Tuesday, 1 October 2013

Minat yang baik bersertakan niat yang ikhlas pasti direstui olehNya

Bila bercerita tentang minat ataupun passion, saya tercari-cari apakah minat saya sebenarnya. Apakah yang saya lakukan yang membuatkan saya tak ingat dunia. Apakah yang saya lakukan saya tak sedar masa berlalu dan saya sentiasa merasa puas dengan aktiviti yang saya lakukan.

Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT, kerana saya menemui minat dan passion saya sendiri. Sebenarnya minat saya ni tidak sesuai  dilakukan oleh  wanita seperti saya. Biasanya wanita lebih berminat kepada aktiviti ke arah keperempuanan, tapi saya dah terbalik.  Saya sangat berminat  dengan program-program yang berbentuk pembangunan insan, motivasi dan juga program-program berbentuk kerohanian. Saya suka bila berada di dalam program-program motivasi tidak kiralah samada saya sendiri yang memberi motivasi ataupun  saya yang kena  dimotivasikan. Keluar dari program seperti ini saya jiwa saya tenang dan puas. 

Salah satu aktiviti program
Minat yang satu ini membuatkan saya sanggup mengadakan program motivasi dan kepimpinan kepada pelajar-pelajar saya sendiri di Sunway University. Bukan saya dapat apapun dengan mengadakan program-program seperti ini.  Saya buat aktiviti ini ikhlas kerana Allah SWT demi tanggungjawab dakwah  saya kepada masyarakat dan satu lagi saya buat sebab saya minat. Sepanjang saya di Sunway University saya telah mengadakan lebih daripada 40 aktiviti yang membabitkan pembangunan insan, motivasi, kepimpinan dan juga program berbentuk kerohanian. Setiap tahun saya akan mengadakan program seperti ini kepada pelajar-pelajar saya ataupun program bersama pelajar-pelajar sekolah, rumah anak-anak yatim dan juga rumah pemulihan akhlak. Walaupun saya satu-satunya Penasihat untuk program kepada pelajar-pelajar saya di Sunway University, saya tak kisah. Aktiviti yang saya buat melibatkan sehingga 80-100 orang pelajar dan pernah mencecah sehingga 150 -200 orang pelajar. Terkadang  tu hanya saya seorang sahaja yang akan menemani pelajar-pelajar saya  di hutan.





Kepenatan saya hilang, bila saya melihat pelajar-pelajar Melayu khususnya pelajar-pelajar Islam bersatu dan melakukan aktiviti ibadah dan pembangunan insan bersama-sama, antaranya mereka akan solat berjemaah lima waktu sehari semalam, solat sunat tahajud bersama-sama, membaca al-Quran dan juga mathurat bersama-sama dan banyak lagi aktiviti ibadah yang lain dilakukan bersama-sama. Selama saya bertugas di Sunway University lebih dari 11 tahun, sudah merata tempat saya bawa pelajar-pelajar saya untuk mengadakan aktiviti khemah ibadah antaranya di  Dusun Eco Resort, Nur Laman Bestari, Hutan Simpan FRIM, Gunung Nuang, Broga Hill, Sungai Congkak, Sungai Pisang Gombak, Janda Baik dan banyak lagi tempat-tempat lain. Saya tak kisah untuk bermalam di dalam khemah bersama-sama dengan pelajar saya, mendaki bukit dan gunung bersama-sama mereka, meredah hutan rimba di waktu malam dan siang bersama-sama, memasak makanan untuk pelajar-pelajar saya dan sebagainya. Walaupun penat namun saya rasa kepenatan saya berbaloi-baloi.  

Kenangan mendaki Gunung Nuang
Untuk membawa mereka ke hutan pelbagai dugaan dan halangan terpaksa dihadapi antaranya saya terpaksa bertungkus lumus mencari sumbangan, membuat persiapan lengkap sebelum berprogram, melayan karenah ibubapa dan juga menerima cemuhan dari pelajar-pelajar saya sendiri  serta cemuhan dari rakan-rakan sekerja sehingga kadang-kadang tu cemuhan mereka membuatkan air mata saya luruh. Namun saya kuatkan semangat untuk meneruskan aktiviti seperti ini kerana saya rasa bertanggungjawab untuk mengajar pelajar-pelajar saya  mendekatkan diri kepadaNya dan kalau saya tidak melakukannya saya rasa berdosa.  Jika niat itu betul-betul Ikhlas keranaNya, akan ada bantuan daripada Allah untuk mempermudahkan segala urusan saya. Alhamdulillah,  kepenatan saya hilang bila saya membaca laporan pelajar-pelajar saya mengenai program yang saya jalankan. Ada yang mengatakan sebelum ini mereka tidak pernah solat akhirnya mereka tidak tinggal solat. Ada yang sebelum ini tidak bertudung dan akhirnya bertudung, mereka semakin rapat dan mendekatkan diri kepada Allah. Malah lebih membuatkan saya rasa terharu, walaupun mereka telah pergi belajar hingga ke luar Negara, setiap kali mereka balik bercuti ataupun sudah habis belajar mereka masih lagi datang dan mencari saya.
 
Di atas Broga Hill bersama pelajar
Dalam Seminar  Intensif Jutawan Industri  (IJI), saya dan rakan-rakan peserta seminar diajar mengenali minat, dan saya rasa apa yang saya buat ini adalah minat saya.. Anda bagaimana? Sudah tahu apa minat anda..














No comments: