Showing posts with label Tips Bahagia. Show all posts
Showing posts with label Tips Bahagia. Show all posts

Sunday, 10 November 2013

Perbezaan sikap antara suami isteri, bagaimanakah untuk menserasikannya?

Suami dan isteri adalah dua hamba Allah yang berbeza emosinya. Emosi suami memerlukan kepercayaan, penerimaan, merasa dihargai, merasa dikagumi, merasa tindakannya adalah betul dan sentiasa ingin mendapat galakan dari isteri yang dicintai. Manakala emosi isteri pula adalah memerlukan perhatian, pemahaman, merasa dihormati, memberlukan belaian, dianggap setiap perlakuannya adalah betul dan sentiasa diberi keyakinan oleh suami yang disayangi. Perbezaan ini sekiranya tidak betul-betul difahami oleh pasangan masing-masing maka akan berlaku masalah di dalam rumahtangga. Kebiasaanya masalah ini timbul disebabkan oleh perasaan ego masing-masing yang tidak mahu memahami antara satu sama lain.

Di dalam penulisan ini, saya cuba meneliti apakah antara perbezaan sikap di antara suami dan isteri dan bagaimanakah tips untuk mendapat perhatian dan persefahaman antara pasangan suami isteri.


Perbezaan di antara sikap isteri dengan sikap suami


Sikap isteri

Sikap suami


Isteri akan membantu suami tanpa diminta

Suami tidak akan membantu isteri kalau isteri tidak meminta.


Isteri merasa kenapa perlu menghargai suami, sedangkan itu adalah tanggungjawabnya sebagai seorang suami


Suami tidak akan membantu isteri kalau dia merasa bantuannya tidak dihargai
Isteri merasa perlu mendesak suami untuk membantunya, kalau tidak suaminya pasti tidak akan membantunya dan paling teruk isteri akan menganggap suaminya malas.
Suami akan merasa berjasa kepada isteri, sekiranya dia melakukannya secara ikhlas dan tanpa desakan

Isteri merasakan cara untuk suaminya menunjukkan kasih sayang kepada isteri adalah dengan menawarkan apa jua bantuan yang diperlukan oleh isteri


Suami tidak akan membantu isteri sekiranya isteri tidak meminta untuk dibantu.

Isteri merasakan sekiranya dia sentiasa meminta dari suami, suaminya akan merasa bosan dan tidak akan melayan permintaan  isteri


Suami sebenarnya lebih suka memberi apabila diminta. Dia akan merasa lebih dihargai apabila isteri meminta pertolongan daripadanya.

Isteri merasakan penting untuk mengatakan sebab kepada suaminya, kenapa suami perlu membantunya melakukan kerja.

Suami merasakan huraian yang panjang lebar itu menunjukkan isterinya sedang berleter, mengungkit dan cuba memanipulasi dirinya. Oleh sebab itu permintaan daripada isteri akan ditolak atau dilakukan kerana terpaksa.


Isteri merasakan tidak perlu berterima kasih kepada suami apabila dia membantu isteri sebab itu adalah tanggungjawabnya sebagai seorang suami.


Suami akan merasa tidak dihargai sekiranya isteri tidak mengucapkan terima kasih di atas bantuan yang dihulurkan

Isteri merasakan bila dia meminta kepada suami, samada suaminya suka atau tidak, suaminya wajib menunaikan permintaan itu. Sekiranya suami tidak berbuat demikian, isteri akan merasa sakit hati dan marah


Suami merasakan, dia perlu diberi ruang samada untuk menerima atau menolak permintaan isteri. Semakin isteri memberi ruang kepada suami, semakin dirinya merasakan lebih disayangi

Isteri sentiasa memendam rasa dan merasa kecewa dengan suami, kerana permintaannya sentiasa ditolak oleh suami. Oleh sebab itu isteri tidak akan meminta apa-apa dari suami dan sanggup memendamnya sendiri.


Suami merasakan isteri perlu belajar menerima perkataan “tidak boleh”,  “saya malas” atau “saya letih daripada suami. Semakin isteri  ikhlas dan tersenyum menerima penolakan dari suami,  semakin sayang suami kepada isterinya.

Isteri merasakan perlu meminta apa sahaja dari suami tanpa menyediakan peluang dan ruang untuk suami


Suami akan terkejut dengan permintaan isteri ketika dia sedang fokus melakukan sesuatu. Oleh itu peluang untuk dia berkata tidak sangat tinggi.


Daripada situasi di atas, Di bawah ini adalah tips untuk mendapat pertolongan daripada suami.

1. Isteri perlu belajar meminta daripada suami dengan menggunakan ayat yang ringkas dan padat serta difahami oleh suami.

Contoh ayat:
Abang… (gaya manja)  boleh tolong saya pergi beli seekor ayam dan seikat sawi.”
Ayat yang salah:
“Abang boleh tak, pergi beli lauk dan sayur sekarang, saya nak masa ni, barang dah habis dah kat peti ais. Anak-anak nak makan apa?”
Ayat di atas sangat merbahaya, peluang untuk lelaki menolak sangat tinggi. Kenapa?
Sebabnya adalah seperti berikut:
a) Apabila isteri menyuruh suami membeli lauk dan sayur, perkataan itu tidak spesifik. Bagi suami, dia akan panik sekejap, sebab dia tak tahu lauk tu nak lauk apa, samada udang ke, ikan ke, ayam ke? Dan sayur tu dalam kategori apa? Kubis ke, kangkung ke sawi ke? Bila dia panik dia tidak akan memenuhi permintaan isteri.
b) Isteri menggunakan ayat arahan. Isteri mengarah suami untuk buat sesuatu. Suami akan merasa dia dimanupulasi dan peluang untuk dia menolak sangat tinggi.
c) Isteri menghuraikan sebab kenapa suami perlu pergi ke kedai. Ayat di atas akan membuatkan suami merasa dirinya tidak bertanggungjawab kerana membiarkan peti ais kosong dan membiarkan anak-anak kelaparan.
Oleh sebab itu menggunakan ayat yang ringkas, tepat dan padat sangat penting untuk menang di dalam satu-satu komunikasi.

2. Isteri perlu belajar menerima “perkataan tidak boleh” atau “malas” atau “saya penat” dari suami dengan senyuman yang ikhlas.

Seorang suami akan berbuat demikian sekiranya isteri mengejutkan dia dari zon selesa.  Oleh sebab itu peluang untuk suami menolak permintaan isteri sangat tinggi. Sekiranya suami menolak permintaan isteri. Maka di saat ini isteri kena menerima dengan memberikan senyuman ikhlas dan menjawab satu perkatan sahaja.” Ok”.

3. Isteri perlu tahu apabila suami menerima pertolongan yang diminta oleh isteri, suami akan membalasnya dengan leteran.

Kebiasaan suami akan setuju untuk membantu isteri dengan leteran. Di masa ini, isteri tidak perlu menjawab. Apa yang perlu dilakukan di saat ini adalah isteri perlu tersenyum dan memandang sahaja karenah si suami. Dan dalam hati jerit “Yes!!!!”. Sebab suami tengah memberi respon kepada permintaan isteri.  Cuma cara suami menjawab permintaan isteri adalah dengan leteran. Leteran di saat ini adalah leteran kasih sayang. Oleh itu di saat-saat ini isteri perlu diam dan tersenyum tengok sahaja apa sahaja reaksi suami seterusnya. Pasti suami akan menerima apa yang diminta oleh isterinya.

4. Isteri perlu mengucapkan terima kasih kepada suami kerana telah memenuhi permintaanya dan jangan sekali-kali komplen sekiranya apa yang dibuat oleh suami tidak memenuhi kriteria yang diminta isteri.

Lelaki akan merasa seronok dan merasa dirinya dihargai sekiranya isteri menghargai apa yang telah diberikan kepada isteri. Bila dia merasa dirinya dihargai. Peluang untuk dia membantu isteri dilain kali akan menjadi mudah dan senang.

Cubalah tips ini. Anda akan merasa keajaibannya.



Wednesday, 2 October 2013

5 tips berdepan dengan ego suami

Lelaki dan perempuan adalah dua makhluk ciptaan Allah yang sangat istimewa dengan mempunyai  identiti, sikap dan juga perangai yang jauh berbeza.  Sikap lelaki terkenal dengan ego, panas baran, dan tidak mudah mengalah,  lebih-lebih lagi pada isteri yang disayangi. Manakala sikap perempuan pula adalah ingin dimanja dan disayangi, mudah merajuk, mudah tersentap dan menangis terutamanya pada suami yang dikasihi. Perbezaan dua  karakter ini sangat penting diketahui oleh si isteri dan juga suami sebagai panduan ketika berlaku ketegangan di dalam rumah tangga. Berdasarkan daripada pengalaman dan juga penyelidikan, ingin saya kongsikan khususnya kepada golongan isteri, tips yang boleh dipakai bila berhadapan dengan ego suami.

1. Senyap dan berdiam diri

Ketika berselisih pandangan dengan suami, tidak guna untuk berperang mulut dengannya kerana lelaki selalu merasakan dia sentiasa betul. Tak ramai suami yang diberi kekuatan untuk mengaku kesilapan diri lagi-lagi kepada isterinya. Sebagai seorang isteri, ketika berlaku perselisihan dengan suami, langkah yang paling wajar diambil ialah diam. Kalau masalah itu besar, berikan dia masa untuk berfikir selama beberapa hari. Kalau suami rasa apa yang dikatakan isteri itu betul, maka dia akan dengar  dan akan mengikut apa yang disuarakan oleh sang isteri.  Elakkan dari bertengkar dan berperang mulut dengan suami kerana dibimbangi tindakan tersebut akan menderhakai suami. Dalam waktu berdiam diri, layan kehendak suami seperti biasa dengan ikhlas, cuma kurangkan bercakap dan banyakkan berdiam diri. Mudah-mudahan dengan mengambil tindakan berdiam diri, suami akan lebih memahami apa yang kita rasa.

2. Mulakan dengan meminta maaf.

Sebelum mengambil langkah untuk berdiam diri, minta maaf terlebih dahulu dan katakan dalam hal ini kita yang silap. Ini dinamakan teknik reverse psychology. Dalam hal ini tunjukkan kematangan kita dengan meminta maaf. Pernah dengar  ayat “mengalah bukan bererti kalah”.  Jangan mudah merajuk dan menangis di hadapannya. Perbuatan menangis dan merajuk sesuai bagi pasangan yang baru berkahwin tetapi tidak pada pasangan yang lebih lima tahun berkahwin. Suami akan cepat merasa rimas dan bosan. Dengan meminta maaf juga menunjukkan sifat seorang isteri yang bertakwa. Sebagaimana Allah Berfirman yang bermaksud:
Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, yaitu orang-orang yang menafkahkan, baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.(QS. Ali Imran: 133-134).

3. Menangkan suami

Sebenarnya tujuan isteri bercerita pada suami, bukan sebab nak cari gaduh atau nak menang dalam pergaduhan, tetapi tujuannya adalah untuk suami faham dan tahu apa yang isteri rasa. Betul tak?  Terkadang tu cara isteri bercerita membuatkan dia melenting tak pasal-pasal. Lagi-lagi kalau apa yang diceritakan isteri itu betul dan terkena batang hidung lagilah dia melenting. Bila si isteri rasa suhu suami sudah meningkat cuba redakan dengan meminta maaf dan mengalah. Jangan sekali-kali menambah kata-kata yang boleh melukai hatinya.

4. Bersabar dan Redha

Banyakkan bersabar dan redha dengan suami. Kemarahan itu bukan milik kita tetapi haknya. Jika kita tentang kemarahannya, ia akan lebih cepat terbakar atau merebak. Lagipun api bukan lawannya api sebaliknya hendaklah disimbah dengan air supaya padam. "Untuk meredakan, amalkan surah Toha ayat satu hingga enam dan baca sebanyak 1,000 kali. Tiup kepada wajahnya ketika dia tidur atau pada makanan atau minumannya. Insya-Allah akan lembut hatinya. Allah berfirman dalam surah Thoha yang bermaksud:
"Tha, Ha, (Hai manusia), tiada Kami turunkan al-Quran ini supaya engkau mendapat celaka. Melainkan peringatan bagi orang yang takut (kepada Tuhan). Wahyu yang diturunkan dari Tuhan yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. Tuhan yang Pemurah berkuasa di atas singgahsana. Kepunyaan-Nya apa yang ada dilangit, apa yang ada di bumi, apa yang ada di antara kedua-duanya dan apa yang ada di bawah tanah."
.(QS. At-Thoha: 1-6). 

5. Perbanyakkan berselawat kepada Nabi Muhammad SAW.

Takkala pergaduhan itu membuatkan sehingga isteri menitiskan air mata, maka perbanyakkanlah berselawat kepada junjungan besar nabi Muhammad SAW sebanyak 1000 kali. Selepas itu bermohon kepada Allah SWT supaya Allah membuka hati suami supaya menjadi insan yang lembut hatinya, sejuk jiwanya, tenang fikirannya untuk menerima nasihat sebagaimana sifat Rasulullah SAW takkala melayan isteri Baginda dan semoga Allah memberikan ketenangan untuk isteri untuk merawat lukanya sendiri dan menerima kelemahan dan kekuatan suami seadanya. Insya Allah bila Allah redha maka kehidupan kita akan menjadi mudah. Peringatan penting untuk si isteri adalah kuat dan hebat macam manapun isteri, syurganya di bawah tapak kaki suami. Mencari jalan damai adalah lebih baik daripada bertikam lidah dengan insan yang bergelar suami.

Jadilah isteri yang mempunyai sifat seperti air, yang boleh memadamkan api yang sedang marak menyala. 



7 Tips untuk buat anak-anak dekat dengan kita

1. Jangan marah anak kalau dia buat silap.

Kadang-kadang kita sebagai ibu bapa kita menganggap diri kita mempunyai kuasa veto pada anak-anak. Pantang dia buat silap, kita akan sergah dan marah dia. Anak-anak yang sentiasa dimarah dan disergah  akan menjadi  seorang anak yang pasif, tidak mempunyai keyakinan diri dan paling teruk dia akan sentiasa memberontak  semata-mata untuk mendapat perhatian daripada kita. Kalau dia buat silap.. peluk dia, dan usap kepala dengan ikhlas. Cakap kat dia..” Mama tahu along dah buat silap.. tak pa mama doakan lain kali along tak akan buat silap lagi”. Kalau malas nak cakap diam sahaja, tapi dengan syarat jangan tunjuk muka masam. Sebab anak-anak sebenarnya dia tahu dia buat silap dan dia sendiripun rasa bersalah dengan kesilapan yang dilakukan. Kalau kita marah di saat dia membuat kesilapan akan membuatkan dia menjadi semakin bersalah  dan tertekan.

2. Banyak sentuh dan usap dia.

Setiap kali dia nak keluar dari rumah ataupun kita nak tinggalkan dia di rumah, kita peluk dan usap dia. Begitu juga tiap kali kita balik dari kerja dan dia balik dari sekolah. Kita panggil dia dengan panggilan manja dan peluk dia selama 5- 10 saat, tak perlu nak cakap apa-apapun. Insya Allah dia akan berubah menjadi seorang yang tenang dan mendengar kata. Kerana pelukkan dari ibu dan ayah akan membuatkan diri mereka sentiasa merasa dilindungi. Hasilnya walaupun mereka berada jauh dari kita, kita akan sentiasa dekat dihati mereka.

3. Makan malam bersama-sama

Sebagai ibubapa kadang-kadang kita sentiasa lupa untuk bertanya khabar aktiviti harian mereka. Kalau tak boleh setiap hari, Sekurang-kurangnya dalam seminggu kena ada 3 kali kita makan bersama-sama dengan anak-anak dan juga keluarga. Terutamanya ketika makan malam. Lupakan sekejap bebanan kerja yang kita ada untuk melayan mereka. Biarkan mereka berbual dan bercerita tentang apa sahaja, dan kita bagi respon sebaik yang mungkin apa yang mereka beritahu pada kita Elakkan dari mengeluarkan pandangan negatif  seperti mengutuk, menghina dan mencaci diri mereka ataupun apa sahaja cerita yang mereka beritahu pada kita. Elakkan mengeluarkan idea-idea yang mempunyai unsur-unsur  hasutan, provokasi kepada mereka.Elakkan dari berleter,  Berikan mereka idea, cadangan dan nasihat yang baik. Insya Allah mereka akan selesa bercerita apa sahaja pada kita.

4. Ajak anak teman kita shopping atau beli barang.

Sewaktu beli barang dengan mereka di Supermarket ataupun di pasar. Ajar mereka barang-barang keperluan yang perlu ada pada sesebuah rumah. Jangan sumbat semua maklumat dalam masa sehari. Ajar sikit-sikit. Contoh ajar macam mana cara nak pilih ikan segar. Walaupun benda tu simple tapi sangat berbaloi-baloi bila kita ajar sejak dari kecil lagi. Sebab nanti bila kita pergi supermarket kita akan nampak dia suka memilih barang keperluan rumah sendiri.  Selain itu jangan lupa minta pandangan mereka untuk memilih sesuatu yang anda ingin beli. Kalau pandangan dia bagus, puji pandangannya dan ambil cadangannya. Ini akan membuatkan dia rasa dihargai.

5. Ajar sendiri anak baca al-Quran dan ajak mereka solat sekali dengan kita.

Ini sangat-sangat penting. Kadang kala kita lupa atau kita tak sempat nak ajar mereka mengaji al-Quran dan juga solat. Kita membiarkan anak-anak membesar tanpa ilmu agama. Kita pentingkan ilmu akademik, tetapi ilmu agama kita abaikan.  Keadaan ini sangat merbahaya kerana anak-anak yang tidak dididik dengan ajaran dan praktikal agama akan menyebabkan jiwa mereka kosong dan rohani mereka lapar. Bila jiwa mereka lapar, cubaan untuk mereka mencari benda-benda yang tidak baik dan tidak bermanfaat sangatlah tinggi.

6. Jadi role-model  kepada mereka.

Jangan kita sekadar bercakap, tetapi kita tidak buat. Sebagai contoh kita suruh anak kita pergi solat magrib dalam waktu yang sama kita syok melayan drama kat TV ataupun kita tunjuk contoh tak baik dengan membuang sampah merata-rata. Anak-anak  sentiasa memerhatikan telatah orang dewasa dan mereka akan ikut orang dewasa. Kalau kita buang sampah merata-rata depan mereka, nanti dia orangpun akan ikut. Kalau kita caci maki orang lain depan dia orang, diorang pun akan ikut. Jiwa-jiwa anak-anak terlalu suci. Jadilah role-model yang terbaik untuk mereka.

7. Sentiasa berdoa kepada Allah SWT.

Sentiasa berdoa dan meminta kepada Allah SWT supaya anak-anak kita menjadi anak2 yang soleh dan solehah. Doa ibu bapa adalah keramat untuk anak-anak. Sentiasalah berfikiran positif kepada anak-anak kita. Kerana apa yang kita fikir itulah yang akan terjadi. Fikir itu juga doa. Sebagaimana Firman Allah dalam hadis qudsi “Aku mengikut apa yang hambaku sangkakan”. Berfikirlah secara positif, Insya Allah anak kita akan membesar sebagai seorang yang positif.


Anak adalah amanah Allah yang perlu dijaga sebaik-baiknya.