinggal dengan orang terlalu lama. Sebab anak itu adalah amanah yang Allah dah beri kepada kita dan anak juga adalah asset ibubapa dunia dan akhirat. Oleh itu masa untuk mereka perlu dijaga kerana kita akan dipersoalkan nanti dihadapan Allah tentang tanggungjawab kita.Didiklah anak tersebut dengan ilmu agama semoga dia menjadi anak yang kuat jiwa dan berikan anak-anak dengan makanan yang penuh dengan nutrisi supaya perkembangan anak akan menjadi sihat dan teratur.

5. Sebagai seorang wanita berpada-padalah di dalam menjaga kecantikkan diri. Jaga diri untuk kesihatan, ikut cara Islam dan sihat secara sunnah Rasul antaranya tidur awal dan bangun bertahajud, berpuasa sunat, makan ikut waktu solat, makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang. Banyakkan membaca al-Quran dan hiasi diri dengan wuduk. Hati yang positif dan tenang akan menjadikan seseorang perempuan tu hebat.

6. Sebagai seorang suami. Anda adalah pemimpin, dan bertanggungjawab ke atas pimpinanmu. Oleh itu seorang lelaki samada dia seorang suami ataupun sudah bergelar ayah. Jadilah lelaki yang hebat di sisi Allah SWT, nescaya anda juga akan menjadi lelaki yang hebat di sisi manusia.

7. Selain itu sentiasalah menjaga solat lima waktu, membaca al-Quran dan menghayati pengertiannya, solat dhuha, solat tahajud dan juga sentiasa bersedekah. Carilah kawan-kawan yang positif yang boleh membina kekuatan dalaman kita, hadirilah majlis-majlis ilmu yang boleh memberi nilai tambah kepada kita untuk cemerlang di dunia dan juga akhirat.

Semoga kita semua berhijrah ke arah kebaikan.. Amin

Saturday 26 May 2012

Tips untuk anak lelaki jadi hebat dan handsome!!!!




Alhamdulillah pada hari jumaat lepas saya berkesempatan menemubual seorang usahawan dan jutawan Muslim hebat iaitu Datuk Husammudin Hj Yaacob. CEO Karangkraf Sdn Bhd. Banyak perkara positif yang dikongsi pada saya antaranya cara membina jati diri seorang anak (terutamanya anak lelaki). Antara tips yang dipesan kepada saya:




1. Anak lelaki biarkan dia buat sesuatu yang boleh membina keyakinan diri. Sebagai contoh pergi sekolah dengan basikal atau suruh dia pergi kedai naik basikal. Sebelum lepas dia pergi. Bagi dia nasihat antaranya naik basikal, ikut tepi jalan. Jangan berhenti kalau ada orang tak kenal tanya jalan atau sebagainya. Zaman saya dulu saya kayuh basikal jauh, sepanjang 25 Kilometer untuk pergi air terjun, Mak dengan ayah saya tak kisahpun. Orang baratpun sama, ketika anaknya masih kecil lagi dia dah campak anak tersebut dalam kolam renang, suruh anak tu belajar berenang. Bila dia nampak anak tu macam nak lemas, barulah dia bantu.


2.Anak lelaki galakkan dia main sukan, antaranya main bola, badminton atau beberapa sukan lasak. Galakkan dia bersukan lepas balik sekolah. Sebelum dia pergi main pesan kat dia kena balik sebelum pukul 7 malam, kalau dia tak balik denda. Jangan halang dia bermain sebab dia ada banyak tenaga dan dia perlu salurkan tenaga kepada benda yang lebih positif.


3. Anak-anak jangan manjakan dengan aktiviti berjalan dekat shooping kompleks atau makan luar hujung minggu atau belikan pakain yang mahal ataupun berjenama. Ini akan mengajar anak tersebut hidup mewah. Bila dia dah biasa hidup mewah memang susah nak control dan dia akan menjadi seorang yang boros. Hujung minggu lebih baik bawa anak masuk hutan atau pergi kebun atau dusun. Suruh dia masak sendiri guna kayu api, ajar dia hidup tanpa kemudahan elektrik, internet dan juga tidur di atas tilam yang empuk. Biar dia rasa susahnya nak hidup.


4.Kenapa anak lelaki sekarang ni banyak yang lembut? Jawapan beliau kerana anak-anak sekarang banyak didominasikan oleh Ibu. Semenjak dari kecil di dalam fikiran anak tersebut sudah ditanam bahawa ibulah yang paling berkuasa berbanding dengan ayah. Ibu kuat berleter, panas barang dan sebagainya. Sedangkan ayah mengambil sikap sambil lewa di dalam mendidik anak. Kalau anak buat masalah ibu yang akan marah. Dari kecil lagi anak dididik dengan perempuan mempunyai power. Oleh itu anak tersebut akan memilih untuk menjadi lemah lembut sehingga merubah sikapnya sebagai seorang lelaki.


5. Ajar anak lelaki pergi beli barang sendiri di kedai. Khususnya barang2 dapur. Senaraikan barang apa yang nak dibeli. Hantar dia kat kedai suruh dia pergi beli. Sebelum tu ajar dulu dia macam mana nak pilih sayur yang segar, ikan yang segar dan juga bawang atau barang runcit lain. Hantar dia kat kedai yang selalu kita beli barang. Tinggalkan dia sorang2 kat situ. Ini adalah untuk melatih anak macam mana nak menguruskan hal ehwal rumah tangga dan juga macam mana nak PR dengan orang. Melalui cara itu akan membina keyakinan anak tersebut.


6. Ajar anak jadi pemimpin dengan menjaga adik2 di rumah. Bila kita pergi kerja suruh dia jaga adik-adiknya. Bagi dia tanggungjawab masing-masing. Jangan masak, biarkan dia masak sendiri dan bila balik rumah pastikan hidangan dah siap, rumah dah kemas, pakaian dan berbasuh dan lipat. Biar dia rasa susah sikit. Tapi ini penting untuk masa depannya.


7. Ajar anak lelaki buat bisness, jual sesuatu kat kawan. Sekali sekala buat kuih atau cup-cake atau biskut dan suruh anak jual kat sekolah. Ajar anak buat bisness dari kecil lagi. Sebab Rasulullah SAW sendiri dari kecil lagi sudah diajar berniaga. Ini akan mendorong anak tersebut berminat dengan bidang perniagaan bila dia dewasa nanti.


8. Galakkan anak banyak membaca. Membaca jambatan ilmu. Saya dulu anak seorang ustaz, ayah saya d buka kedai jual surat khabar dan juga buku-buku. Setiap hari saya mesti habiskan baca surat khabar atau buku di kedai saya. Selepas membaca saya akan menulis kembali apa yang saya. Sebenarnya saya telah menceburkan diri di dalam bidang penulisan secara aktif ketika berada di tahun akhir di UKM. Waktu itu saya belajar ekonomi, tetapi saya masih suka menulis, sebab dah dilatih dari kecil membaca. Saya tidak ada masa kosong sejak dari kecil lagi. Jadual saya sentiasa penuh. Alhamdulillah setakat hari ini karangkraft dah publish majalah dan buku bernilai RM400 juta setahun. Kami di karangkraft mempunyai 30 buah majalah sekarang. Saya tak ada masa nak lepak atau keluar berhibur dengan kawan-kawan. Saya tak pernah main golf dan tak suka main golf dan buat kerja yang entertaint orang ni. Kalau kawan saya nak jumpa saya, datang kat ofic atau boleh datang di rumah. Kalau nak berjaya kena fokus dengan apa yang kita buat dan pastikan produk kita terbaik dan memenuhi kehendak pasaran.


Itu antara tips yang Datuk kongsi dengan saya hari tu..Bila fikir-fikir balik ada kebenaran daripada ulasan beliau. Sebab kadang-kadang cara kita mendidik anak agak tidak tepat dan manjakan anak tak bertempat. Bila terjadinya masalah di kemudian hari, masa itulah baru menyesal.. Muhasabah untuk diri sendiri juga sebenarnya..:)

Wednesday 16 May 2012

Allah menguji kerana menyangimu

Duhai teman Berjalan di bumi ini, Terasa kian payah dan semakin susah, Satu demi satu kekusutan datang, Walaupun cuba untuk leraikan, Namun tiada jalan yang penyelesaian, Bila kekusutan dan kepayahan datang, Yang tenang berubah menjadi suram, Yang sabar berubah menjadi resah, Yang riang berubah menjadi gundah, Kepada siapa hendak diadukan segala keresahan, Siapa yang sudi mendengar segala keluhan, Siapa yang sudi mengubat luka jiwa yang lara.. Teman, Renunglah ke dalam mata hati, Siapakah yang menciptakan manusia, Siapakah yang memberikan ujian demi ujian, Siapakah yang kasihNya tidak pernah berkurang, Siapakah yang rahmatNya meluas tak bertepi, Teman, Kisah duka dan derita, Kisah susah dan sengsara, Kisah pahit dan air mata, Adalah hadiah yang tidak diminta, Kerana di sebalik kisah sedih itu, Allah ingin sekali melihat hambaNya, Menangis dan merintih sayu kepadaNya, Merendah diri dan meminta, Menadah tangan dan berdoa, Dalam sedu dan air mata, Ya Allah Ya Rabbi.. Ku syukuri segala pemberianMu, Aku redha di atas ujianMU, Dan aku memohon kau ampunilah dosa-dosaku, Kau rahmatilah perjalanan hidupku.. Dan tabahkanlah hatiku di dalam menerima UjianMu, Berikanlah aku petunjuk dan jalan untuk kuharungi, Segala dugaan yang menimpaku.. Berikanlah aku jalan keluar dari segala masalah yang aku hadapi, Berilah aku semangat yang kuat dan jiwa yang kental di dalam mengharungi hidup ini, Kuatkanlah imanku dan rahmatilah aku. Duhai Teman.. Ujian Allah adalah bukti kasih sayangNya, Kerana bersama-sama dengan kesusahan pasti ada bahagia di penghujungnya..

Tuesday 7 February 2012

Jika aku mencintaimu

Jika aku mencintaimu
Aku akan sentiasa mendoakanmu
Walaupun kau tiada di sisiku
Walaupun kau jauh dari hidupku.

Jika aku mencintaimu
Akan kusimpan kata cinta dan rinduku
Di lubuk hatiku yang paling dalam
Biar diriku yang menghargai
Anugerah cinta yang diberi
Menjadi rahsia hati.
Suatu masa, suatu ketika
Akan kulafazkan kata cinta dan rindu ini
Ketika dirimu menjadi yang halal untukku
Biar lafaz cinta dan rinduku
menjadi lafaz yang indah
seindah mendapat kemenangan
setalah penat berjuang

Jika aku mencintaimu..
Aku akan menjaga diriku
dari terus memandangmu dirimu
Aku akan menjaga diriku
Dari menyentuhmu
Aku akan menjaga diriku
dari terus berbicara denganmu
kerana aku tak mahu
cinta yang suci
dicemari nafsu yang keji

Jika aku mencintaimu
sebelum sempat melafazkan cinta
kau dimiliki insan lain
akan aku doakan kebahagiaanmu
kerana kuyakin cinta yang suci
Tak semestinya bersatu
Mungkin aku mencintaimu
namun kau bukannya insan terbaik untukku
dan aku bukannya yang terbaik untukmu
kerana ku yakin
insan yang dikurniakan Allah untukku
adalah insan yang paling istimewa dalam hidupku..

Nukilan rasa: Yazilmiwati Yaacob