Hati mana tak pernah dilukai, hati mana tak pernah
disakiti. Selagi bernama manusia pasti urusan hati tidak akan selesai sampai
bila-bila. Hari ini kita gembira, esok lusa kita berduka nestapa. Hari ini kita
hidup dengan penuh keyakinan, esok mungkin kita hilang keyakinan diri. Hari ini
kita berani, esok lusa kita menjadi seorang yang sangat-sangat pengecut. Apapun
keadaan kita Allah Maha mengetahui, Maha Melihat dan juga Maha Mendengar.
Inilah cabaran dunia, Allah menguji tanpa henti.Hanya insan yang sabar dan
yakin sahaja yang mampu meneruskan kembara hidup di alam fana ini.
Allah yang Maha Penyayang telah menyediakan penawar
untuk kita mengubati penyakit hati.
Antara penawar yang disediakan ialah solat, terutamanya Qiamulail. Esakan,
tangisan dan rintihan di sepertiga malam di saat-saat kesunyian adalah nikmat
cinta Agung yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Air mata yang
menitis, menginsafi kesilapan dan kekhilafan diri di depan yang Maha Pencipta
akan diberi limpahan kurnia dariNya. Ia adalah nikmat yang tidak akan difahami
oleh sesiapapun melainkan kepada orang yang merasainya. Tangisan yang mengalir
di malam hari akan menghilangkan segala rasa hiba dan kesakitan yang ada yang
akan menjadi kekuatan kepada jiwa untuk mengharungi gelombang kehidupan.
Saya percaya dengan bertawakal dan berdoa serta usaha
yang berterusan Allah tidak pernah dan tidak akan memandangnya sia-sia. Apabila
Allah menolong kita, tiada sesiapapun yang boleh menahannya. Pertolongan Allah
akan datang dalam pelbagai rupa, dalam bentuk idea, kelapangan masa, kesihatan,
ketenangan dan pelbagai-bagai lagi. Hanya manusia yang jahil sahaja yang tidak
mampu untuk menilai kemakbulan doa yang
Allah berikan kepada kita.
Pernah suatu ketika saya merasa sangat-sangat
terluka dengan perbuatan manusia. Setiap malam saya saya bangun untuk bersolat,
berdoa dan menangis kepada Allah supaya diberi kekuatan untuk merawat kelukaan
yang saya hadapi. Tak kala saya menangis dan memohon kepada Allah, Antara yang
saya minta ialah:
a) Saya
meminta supaya Allah mengampunkan segala dosa-dosa yang saya lakukan. Mungkin
disebabkan kekhilafan saya sendiri yang menyebabkan saya menghadapi kelukaan itu.
b) Saya meminta supaya Allah, jangan adakan perasaan benci
atau dendam di hati saya dan melupakan perbuatan manusia yang telah melukakan
hati saya kerana dengan adanya perasaan sebegitu seolah-olah akan menjadi sekam
membakar diri,
c) Seterusnya
saya bermohon agar Allah mengubati hati saya dengan memberikan hadiah yang
terbaik untuk saya merawat kelukaan ini. Itulah doa yang saya minta waktu itu.
Alhamdulillah Allah SWT memberikan apa yang saya
minta. Pertama, apa yang saya rasa adalah ketenganan jiwa yang membolehkan saya lebih fokus
untuk menyiapkan kerja-kerja saya tanpa memikirkan tentang kelukaan yang saya
hadapi dan Allah SWT juga memberikan hadiah kepada saya dengan menjadikan saya
sebagai tetamu istimewa di Mekah dan juga Madinah. Alhamdulillah impian untuk
ke sana dimakbulkan oleh Allah SWT. Dan saya
yakin itu adalah hikmah dan hadiah dari Allah di atas kesakitan dan kelukaan
yang saya hadapi.
Ketenangan dan kebahagiaan jiwa ketika menjadi tetamu Allah adalah saat indah yang sukar dilafazkan dengan kata-kata |
Setiap kali ada kesempatan yang baik, di tempat yang
baik, dan di waktu yang baik saya akan mengulangi merayu dan merintih kepada
Allah. Bila Allah berikan ujian kepada saya, pertama kali saya akan berkata : "Allah tidak akan memberikan ujian kepada saya, kalau Dia tahu saya tak mampu untuk menanggungnya, dan seterusnya
diungkapkan dengan rasa syukur dan redha dengan ujian yang datang. Dan selebihnya saya akan berserah kepada Allah
untuk menguruskannya. Kerana jika kita meminta manusia mengaturkan perjalanan
hidup kita, kita sering menjadi mangsa, dan jika kita sendiri yang
menguruskannya kita pasti tak akan mampu untuk mengendalikannya. Tapi sekiranya
kita berserah kepada Allah SWT, untuk menguruskannya saya yakin keajaiban pasti
akan berlaku. Kadang-kadang masalah yang
kita rasa kita sudah kalah, kita sudah tewas dan kita amat-amat penat tetapi Allah boleh menggantikannya
dengan kemenangan, kejayaan dan kebahagiaan jiwa. Itulah Ajaibnya cinta Allah,
kasih sayangnya tak pernah bertepi kepada insan yang bernama hamba.
Semoga kita semua akan menjadi tetamu Allah suatu hari nanti |
No comments:
Post a Comment