Saturday, 31 January 2015

Lapan resepi mendidik amanah Allah

Anak adalah anugerah Allah yang tidak ternilai. Mereka bukannya harta dan perhiasan dunia semata-mata, malah mereka juga adalah bekalan dan aset kepada kedua ibu bapa selepas pergi meninggalkan dunia ini. Saya seringkali ditanya bagaimanakah cara yang terbaik untuk mendidik anak-anak. Berdasarkan kepada pengalaman dan juga pemerhatian saya terhadap kawan-kawan yang berjaya mendidik anak mereka menjadi anak-anak yang cemerlang, di bawah ini saya kongsikan lapan tips untuk mendidik anak menjadi anak yang cemerlang di dunia dan di akhirat. Insya Allah,



1.Perhatian
Anak merupakan amanah dari Allah SWT yang memerlukan perhatian dan kasih sayang yang sepenuhnya dari kedua ibu bapa. Anak-anak yang kurang perhatian akan menjadi anak yang nakal, tidak mendengar cakap dan degil. Mereka akan melakukan perkara-perkara yang boleh menyakiti hati ibu bapa semata-mata untuk meraih perhatian daripada ibu bapa mereka.  Oleh itu berilah perhatian yang sewajarnya kepada anak-anak kerana bila mereka kaya dengan perhatian, mereka akan menjadi anak yang mendengar kata. Perhatian juga perlu terhadap bidang pendidikan mereka. Jangan menyerahkan tugas mengajar mengaji al-Quran kepada ustaz semata-mata, Ibu bapa juga mestilah tahu dan pandai mengajar mengaji . Kalau tak tahu kenalah belajar. Manakala di dalam bidang akademik pula, ibu bapa perlu tahu setakat mana prestasi pendidikan anak-anak mereka. Jangan terlalu menyerahkan tugasan mengajar hanya kepada guru atau pusat tusyen semata-mata. sehingga

2. Pujian
Pujian juga sangat penting untuk menjadikan mereka merasa dihargai. Sebagai manusia biasa, kita lebih suka dipuji daripada dikeji. Kalau kawan-kawan kita, kita boleh puji, kenapa begitu susah untuk memuji anak sendiri untuk mereka lebih rasa dihargai oleh kedua ibu bapa mereka.

3. Pelukan
Peluk anak bukanlah hanya pada anak-anak yang masih kecil. Anak-anak yang tengah meningkat remaja dan juga dewasa juga memerlukan pelukan daripada ayah dan ibu. Pelukan seorang ibu akan menghilangkan kegundahan  hati yang dialami oleh si anak dan akan membuatkan jiwa anak menjadi tenang.

4. Perkataan
Pilihlah perkataan yang baik-baik tak kala bercakap dengan anak. Kalau kita seringkali memilih perkataan yang boleh melukakan hati mereka, mereka akan lebih suka menceritakan masalah mereka kepada orang lain berbanding kepada kita.  Bila anak sudah mencari orang lain untuk menceritakan masalah kepada mereka, jangan terkejut bila suatu hari nanti kita sudah tidak mengenali anak sendiri. Selain itu sentiasalah memberikan kata-kata motivasi kepada anak untuk menjadikan mereka sentiasa bersemangat di dalam melakukan apa juga aktiviti.


5. Pendidikan
Pendidikan di sini merangkumi pendidikan akhlak, agama dan juga akademik. Seimbangkan antara ketiga-tiga pendidikan ini. Insya Allah anak-anak kita akan dipaternkan dengan gaya pendidikan yang lengkap untuk keperluan mereka dunia dan akhirat.



6. Pukul
Pukul juga penting sebenarnya untuk mengajar mereka hukuman yang mereka akan dapat jika mereka melakukan kesalahan. Kalau kita tidak pernah bertegas dengan mereka, mereka akan “naik lemak” dan lama kelamaan mereka akan susah untuk dibentuk menjadi manusia  yang baik. Rotan boleh, tapi jangan dengan nafsu amarah, rotanlah anak dengan penuh kasih sayang dan dengan bertujuan hendak mengajar bukan untuk mencederakan.

7. Penghargaan
Setiap manusia akan gembira bila dihargai. Begitu juga dengan anak kita. Mereka akan rasa bangga bila ibu bapa mereka yang menghargai hasil usaha mereka. Belajarlah menghargai mereka walaupun dengan memberikan hadiah yang bernilai RM5. Dengan itu mereka akan bersemangat untuk melakukan sesuatu yang baik.

8. Pantau
Pemantauan juga penting, sebagai ibu bapa mereka perlu tahu dengan sapa anak mereka berkawan. Bagaimana cara mereka bercakap. Tegurlah mereka apabila mereka mengeluarkan perkataan yang kesat dan tidak baik. Kalau mereka sudah terbiasa dengan perkataan kesat, jatuhkan hukuman. Kita tidak pernah mengajarkan mereka menggunakan perkataan kesat. Mungkin mereka dapat perkataan tersebut daripada kawan-kawan mereka yang lain.


Sekiranya kita dapat mempraktikan tips-tips di atas, Insya Allah anak-anak kita bakal menjadi anak-anak yang soleh di dunia dan akhirat. Mereka akan menjadikan kita sebagai sumber inspirasi, guru, kawan, polis malah segala-galanya dalam kehidupan mereka.

No comments: