Wednesday 14 November 2012

Kerinduan!!!


Pulang sahaja dari program perkhemahan di Mujahadah Agro Camp. Saya menerima panggilan dari adik perempuan saya. Dia bagitahu saya yang bapa mertuanya baru pulang dari Mekah sekarang tengah koma di Hospital Putrajaya. Nafas saya terhenti seketika, saya kenal sangat dengan bapa mertuanya, Ayah Mat, orangnya sangat peramah dan sentiasa ceria, saya tak dapat gambarkan keadaan beliau yang tengah koma. Namun saya tidak meneruskan untuk pergi ke Hospital malam itu disebabkan Ayah Mat dalam ICU dan kepenatan saya yang baru pulang dari berprogram menghalang saya untuk berbuat demikian.

Keesokan harinya, setelah tiba waktu melawat saya terus meluru ke Hospital. Di hospital saudara mara sudah penuh berhimpun di sekeliling katil. Kelihatan wajah sugul isteri ayah mat yang saya panggil mek berada di tepi katil dengan air mata berlinang. Bila melihatkan kehadiran saya, air matanya makin deras mengalir. Hati saya tetiba menjadi sayu. Saya cuba menahan air mata dari menitis, waktu itu saya kena kuat. Saya datang untuk beri dia semangat. Saya tenung wajah ayah Mat yang tengah koma, nafasnya tersekat-sekat. Mek memulakan ceritanya.

“Mek terpisah dengan Ayah Mat ketika kami hendak melakukan Wuquf di Padang Arafah. Sebelum ini ayah dimasukkan ke hospital di Mekah kerana demam dan sakit kencing manis yang dialaminya. Setiap hari Mek akan datang menemaninya di sana. Oleh kerana wuquf adalah rukun haji yang wajib kami kerjakan, kami terpaksa pergi berasingan. Mek pergi sendiri dengan rombongan tabung haji, dan ayah pulak pergi dengan ambulance bersama pesakit-pesakit yang lain. (Saya dapat gambarkan keadaan itu,sewaktu saya pergi umrah tahun 2010, ayah tunjukkan hospital dekat Padang Arafah, ayah juga bercerita kepada saya, kalau tiba musim haji, beratus entah beribu orang pesakit akan dibawa oleh ambulance ke sini untuk menunaikan wuquf di Padang Arafah, masa ini kita pun tak kenal pesakit itu datang dari negara mana, sebab semua urusan pesakit diuruskan oleh kerajaan Arab Saudi. Dan ada juga pesakit yang meninggal dunia di sini)

Mek menyambung ceritanya “ Selepas itu kami tidak berjumpa lagi. Mek mencari ayah Mat di merata-rata tempat tetapi mek tak jumpa dengan Ayah Mat. Dalam keadaan yang tidak keharuan, Mek duduk di kaki lima masjidil haram mengadap Ka’abah, memohon kepada Allah SWT agar ditemui suami tercinta yang sudah hilang entah ke mana. Mek nekad waktu itu untuk mencium Hajarul Aswad untuk memohon kepada Allah supaya bertemu dengan Ayah Mat. Akhirnya dengan badan yang tidak bermaya mek meredah lautan manusia untuk mencium Hajarul Aswad. Cita-cita mek untuk mengucup Hajarul Aswad tercapai. Masa mek mencium Hajarul Aswad, mek menangis sungguh-sungguh supaya Allah menemukan mek dengan Ayah Mat. Kami sudah 8 hari terpisah.”Air matanya gugur lagi. Saya dapat bayangkan waktu itu macam mana, Mekah sangat istimewa, walaupun dalam lautan manusia yang sedang berpusu-pusu menunaikan tawaf dan berebut-rebut untuk mencium Hajarul Aswad tetapi dengan tekad dan keinginan yang kuat, Allah akan memperkenankan permintaan hambaNya.

Selepas selesai mengucup Hajarul Aswad, mek jatuh terjelepuk di depan Ka’abah. Pandangannya tidak berkelip memandang Ka’abah. Dalam hatinya memohon “Ya Allah bantulah hambaMu untuk mencari suamiku, kalau dia hidup khabarkanlah kepadaku di mana, kalau dia mati sekalipun sampaikanlah berita itu kepadaku. Aku redha Ya Allah”(Allah dengan sifat yang Maha Pengasih, walaupun hambanya tidak berbuat apa-apa cuma memandang Ka’abahpun akan mendapat 20 pahala kebajikan, apatah lagi kalau kita bersolat di depan Ka’abah) Dalam keadaan yang tidak menentu dan lemah itu seorang lelaki Melayu datang menghampiri Mek. Dia tanya mek “ Saya perhatikan Makcik menangis daripada tadi lagi. Kenapa ya? Mak cik ada masalah ke?” tanya lelaki tersebut. Mek menceritakan apa yang sudah berlaku. Rupa-rupanya lelaki tersebut adalah seorang Dokto yang kebetulannya juga sedang mengerjakan Haji di Mekah. (Bila kita meminta dengan bersungguh-sungguh pasti Allah akan makbulkan permintaan kita ) Mek memohon kepada doktor tersebut untuk mencari suami yang telah 8 hari hilang, yang tidak tahu khabar berita samada hidup atau mati. Mek pula tak pandai speaking dan tak tahu juga Berbahasa Arab untuk bertanya. Akhirnya dengan pertolongan Doktor tersebut Mek mula menjelajah dari satu klinik ke satu klinik, dari satu hospital ke satu hospital di Mekah dan akhirnya Mek bertemu juga dengan Ayah Mat yang tengah terlantar sakit tidak sedarkan diri di Hospital di Mina. Alhamdulillah Syukur kepada Allah dengan pertolongan yang diberikan. Walaupun di dalam pertemuan itu Ayah Mat tidak sedarkan diri, tapi Allah tetap izinkan kami bertemu.

Bermula dengan pertemuan itu setiap hari mek berdoa semoga Ayah Mat sedar dan sembuh. Mek dan Ayah Mat nak balik ke Malaysia. Masa untuk mereka menunaikan fardhu haji sudah hampir sampai ke penghujungnya. Akhirnya masa untuk pulang ke Tanah Air sudah tiba. Sekali lagi Allah SWT memperkenankan doa Mek, ayah mat sedar dari sakitnya dan Doktor memberi keizinan untuk ayah mat balik. Alhamdulillah.
Di dalam flight ayah mat seperti biasa, suka berseloroh dan melawak walaupun di dalam keadaan beliau yang sangat lemah. Sampai sahaja di Malaysia, ayah di bawa pulang ke rumah anaknya di Persin 8 Putrajaya jam 12 malam. Lepas makan malam ayah kata ayah nak rehat. Ayah Mat capai bantal terus tidur. Ayah Mat kepenatan kerana perjalanan yang jauh ditambah pula kesihatan beliau yang masih belum pulih sepenuhnya. Waktu Mek sedar pukul 3 pagi dia tengok ayah tidur lagi, mungkin Ayah Mat letih. Pukul 6.00 pagi mek kejut ayah Mat untuk solat subuh, tapi ayah Mat tak sedarkan diri. Ayah dihantar ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan segera. Menurut Doktor Ayah Mat pengsan sejak dari malam tadi lagi. Dan sekarang Ayah Mat di dalam keadaan tidak sedarkan diri dan bernafas dengan bantuan oksigen. Masa Mek salingkan baju Ayah Mat untuk tukar baju hospital, dalam baju Ayah Mat ada surat dari hospital Arab Saudi yang mengarahkan ayah untuk terus rujuk kepada hospital bila balik ke Malaysia. Tapi ayah mat tak bagitahu anak-anaknya kerana teruja sangat untuk jumpa dengan anak-anak. Dan yang kedua di perut ayah Mat terlihat kesan pembedahan lebih kurang sejengkal lebih di bawah pusat , Itupun ayah Mat tak bagitahu mek dan ahli keluarga sebab takut Mek terkejut. Ayah Mat tahu mek ada sakit jantung. Ayah Mat dibedah kerana ada sakit ulser perut” Mek berhenti bercerita seketika. Air matanya luruh lagi..” Kalau jadi apa-apapun kat Ayah Mat, Mek redha. Sekurang-kuranya dia sempat untuk menunaikan Haji, walaupun tak sesempurna orang lain”. saya memandang Ayah Mat yang tengah terbaring di atas katil. Keadaan beliau sangat kurus, saya hampir tidak mengenali beliau.

Pandangan saya sukar untuk saya tafsirkan sendiri. Saya teringat pesan ayah kepada saya setiap kali saya balik kampung, dan setiap kali saya berjumpa dengan ayah. “Pergilah Mekah ketika masih muda dan sihat ni, simpan duit tu, tekadkan niat untuk pergi Haji. Jangan pentingkan dunia sangat-sangat. Dunia ni kejar banyak manapun tak akan pernah cukup. Tanamkan niat dalam hati kita untuk buat haji di usia muda, berdoa sentiasa kepada Allah SWT. Insya Allah, Tuhan akan makbulkan. Pergi buat haji masa usia muda ni seronok, semua benda yang kita nak buat, kita boleh buat. Jangan bila kita dah sakit, badan dah tak larat, baru teringat nak pergi Mekah.” Jiwa saya meronta-ronta bila mengingatkan kata-kata ayah.. Ayahlah orang yang pertama membawa saya memasukki masjidil haram, melihat Ka’abah, mengajar saya tawaf, mengajar saya sa’e. dan mengajar saya bertahlul. Ayahlah yang menunjukkan saya tempat-tempat yang mustajab doa. Di Madinah, mak orang pertama yang membawa saya menjejaki masjid Nabawi, melawat raudah untuk berjumpa dengan Rasulullah SAW dan para sahabat dan juga melewati kubur Baqi’. Mekah dan Madinah sangat istimewa, keistimewaanya tak mampu untuk dihuraikan dengan kata-kata dan digambarkan dengan permikiran, dia adalah perjalanan holistik. Saya sudah sampai ke beberapa buah negara China, Spain, Myamar, Indonesia dan lain-lain lagi. Semuanya tak sama dengan apa yang saya dapat di Mekah dan Madinah.

Setelah selesai menghabiskan bacaan Yasin di katil Ayah Mat, saya meminta izin untuk pulang ke rumah, “Ayah mat! Ayah Mat! Saya balik dulu ya, Insya Allah kalau ada masa saya datang lagi, Ayah Mat rehat dulu ya.” Dia tidak membalas, tetapi saya nampak ada air matanya keluar. Saya tahu dia sedar, tapi dia tak mampu untuk berkata-kata. Waktu melawat sudah tamat.

Hujan di luar Hospital sore itu sangat lebat. Saya belari meredah hujan yang lebat itu, saya kena cepat. Ada sesuatu yang saya tak dapat tahan daripada tadi lagi. Masuk sahaja di dalam kereta, saya hamburkan air mata yang saya tahan di dalam wad tadi. Di dalam deras air mata yang mengalir.Saya memohon kepada Allah

Ya Allah Ya Tuhanku! Kau ampunilah dosa-dosaku! Dosa kedua ibubapaku, dosa suamiku,dosa anak-anakku, dosa kaum keluargaku, dosa guru-guruku,dosa anak didikku, dosa sahabat-sahabat yang amat kukasihi dan seterusnya dosa kaum muslimin dan muslimat sekalian. Aku hambaMu yang dhaif dan lemah ini tak mampu mengatasi segala ketentuanMu Ya Allah. Sembuhkanlah Ayah Mat yang tengah terlantar sakit itu Ya Allah. Kalau telah ditakdirkan umurnya tidak panjang, kau ambilah dia dengan cara yang baik. Sesungguhnya semua itu mudah bagiMu.Sesungguhnya aku sangat kesihan melihat dia Ya Allah!

Ya Allah Ya Tuhanku! Sesungguhnya aku sangat rindukan Ka’bah. Sangat rindukan untuk tawaf, sangat rindukan untuk mencium Hajarul Aswad, sangat rindukan untuk berlari-lari anak dari bukit safa ke bukit Marwah, sangat rindukan untuk beriktikaf di Masjisil haram. Sangat rindukan untuk menghirup air zam-zam yang berada di setiap penjuru rumahMu. Sangat rindukan Raudah, sangat rindukan Rasulullah SAW. Sangat rindukan masjid Nabawi, Sangat rindukan Kubur Baqi’. Sangat rindukan segala-galanya yang ada di sana. Benar kata ayah Ya Allah! Sesungguhnya dunia kejar macam manapun tak akan pernah cukup. Ya Allah jemputlah hambamu yang hina dan dhaif ini untuk menjadi tetamuMu untuk kesian kalinya.Berikanlah aku kelapangan rezeki, kelapangan masa, kelapangan kesihatan untuk menjadi tetamu Ya Allah! Bantulah hambaMu yang dhaif dan hina ini Ya Allah. Amin Ya Rabal Alamin.


Selepas mengaminkan doa, saya berasa begitu tenang dan damai. Terima kasih Ya Allah! Di atas nikmat ketenangan ini. Azan magrib berkumandang di dalam kereta, saya harus segera pulang ..

12 November 2012

No comments: