Terasa begitu tenang dan damai pagi ini. Tak kala
ramai yang berduyung-duyung pulang ke kampung meraikan Aidil Adha, Saya pula mengambil
kesempatan ini bersama anak-anak menyambut hari raya Aidil Adha dengan berpuasa
sunat hari Arafah sempena mengingati peristiwa wuquf di padang Arafah. Tahun ini hari pertama raya, saya beraya di
rumah sahaja. Disebabkan bebanan kerja yang banyak, saya tak sempat untuk
pulang sebelum hari raya di kampung. Insya Allah setelah selesai semua kerja raya
kedua saya akan balik menziarahi kedua orang tua saya.
Apa yang paling menyentuh hati, bila anak saya yang
baru berusia 8 tahun, bersungguh-sungguh bangun di awal pagi untuk bersahur. Ini
di antara perbualan saya dengan anak saya.
Mama : Kenapa adik nak puasa hari
ni?.
Adik: Entah, Adik tengok semua
orang nak puasa, adikpun nak puasa sekali.
Mama: Adik tahu tak hari ni hari
apa?
Adik: Hari wuquf di Padang
Arafah. Mama, Wuquf tu apa?
Mama: Wuquf adalah salah satu
rukun haji, wajib bagi orang yang pergi menunaikan haji untuk melakukan wuquf
di Padang Arafah, Kalau tak, hajinya tak sah.
Adik: Orang buat apa masa wuquf
tu mama?
Mama: Wuquf adalah mengingati
peristiwa yang mana Nabi Adam A.S dan isterinya Hawa bertemu setelah sekian lama mereka berpisah. mereka
dicampakkan dari syurga oleh Allah SWT. Mereka mencari di antara satu sama lain
selama 40 tahun.Akhirnya mereka bertemu di Bukit Jabar Rahmah yang terletak di Padang
Arafah. Maksud Padang Arafah itu sendiri
adalah Padang Pertemuan. Pertemuan
antara Adam dan Hawa. Wuquf tu maksudnya berhenti. Mereka berhenti di Padang
Arafah , lalu merintih dan menangis memohon kepada Allah SWT supaya Allah
mengampunkan dosa-dosa mereka. Di sinilah bertahun-tahun mereka
memohon ampun daripada Allah. Akhirnya permohonan mereka diterima Allah. Maka
peristiwa wuquf di Padang Arafah adalah menjadi
tempat untuk kita seluruh umat Islam menyesali segala dosa yang pernah kita
lakukan dan di situlah kita boleh memohon keampunan daripada Allah dan juga
memohon semoga permintaan kita diterima.
Adik:
Oooo.
Mama:
Insya Allah kalau ada rezeki, mama bawa adik dan abang Akif pergi sana. Mama
akan tunjukkan kat mana Padang Arafah tu.
Adik:
Nak, nak.
Mama:
kalau berjalan nak saja., Adik tahu tak niat puasa macam mana?
Adik: tak tahu mama.
Mama: Niatnya: Sahaja Aku berpuasa sunat Hari Arafah kerana Allah Taala.
Saya tersenyum melihat telatah anak kecil saya yang terkumat kamit membaca lafaz niat.
Mama: Adik, baca dalam hati. Jangan baca kuat-kuat. Tak sah puasa.
Adik: hehehe. (Sambil garu kepala)
Teringat Sabda Rasul SAW yang bermaksud:
“Tiada hari
yang paling ramai Allah SWT melepaskan hamba-Nya dari api neraka melainkan pada
Hari Arafah. Dan sesungguhnya Allah Azzawajalla menghampiri (hamba-hamba-Nya)
dan berbangga dengan mereka di kalangan para malaikat serta bertanya; Apa yang
dikehendaki oleh mereka?”
Maka bagi umat Muslim
yang tidak mengerjakan ibadah haji mempunyai tarikh yang sama 9 Zulhijjah disunatkan
berpuasa walau di mana saja mereka berada di muka bumi ini Manakala kelebihan orang yang
berpuasa hari ini sebagaimana Rasul SAW bersabda yang bermaksud:
“Berpuasa pada
Hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang
sebelumnya dan yang selepasnya.” (Hadis riwayat Muslim).
Semoga kita semua mendapat
pengampunan, rahmat dan kasih sayang dariNya.
No comments:
Post a Comment