Tuesday, 29 October 2013

Bukan sekadar rotan

“Cikgu boleh pukul saya, tapi jangan sekali-kali cakap kat saya yang bukan-bukan.” Teringat saya pada satu peristiwa ketika saya tidak menyiapkan kerja sekolah suatu ketika dulu. Waktu  tu saya  darjah enam. Pertama kali zaman persekohan saya, saya dipukul oleh cikgu dengan pembaris panjang. Saya tak pernah kena sebelum ni. Hanya kerana satu kesilapan saya dipukul oleh cikgu. Saya menangis sepuas-puasnya. Bermula dari waktu sebelum rehat hinggalah sampai waktu balik sekolah air mata saya tak berhenti mengalir. Waktu tu saya tak peduli biarpun dikutuk oleh kawan-kawan yang saya ni manja. Apa yang saya tahu waktu tu, saya sangat-sangat kecewa dengan perbuatan cikgu pada saya.

Setiap cikgu yang masuk ke kelas hari  itu tertanya-tanya kenapa saya menangis. Saya tak perlu memberikan jawapan sebab satu kelas bercakap yang saya kena pukul dengan pembaris  panjang.  Pada saya, saya tak sepatutnya dipukul, sebab sebelum ini saya tak pernah melakukan kesilapan. Hanya saya terlupa untuk membuat latihan saya dipukul.

Saya tak sangka peristiwa saya menangis dari pagi sehinggalah waktu balik sekolah tersebar di seluruh bilik guru. Sehinggalah keesokan hari, pagi-pagi lagi cikgu yang merotan saya masuk ke kelas dan memanggil  saya ke bilik guru.
Di satu sudut di dalam bilik guru:
“Cikgu minta maaf, sebab rotan awak semalam, cikgu tak sengaja.” Cikgu Razak memulakan percakapan.
Saya tak berkata apa-apa. Diam seribu bahasa.
“Cikgu ada belikan kamu hadiah. Nah ambil ni?” Cikgu Razak menyambung kata-katanya sambil menghulurkan Komik Ujang di tangannya kepada saya.
“Terima kasih cikgu?” Saya mengambil komik hadiah dari cikgu saya. Air mata saya bergenang di kelopak mata. Saya sangat terharu. Tak sangka cikgu boleh meminta maaf kepada saya.
“Mulai sekarang jangan marah kat cikgu lagi ya, cikgu tahu awak budak baik. Semalam  cikgu tak sengaja merotan awak. Tak sangka pula awak ni sensitif orangnya. Gurau sikitpun tak boleh. Satu bilik guru ni kecoh awak menangis sepanjang hari.” Cikgu Razak memujuk sambil tersenyum
Saya hanya berdiam diri tak bersuara. Dari wajah yang bersahaja, saya mula mengukit senyuman. Di dalam hati saya waktu tu bersyukur sangat-sangat dapat hadiah komik dari cikgu. Saya dah lama nak komik tu, tapi tak ada duit nak beli.

Peristiwa saya dirotan di sekolah masih saya kenang sehingga sekarang. Bila saya kenang kembali kenapa saya boleh menangis begitu lama, padahal  waktu tu saya cuma kena  rotan sekali sahaja, berbanding dengan kawan saya yang lain kena rotan berkali-kali dan mereka boleh buat tak tahu sahaja. Siap boleh sengeh lagi kat cikgu.

Saya menangis sebab cikgu yang merotan saya adalah cikgu yang sangat saya sayang dan saya hormat semasa sekolah dulu. Saya menangis sebab cikgu yang rotan saya adalah cikgu yang paling baik dengan saya masa sekolah dulu. Saya menangis sebab cikgu yang merotan saya adalah sentiasa memberikan kata-kata semangat kepada saya untuk terus belajar sehingga saya jadi pandai. Bila terkenang waktu itu, saya rasa seronok  sangat. Saya cuba untuk mencari cikgu kesayangan saya, tapi tak dapat.

Cikgu, walaupun di mana cikgu berada, Setiap kali lepas solat, saya sentiasa mendoakan kejayaan dan kebahagiaan kepada cikgu dunia dan akhirat. Semoga cikgu sentiasa berada di dalam rahmat dan kasih sayang Allah. Insya Allah Amin.

Indahkan menjadi seorang guru yang disayangi oleh pelajar-pelajarnya. Indahkan menjadi  seorang guru yang dihargai oleh pelajar-pelajarnya. Bertambah indah menjadi guru yang sentiasa didoakan oleh para pelajar-pelajarnya. Berapa ramaikah anak didik kita, dan berapa ramai yang sudah berjaya, dan berapa ramai anak didik yang mendoakan kebahagian dan kejayaan untuk guru-gurunya. Kepada golongan pendidik. Kalau kita dah bertugas selama 10 tahun contohnya, dan kita dah mengajar lebih dari 1000 orang pelajar, katakanlah 500 orang pelajar yang kita ajar sentiasa mendoakan kebahagian dan kejayaan kita di dunia dan akhirat setiap hari selepas waktu solat. Dan ada di antara pelajar-pelajar kita yang doanya sentiasa dimakbulkan oleh Allah. Insya Allah sebagai pendidik, itulah hadiah yang tak ternilai. Tanpa kita sedar dari doa anak-anak didik, kita akan merasa tenang dan bahagia.  Tak  rugi hidup dengan memberi kasih sayang, tak rugi hidup dengan memberi perhatian, tak rugi hidup dengan melakukan tugas sebagai pendidik dengan keikhlasan. Setiap kali lepas solat saya sentiasa berdoa:

Ya Allah Ya Tuhanku!!
Kau ampunilah dosa-dosa semua guru-guruku, daripada sekolah rendah hinggalah ke peringkat universiti. Permudahkanlah urusan mereka. Berikan kebahagiaan dan kejayaan kepada mereka dunia dan akhirat dan rahmatilah kehidupan mereka. Amin.

Kenangan bersama akan dikenang hingga ke akhir hayat.







No comments: