Showing posts with label Mekah dan Madinah. Show all posts
Showing posts with label Mekah dan Madinah. Show all posts

Tuesday, 22 October 2013

My Mr Arrogant

Selepas selesai menyediakan makan malam untuk keluarga, saya menoleh ke arah jam dinding. Jam menunjukkan pukul 9.00 malam. “Sempat lagi ni…” bisik hati kecil saya. Saya memandang ke arah suami yang sedang leka mengadap komputer sambil sekali sekala tangannya menekan-nekan tetikus Komputer.
“Abang.. abang free tak malam ni?”  Ayat-ayat  manja nak meminta tolong.
“ Kenapa?  Tegas suara suami sambil tangannya menekan-nekan tetikus Komputer. Saya rasa dia dah dapat agak dah, dari gaya bahasa saya tu, gaya bahasa yang nak sesuatu. Hehehe.
“ Kalau free nak ajak teman tempah baju boleh.”  Menjawab pertanyaan suami dengan jujur. Dalam hati saya agak pasti, suami saya memang malas nak ajak pergi tempat-tempat macam ni, biasa saya pergi tempah baju seorang diri sahaja. Sayapun rimas nak bawa suami tempat-tampat macam ni. Entah hari ni kenapa,  saja nak mengada-ngada.
“Besok jelah pergi” Jawab suami malas. Kan dah agak dah memang dia malas. Bisik hati kecil saya.
“Tak boleh, Esok saya balik lambat, ada meeting. Kalau abang malas tak apalah biar zie pergi sorang-sorang. Boleh?”  Belumpun sempat suami memberi  jawapan boleh ke tidak, saya terus berlari ke atas untuk bersiap. Saya pasti suami saya tak akan lepaskan saya keluar malam seorang-seorang, Saya bukan nak pergi sangat tempah baju tu tapi nak tengok reaksi suami, apa yang dia akan buat bila tengok saya dah bersiap-siap untuk keluar. Setelah bersiap ringkas saya menuruni tangga sambil membawa kain yang hendak di tempah.
“Nak ke mana?” Tanya suami saya setelah melihat saya turun dengan membawa beg plastik kain di tangan.
“Nak pergi tempah bajulah.” Saya menjawab ringkas.
“Orang kata pergi esok, pergi  esoklah.” Suami saya mula meninggikan suara.
“ Esok zie ada meeting, tak sempat nak pergi. Kalau abang tak nak pergi tak palah,  biarlah zie pergi sorang-sorang.”  Saya cuba menduga lagi. Hehehe.
“Eeee geram betulah dia ni. Degil!! Dah esok kalau tak sempat nak pergi,  biar abang je yang hantar  baju tu. Puas hati?” Sambil buat muka.
“ Habis macam mana dengan ukuran baju. abang nak ukur badan abang sendiri ke” Saya mengeluarkan ayat sinis. Saya pasti  lepas ni dia tak ada lagi ayat nak balas. Saya terus duduk diam di atas sofa, mata memandang kaca tv sambil menunggu reaksi suami. Tiba-tiba suami bergerak dari meja komputer dan terus meluru ke dalam bilik. Beberapa minit kemudian dia berpakaian yang dah siap untuk keluar dan duduk balik di meja computer.
Dalam hati saya, Yes!!! Dia dah setujulah tu nak ikut. Tapi kalau  saya tunggu dia yang ajak, sampai matilah dia tak akan ajak. Ego kena jaga beb.
“Jomlah bang , zie dah mengantuk ni”. Saya memulakan perbualan setelah beberapa minit diam.
 “Sekejap je tau, hantar baju terus balik”. Sambil mengapai kunci kereta dan meluru ke arah pintu
“Yelah. Tak kan nak tidur kat kedai jahit pulak”.  Saya menjawab ringkas. Kan betul saya cakap. Dia nak tunggu orang ajak juga, baru nak gerak.

Dalam kereta:
“Terima kasih abang.. sebab temankan zie hantar baju ni. Sayang juga abang kat zie rupanya ya” sambil  memandang tepat ke mukanya.
Dengan suara yang sangat perlahan seolah-olah dia bermonolog  “ Sapa tak sayang bini sayang oi”
“Ha!! apa dia bang” Saya buat-buat tak dengar. Tanpa membalas dia cuma tersenyum dan mengejek
“Ha!! apa dia bang” sambil tanganya mencubit pipi saya.
“Adui sakitlah, dahlah tangan tu kasar.” Sambil menggosak-gosok pipi.  Dalam hati saya,  nak lepas geramlah tu. Ermm suka hatilah. Janji saya dah menang game ni. kalau dah lelaki tetap lelaki juga. Ego tetap kena jaga. Tapikan sekali sekala seronok juga main game macam ni.  Hilang stress kerja.  Sememangnya lelaki dan perempuan adalah makluk yang mempunyai gaya bahasa yang sangat berbeza  dan memerlukan pentaksiran yang mendalam untuk memahaminya. Kali ni giliran saya pula yang tersenyum lebar. Mmmm Luv you My Mr Arrogant




Sunday, 13 October 2013

Wuquf tu apa mama?

Terasa begitu tenang dan damai pagi ini. Tak kala ramai yang berduyung-duyung pulang ke kampung meraikan Aidil Adha, Saya pula mengambil kesempatan ini bersama anak-anak menyambut hari raya Aidil Adha dengan berpuasa sunat hari Arafah sempena mengingati peristiwa wuquf di padang  Arafah.  Tahun ini hari pertama raya, saya beraya di rumah sahaja. Disebabkan bebanan kerja yang banyak, saya tak sempat untuk pulang sebelum hari raya di kampung. Insya Allah setelah selesai semua kerja raya kedua saya akan balik menziarahi kedua orang tua saya.
Apa yang paling menyentuh hati, bila anak saya yang baru berusia 8 tahun, bersungguh-sungguh bangun di awal pagi untuk bersahur. Ini di antara perbualan saya dengan anak saya.

Mama : Kenapa adik nak puasa hari ni?.
Adik: Entah, Adik tengok semua orang nak puasa, adikpun nak puasa sekali.
Mama: Adik tahu tak hari ni hari apa?
Adik: Hari wuquf di Padang Arafah. Mama, Wuquf tu apa?
Mama: Wuquf adalah salah satu rukun haji, wajib bagi orang yang pergi menunaikan haji untuk melakukan wuquf di Padang Arafah, Kalau tak, hajinya tak sah.
Adik: Orang buat apa masa wuquf tu mama?
Mama: Wuquf adalah mengingati peristiwa yang mana Nabi Adam A.S dan isterinya Hawa bertemu setelah  sekian lama mereka berpisah. mereka dicampakkan dari syurga oleh Allah SWT. Mereka mencari di antara satu sama lain selama 40 tahun.Akhirnya mereka bertemu di  Bukit Jabar Rahmah yang terletak di Padang Arafah. Maksud Padang Arafah itu sendiri adalah Padang  Pertemuan. Pertemuan antara Adam dan Hawa. Wuquf tu maksudnya berhenti. Mereka berhenti di Padang Arafah , lalu merintih dan menangis memohon kepada Allah SWT supaya Allah mengampunkan dosa-dosa mereka.   Di sinilah bertahun-tahun mereka memohon ampun daripada Allah. Akhirnya permohonan mereka diterima Allah. Maka peristiwa wuquf di Padang Arafah adalah menjadi tempat untuk kita seluruh umat Islam menyesali segala dosa yang pernah kita lakukan dan di situlah kita boleh memohon keampunan daripada Allah dan juga memohon semoga permintaan kita diterima.
Adik: Oooo.
Mama: Insya Allah kalau ada rezeki, mama bawa adik dan abang Akif pergi sana. Mama akan tunjukkan kat mana Padang Arafah tu.
Adik: Nak, nak.
Mama: kalau berjalan nak saja., Adik tahu tak niat puasa macam mana?
Adik: tak tahu mama.
Mama: Niatnya: Sahaja Aku berpuasa sunat  Hari Arafah kerana Allah Taala.
Saya tersenyum melihat telatah anak kecil saya yang terkumat kamit membaca lafaz niat.
Mama: Adik, baca dalam hati. Jangan baca kuat-kuat. Tak sah puasa.
Adik: hehehe. (Sambil garu kepala)

 Teringat Sabda Rasul SAW yang bermaksud:
 “Tiada hari yang paling ramai Allah SWT melepaskan hamba-Nya dari api neraka melainkan pada Hari Arafah. Dan sesungguhnya Allah Azzawajalla menghampiri (hamba-hamba-Nya) dan berbangga dengan mereka di kalangan para malaikat serta bertanya; Apa yang dikehendaki oleh mereka?”

Maka bagi umat Muslim yang tidak mengerjakan ibadah haji mempunyai tarikh yang sama 9 Zulhijjah disunatkan berpuasa walau di mana saja mereka berada di muka bumi ini  Manakala kelebihan orang yang berpuasa hari ini sebagaimana Rasul SAW bersabda yang bermaksud:

“Berpuasa pada Hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang sebelumnya dan yang selepasnya.” (Hadis riwayat Muslim).


Semoga kita semua mendapat pengampunan, rahmat dan kasih sayang dariNya.

Wednesday, 14 November 2012

Kerinduan!!!


Pulang sahaja dari program perkhemahan di Mujahadah Agro Camp. Saya menerima panggilan dari adik perempuan saya. Dia bagitahu saya yang bapa mertuanya baru pulang dari Mekah sekarang tengah koma di Hospital Putrajaya. Nafas saya terhenti seketika, saya kenal sangat dengan bapa mertuanya, Ayah Mat, orangnya sangat peramah dan sentiasa ceria, saya tak dapat gambarkan keadaan beliau yang tengah koma. Namun saya tidak meneruskan untuk pergi ke Hospital malam itu disebabkan Ayah Mat dalam ICU dan kepenatan saya yang baru pulang dari berprogram menghalang saya untuk berbuat demikian.

Keesokan harinya, setelah tiba waktu melawat saya terus meluru ke Hospital. Di hospital saudara mara sudah penuh berhimpun di sekeliling katil. Kelihatan wajah sugul isteri ayah mat yang saya panggil mek berada di tepi katil dengan air mata berlinang. Bila melihatkan kehadiran saya, air matanya makin deras mengalir. Hati saya tetiba menjadi sayu. Saya cuba menahan air mata dari menitis, waktu itu saya kena kuat. Saya datang untuk beri dia semangat. Saya tenung wajah ayah Mat yang tengah koma, nafasnya tersekat-sekat. Mek memulakan ceritanya.

“Mek terpisah dengan Ayah Mat ketika kami hendak melakukan Wuquf di Padang Arafah. Sebelum ini ayah dimasukkan ke hospital di Mekah kerana demam dan sakit kencing manis yang dialaminya. Setiap hari Mek akan datang menemaninya di sana. Oleh kerana wuquf adalah rukun haji yang wajib kami kerjakan, kami terpaksa pergi berasingan. Mek pergi sendiri dengan rombongan tabung haji, dan ayah pulak pergi dengan ambulance bersama pesakit-pesakit yang lain. (Saya dapat gambarkan keadaan itu,sewaktu saya pergi umrah tahun 2010, ayah tunjukkan hospital dekat Padang Arafah, ayah juga bercerita kepada saya, kalau tiba musim haji, beratus entah beribu orang pesakit akan dibawa oleh ambulance ke sini untuk menunaikan wuquf di Padang Arafah, masa ini kita pun tak kenal pesakit itu datang dari negara mana, sebab semua urusan pesakit diuruskan oleh kerajaan Arab Saudi. Dan ada juga pesakit yang meninggal dunia di sini)

Mek menyambung ceritanya “ Selepas itu kami tidak berjumpa lagi. Mek mencari ayah Mat di merata-rata tempat tetapi mek tak jumpa dengan Ayah Mat. Dalam keadaan yang tidak keharuan, Mek duduk di kaki lima masjidil haram mengadap Ka’abah, memohon kepada Allah SWT agar ditemui suami tercinta yang sudah hilang entah ke mana. Mek nekad waktu itu untuk mencium Hajarul Aswad untuk memohon kepada Allah supaya bertemu dengan Ayah Mat. Akhirnya dengan badan yang tidak bermaya mek meredah lautan manusia untuk mencium Hajarul Aswad. Cita-cita mek untuk mengucup Hajarul Aswad tercapai. Masa mek mencium Hajarul Aswad, mek menangis sungguh-sungguh supaya Allah menemukan mek dengan Ayah Mat. Kami sudah 8 hari terpisah.”Air matanya gugur lagi. Saya dapat bayangkan waktu itu macam mana, Mekah sangat istimewa, walaupun dalam lautan manusia yang sedang berpusu-pusu menunaikan tawaf dan berebut-rebut untuk mencium Hajarul Aswad tetapi dengan tekad dan keinginan yang kuat, Allah akan memperkenankan permintaan hambaNya.

Selepas selesai mengucup Hajarul Aswad, mek jatuh terjelepuk di depan Ka’abah. Pandangannya tidak berkelip memandang Ka’abah. Dalam hatinya memohon “Ya Allah bantulah hambaMu untuk mencari suamiku, kalau dia hidup khabarkanlah kepadaku di mana, kalau dia mati sekalipun sampaikanlah berita itu kepadaku. Aku redha Ya Allah”(Allah dengan sifat yang Maha Pengasih, walaupun hambanya tidak berbuat apa-apa cuma memandang Ka’abahpun akan mendapat 20 pahala kebajikan, apatah lagi kalau kita bersolat di depan Ka’abah) Dalam keadaan yang tidak menentu dan lemah itu seorang lelaki Melayu datang menghampiri Mek. Dia tanya mek “ Saya perhatikan Makcik menangis daripada tadi lagi. Kenapa ya? Mak cik ada masalah ke?” tanya lelaki tersebut. Mek menceritakan apa yang sudah berlaku. Rupa-rupanya lelaki tersebut adalah seorang Dokto yang kebetulannya juga sedang mengerjakan Haji di Mekah. (Bila kita meminta dengan bersungguh-sungguh pasti Allah akan makbulkan permintaan kita ) Mek memohon kepada doktor tersebut untuk mencari suami yang telah 8 hari hilang, yang tidak tahu khabar berita samada hidup atau mati. Mek pula tak pandai speaking dan tak tahu juga Berbahasa Arab untuk bertanya. Akhirnya dengan pertolongan Doktor tersebut Mek mula menjelajah dari satu klinik ke satu klinik, dari satu hospital ke satu hospital di Mekah dan akhirnya Mek bertemu juga dengan Ayah Mat yang tengah terlantar sakit tidak sedarkan diri di Hospital di Mina. Alhamdulillah Syukur kepada Allah dengan pertolongan yang diberikan. Walaupun di dalam pertemuan itu Ayah Mat tidak sedarkan diri, tapi Allah tetap izinkan kami bertemu.

Bermula dengan pertemuan itu setiap hari mek berdoa semoga Ayah Mat sedar dan sembuh. Mek dan Ayah Mat nak balik ke Malaysia. Masa untuk mereka menunaikan fardhu haji sudah hampir sampai ke penghujungnya. Akhirnya masa untuk pulang ke Tanah Air sudah tiba. Sekali lagi Allah SWT memperkenankan doa Mek, ayah mat sedar dari sakitnya dan Doktor memberi keizinan untuk ayah mat balik. Alhamdulillah.
Di dalam flight ayah mat seperti biasa, suka berseloroh dan melawak walaupun di dalam keadaan beliau yang sangat lemah. Sampai sahaja di Malaysia, ayah di bawa pulang ke rumah anaknya di Persin 8 Putrajaya jam 12 malam. Lepas makan malam ayah kata ayah nak rehat. Ayah Mat capai bantal terus tidur. Ayah Mat kepenatan kerana perjalanan yang jauh ditambah pula kesihatan beliau yang masih belum pulih sepenuhnya. Waktu Mek sedar pukul 3 pagi dia tengok ayah tidur lagi, mungkin Ayah Mat letih. Pukul 6.00 pagi mek kejut ayah Mat untuk solat subuh, tapi ayah Mat tak sedarkan diri. Ayah dihantar ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan segera. Menurut Doktor Ayah Mat pengsan sejak dari malam tadi lagi. Dan sekarang Ayah Mat di dalam keadaan tidak sedarkan diri dan bernafas dengan bantuan oksigen. Masa Mek salingkan baju Ayah Mat untuk tukar baju hospital, dalam baju Ayah Mat ada surat dari hospital Arab Saudi yang mengarahkan ayah untuk terus rujuk kepada hospital bila balik ke Malaysia. Tapi ayah mat tak bagitahu anak-anaknya kerana teruja sangat untuk jumpa dengan anak-anak. Dan yang kedua di perut ayah Mat terlihat kesan pembedahan lebih kurang sejengkal lebih di bawah pusat , Itupun ayah Mat tak bagitahu mek dan ahli keluarga sebab takut Mek terkejut. Ayah Mat tahu mek ada sakit jantung. Ayah Mat dibedah kerana ada sakit ulser perut” Mek berhenti bercerita seketika. Air matanya luruh lagi..” Kalau jadi apa-apapun kat Ayah Mat, Mek redha. Sekurang-kuranya dia sempat untuk menunaikan Haji, walaupun tak sesempurna orang lain”. saya memandang Ayah Mat yang tengah terbaring di atas katil. Keadaan beliau sangat kurus, saya hampir tidak mengenali beliau.

Pandangan saya sukar untuk saya tafsirkan sendiri. Saya teringat pesan ayah kepada saya setiap kali saya balik kampung, dan setiap kali saya berjumpa dengan ayah. “Pergilah Mekah ketika masih muda dan sihat ni, simpan duit tu, tekadkan niat untuk pergi Haji. Jangan pentingkan dunia sangat-sangat. Dunia ni kejar banyak manapun tak akan pernah cukup. Tanamkan niat dalam hati kita untuk buat haji di usia muda, berdoa sentiasa kepada Allah SWT. Insya Allah, Tuhan akan makbulkan. Pergi buat haji masa usia muda ni seronok, semua benda yang kita nak buat, kita boleh buat. Jangan bila kita dah sakit, badan dah tak larat, baru teringat nak pergi Mekah.” Jiwa saya meronta-ronta bila mengingatkan kata-kata ayah.. Ayahlah orang yang pertama membawa saya memasukki masjidil haram, melihat Ka’abah, mengajar saya tawaf, mengajar saya sa’e. dan mengajar saya bertahlul. Ayahlah yang menunjukkan saya tempat-tempat yang mustajab doa. Di Madinah, mak orang pertama yang membawa saya menjejaki masjid Nabawi, melawat raudah untuk berjumpa dengan Rasulullah SAW dan para sahabat dan juga melewati kubur Baqi’. Mekah dan Madinah sangat istimewa, keistimewaanya tak mampu untuk dihuraikan dengan kata-kata dan digambarkan dengan permikiran, dia adalah perjalanan holistik. Saya sudah sampai ke beberapa buah negara China, Spain, Myamar, Indonesia dan lain-lain lagi. Semuanya tak sama dengan apa yang saya dapat di Mekah dan Madinah.

Setelah selesai menghabiskan bacaan Yasin di katil Ayah Mat, saya meminta izin untuk pulang ke rumah, “Ayah mat! Ayah Mat! Saya balik dulu ya, Insya Allah kalau ada masa saya datang lagi, Ayah Mat rehat dulu ya.” Dia tidak membalas, tetapi saya nampak ada air matanya keluar. Saya tahu dia sedar, tapi dia tak mampu untuk berkata-kata. Waktu melawat sudah tamat.

Hujan di luar Hospital sore itu sangat lebat. Saya belari meredah hujan yang lebat itu, saya kena cepat. Ada sesuatu yang saya tak dapat tahan daripada tadi lagi. Masuk sahaja di dalam kereta, saya hamburkan air mata yang saya tahan di dalam wad tadi. Di dalam deras air mata yang mengalir.Saya memohon kepada Allah

Ya Allah Ya Tuhanku! Kau ampunilah dosa-dosaku! Dosa kedua ibubapaku, dosa suamiku,dosa anak-anakku, dosa kaum keluargaku, dosa guru-guruku,dosa anak didikku, dosa sahabat-sahabat yang amat kukasihi dan seterusnya dosa kaum muslimin dan muslimat sekalian. Aku hambaMu yang dhaif dan lemah ini tak mampu mengatasi segala ketentuanMu Ya Allah. Sembuhkanlah Ayah Mat yang tengah terlantar sakit itu Ya Allah. Kalau telah ditakdirkan umurnya tidak panjang, kau ambilah dia dengan cara yang baik. Sesungguhnya semua itu mudah bagiMu.Sesungguhnya aku sangat kesihan melihat dia Ya Allah!

Ya Allah Ya Tuhanku! Sesungguhnya aku sangat rindukan Ka’bah. Sangat rindukan untuk tawaf, sangat rindukan untuk mencium Hajarul Aswad, sangat rindukan untuk berlari-lari anak dari bukit safa ke bukit Marwah, sangat rindukan untuk beriktikaf di Masjisil haram. Sangat rindukan untuk menghirup air zam-zam yang berada di setiap penjuru rumahMu. Sangat rindukan Raudah, sangat rindukan Rasulullah SAW. Sangat rindukan masjid Nabawi, Sangat rindukan Kubur Baqi’. Sangat rindukan segala-galanya yang ada di sana. Benar kata ayah Ya Allah! Sesungguhnya dunia kejar macam manapun tak akan pernah cukup. Ya Allah jemputlah hambamu yang hina dan dhaif ini untuk menjadi tetamuMu untuk kesian kalinya.Berikanlah aku kelapangan rezeki, kelapangan masa, kelapangan kesihatan untuk menjadi tetamu Ya Allah! Bantulah hambaMu yang dhaif dan hina ini Ya Allah. Amin Ya Rabal Alamin.


Selepas mengaminkan doa, saya berasa begitu tenang dan damai. Terima kasih Ya Allah! Di atas nikmat ketenangan ini. Azan magrib berkumandang di dalam kereta, saya harus segera pulang ..

12 November 2012