Penulisan
ini bukan untuk mengutuk atau merendahkan martabat mana-mana pihak, tapi sebagai
perkongsian tips kepada wanita yang menghadapi masalah komunikasi dengan suami.
Ini kerana komunikasi yang tidak betul di antara pasangan akan menyebabkan
berlakunya konflik dalam rumahtangga dan sekiranya ia tidak dibendung akan
meruntuhkan institusi keluarga itu sendiri. Saya mengambil tanggungjawab ini
untuk berkongsi pengalaman dan tips komunikasi yang berkesan yang boleh
diamalkan oleh para isteri yang menghadapi masalah untuk berkomunikasi dengan
suami. Semoga ianya memberi kemanfaatan kepada semua.
Bila
mata tak boleh tidur, mulalah fikiran melilau mencari sesuatu untuk dibuat.
Saya ternampak satu buku “Men are from Mars and Women are from Venus”, di atas
rak buku peribadi saya di dalam bilik. Saya
mengambil buku tersebut dan membelek-beleknya. Mata saya terpaku pada satu topik
“bagaimana mahu meminta dan mendapat sokongan”, Muka surat 315. Macam menarik
je topik ni. bisik hati saya sendiri.
Bila
saya membaca sesuatu buku, saya akan cuba kaitkan dengan apa yang berada di
sekeliling saya. Sudah tentu topik yang saya sedang baca ada kaitannya dengan Mr Arrogant saya.
Perlu diingatkan di sini, tak semua lelaki bersifat arrogant. lelaki yang saya
kategorikan lelaki arrogant adalah lelaki yang kelihatan ego, sombong, tak banyak cakap, bila bercakap
bahasanya sangat tajam, menikam hingga ke lubuk hati dan kalau bercakap memang
tak mahu kalah. Tetapi lelaki arrogant
ni sebenarnya bijak dan pandai, baik hati, suka tolong orang, bertanggungjawab
dan yang bestnya lelaki arrogant ni, dalam
hatinya ada taman yang indah dan cantik. Hehehehe. Kalau anda juga ada jumpa Mr
Arrogant macam ni, maka topik ni sesuai untuk anda, kalau tak jangan baca.
Kebiasaannya
sangat susah untuk kita mendapat pertolongan atau sokongan dari lelaki yang mempunyai ciri-ciri Arrogant ni. Menurut
John Gray, penulis buku “Men are from Mars and Women are from Venus”, lelaki
jenis ini yang adalah lelaki yang berasal dari planet Marikh. Untuk bercakap,
apatah lagi meminta tolong dari lelaki yang berasal dari planet Marikh ni,
mesti ada seni, tak boleh main hentam kromo sahaja. Sebab kesannya nanti, diri
sendiri yang akan merana. Saya teringat di awal perkahwinan dulu, tahun kedua, tahun
ketiga berkahwin. Saya sentiasa menangis dengan sikap Mr Arrogant saya. Bila
bercakap dengan dia, ada sahaja benda yang menyakitkan hati. Apatah lagi kalau
nak minta tolong. Sampai satu saat saya macam malas nak minta tolong dengan dia
lagi, selagi saya mampu buat sendiri saya akan buat sendiri kerja tu. Yang
paling teruknya saya paksa diri saya untuk ikhlaskan hati menjadi isteri yang
baik, taat dan solehah. Ikhlaskan hati dalam keadaan terpaksa susahkan? Betul tak?
Pernah
satu ketika saya bertanya kepada Mr Arrogant saya.“Kenapa abang ni teruk
sangat? Cakap sesedap rasa sahaja”. Dia tersenyum dan dengan selamba menjawab: “
Kalau abang teruk, abang dah tak jumpa dengan zie dah”. Saya tercengang “Kenapa?”
Saya bertanya tak puas hati. “Zie ingat tak satu ayat al-Quran cakap, Suami
yang baik untuk isteri yang baik, begitulah sebaliknya. So kalau abang ni
jahat, abang tak akan jumpalah dengan zie, sebab perempuan yang baik macam zie
ni, mesti jumpa dengan lelaki yang baik dan handsome macam abang”. Mr arrogant
saya menjelaskan dengan panjang lebar, sambil meninggalkan saya terkulat-kulat
sendiri. Mmmm betul juga cakap dia. Bisik hati saya sendiri. Terukkan saya. Mahu
bertahun juga makan air mata. Sakit hati nangis, sakit hati nangis, itulah
kerjanya. Penat sahaja nangis. hehehe. Astagfirullahal
azim… berdosanya saya.
Saya
cuba mencari buku atau tips untuk menawan hati Mr arrogant ni, tapi tak ada kat
pasaran, kebanyakan buku yang ada banyak menceritakan tentang tangungjawab isteri
adalah taat kepada suami. Saya geram juga. Bukan tak nak taat pada suami, tapi
kalau dah berkali-kali sakit hati. Kadang-kadang tu hilang juga sabar. Saya
juga banyak dengar cerita kawan-kawan yang mengeluh tentang suami
masing-masing. Sabar jelah ya. Saya selalu ingatkan diri sendiri dan kawan tentang
kedudukan seorang suami pada seorang isteri sebagaimana Sabda Rasulullah SAW
yang bermaksud:
"Sekiranya
aku (boleh) menyuruh manusia
menyembah manusia nescaya aku akan menyuruh
isteri menyembah suaminya."
(Hadis riwayat Abu Daud)
Tingginya darjat seorang suami. Sesungguhnya
syurga isteri di bawah tapak kaki suami. Saya sentiasa berdoa kepada Allah SWT
supaya menjadikan saya isteri yang terbaik untuk Mr arrogant saya ni. Alhamdulillah
bila saya pelajari teknik ini sedikit demi sedikit mengubah persepsi saya pada
Mr Arrogant saya. Semakin sayang dan bangga menjadi isteri kepada lelaki yang
bersikap arrogant ni. Di bawah ini saya
kongsikan Tips untuk meminta tolong dari Mr Arrogant.
Tips
1. Sebelum kita belajar meminta sesuatu daripada Mr arrogant, kena belajar
bersyukur dengan apa yang telah dia berikan kepada kita.
Sebagai
contoh dia dah sediakan tempat tinggal, makan, pakai, baiki benda-benda yang
rosak dalam rumah, tolong baiki dan service kereta kita, tolong jaga anak,
tolong kita beli barang dan macam-macam lagilah. Dalam bab ni saya sentiasa mendengar
rungutan isteri kat luar sana. “Saya kalau tak kahwinpun tak apa, saya boleh
hidup sendiri. Sebab sekarang ni semua benda saya buat sendiri”. Subhanallah,
jangan sekali-kali mengungkapkan perkara demikian, sebab-sebab kadang-kadang
kita tak rasa dan tak menghargai pertolongan yang dah suami berikan pada kita.
Belajar menghargai dan bersyukur dengan apa yang ada. Sebab Allah tak akan
temukan kita dengan pasangan kita kalau dia tahu jodoh tu tak sesuai untuk kita.
Tips
2. Mula meminta dengan perkara kecil dan hargailah pertolongannya.
Mulakan
meminta dengan perkara-perkara yang kecil dan bila dia melakukan mengikut
permintaan kita, hargailah pertolongannya. Terdapat di kalangan isteri yang
bila dia meminta daripada suami, dah suaminya melakukannya, dia akan membebel
sebab apa yang dilakukan oleh suami tidak mengikut cita rasanya. Sekiranya kita
terus menerus melakukan sedemikian, suami akan hilang motivasi untuk membantu
kita.
Tips
3: Masa yang sesuai
Jangan
meminta masa dia tengah atau sedang fokus melakukan sesuatu atau jangan meminta
ketika dia hendak melakukan sesuatu. Sebagai contoh dia sedang memang mahu
mengangkat pinggan ke sinki untuk dicuci. Jangan cakap kat dia “Bolehkan abang
tolong cucikan pinggan tersebut?” Bila kita cakap macam tu, dia akan merasa
seolah-olah kita sedang memberi dia arahan. Ini penting pada isteri-isteri yang
berpangkat besar dan bergaji besar di tempat kerja. Jangan bawa perangai
mengarah itu di rumah. Di rumah kita adalah isteri kepada seorang suami.
Turunkan pangkat anda sekejap, tinggal sahaja pangkat anda di pejabat.
Tips
4: Nada yang betul.
Jangan
gunakan bahasa desakan atau menuntut. Apabila kita memiliki nada yang mendesak
atau menuntut, tak kiralah cantik manapun bahasa kita. Suami akan merasa dia
tidak dihargai selama ini. Dan kemungkinan dia akan menjawab secara kasar.
Sebagai contoh ayat yang tak betul ialah “Lauk, sayur dalam peti ais semua dah
habis, kita nak makan apa hari ni”. Pada suami dia akan memahami sebaliknya “abang
sepatutnya bertanggungjawab, tak perlulah untuk saya sentiasa mengingati abang”.
Nada yang betul adalah “boleh abang tolong belikan ayam dan sedikit sayur?”
Tips
5: Cakap dengan bahasa yang ringkas
Elakan
dengan memberikan senarai panjang mengapa dia patut membantu kita. Lebih
panjang kita bercakap. Peluang untuk dia menolak permintaan kita lagi tinggi. Kebiasaanya
Mr Arrogant tidak mahu mendengar mengapa dia mesti memenuhi permintaan isteri. Kebiasaanya
perempuan akan menerangkan panjang lebar kenapa suaminya perlu membantunya. Bagi
wanita yang bekerja sebagai pendidik, jangan bawa karektor sebagai pendidik itu
di rumah sehingga suamipun hendak diajar itu dan ini. Keadaan ini bila
dibiarkan berterusan akan membuatkan dia merasa bosan. Tetapi sekiranya dia
bertanya “kenapa?”. Maka jawablah secara ringkas dan tepat. Kebiasaanya Mr
Arrogant ni orangnya bijak pandai, tak perlu untuk kita menerangkan panjang
lebar.
Tips
6: Bahasa yang digunakan hendaklah jelas.
Gunakan
bahasa yang jelas untuk meminta pertolongan daripada Mr arrogant. Jangan anggap
dia faham apa yang tersirat di hati kita. Sebab dia adalah manusia yang berasal
dari dunia yang sangat berbeza dengan kita, sekiranya tidak diberitahu secara
jelas. Dia tidak akan faham dan tidak akan membantu. Untuk meminta pertolongan dari Mr Arrogant
kena letak perkataan “ Boleh abang tolong…..”. sebagai contoh “Boleh abang
tolong hantarkan anak pergi sekolah hari ini?”. Antara kesilapan ayat yang
biasa dilakukan ketika meminta pertolongan ialah
a)“
Saya sibuk hari ini, van sekolah pula tak datang…” (ayat berleter)
b)
“Kalau abang tak hantar anak hari ni, kalau jadi apa-apa kat anak, abang yang
bertanggungjawab..” (Ayat ugutan)
c)
“Dahlah saya nak cepat, van sekolah pula tak datang, geram betullah…” (ayat
tidak puas hati)
Tiga
contoh ayat di atas adalah tidak jelas. Jika ayat ini diulang secara berterusan
akan membuatkan dia cepat naik angin. Mr Arrogant tidak suka cara isterinya
meminta tolong seperti ayat di atas. Sekiranya isteri tidak menyedari dan terus
menerus melakukan perkara yang sama akan menimbulkan reaksi yang tidak baik dari
suami yang akhirnya akan membuatkan isteri kecil hati dan merasa kecewa untuk
meminta tolong dari suami.
Kesilapan
di dalam menggunakan ayat-ayat di atas, membuatkan suami akan merasa terhina
dan merasa dirinya dimanupulasikan oleh isteri. Lelaki menolak permintaan
isteri disebabkan bukannya dia tidak ingin membantu, tetapi dia merasa kecewa
dengan percakapan isterinya.
Cuba
lakukan tips di atas, Insya Allah Mr Arrogant akan seronok untuk menolong kita.
No comments:
Post a Comment