Friday, 8 November 2013

Cerita di Sebalik Tapai Pulut Mak Jah

Teringat kata-kata Dr Azizan Osman, "gentel-gentel dapat duit" "gentel-gentel dapat duit,  banyak kali pulak tu dia ulang ayat tu. Tiap kali dengar ayat tu saya mesti tergelak, tapi sebenarnya dalam maksud ayat tersebut. Mula tu saya terfikir macam mana ya gentel-gentel dapat duit, sekarang ni bila kena atas batang hidung sendiri baru saya tahu, Ooo begini rasanya gentel-gentel dapat duit. Cuma saya bukan gentel tapi  saya cucuk-cucuk dapat duit (cucuk lidi kat daun pisang untuk buat tapai)

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah, segala puji dan syukur hanya untuk Allah yang selayaknya.. Bila kita berkongsi dalam apa jua yang kita ada, Insya Allah rezeki akan datang kemudian. Kalau orang tanya saya, awak meniaga tapai ke? Saya akan jawab saya tak meniaga tapai, tapi saya membantu orang ramai yang nak makan tapai bersih, sedap, manis dan enak tapi tak tahu kat mana nak cari. Saya juga membantu orang yang mencari tapai untuk di makan samaada untuk di makan sendiri atau untuk majlis-majlis keraian, kesyukuran, perkahwinan, rumah terbuka, sambutan hari lahir dan lain-lain majlis, dan juga saya membantu peniaga yang menjual cendol atau ABC untuk melazatkan lagi cendol dan ABC mereka.

Alhamdulillah, inilah yang dikatakan terpaksa kaya agaknya. Daripada saya buat tapai main-main, tapai ni dah kena buat sungguh-sungguh. Setiap hari ada je orang order dan tempah. Sampai saya sendiri terkejut dengan apa yang terjadi. Masya Allah! Allah itu Maha Mengetahui. Terima kasih sangat-sangat pada Dr Azizan Osman kerana memberi saya ilmu dan lampu suluh untuk saya lalui lorong yang gelap gelita selama ini. Saya sangat bahagia sekarang. Saya bahagia kerana dapat memberi nilai kehidupan untuk orang lain. Terima kasih  yang tidak terhingga juga kepada Ibu saya.. kerana kasih sayang yang diberikan saya mengispirasikan Nama Beliau pada tapai saya: Tapai Pulut Mak Jah. JOM Rasa!!!



Bukan sekadar Tapai,  


Like page: https://www.facebook.com/yazilmiwatimamamac/posts/181223058736187?notif_t=like

Wednesday, 6 November 2013

Bila Mr Arrogant Berasal dari Planet Marikh :Apa yang perlu kita lakukan?

Penulisan ini bukan untuk mengutuk atau merendahkan  martabat mana-mana pihak, tapi sebagai perkongsian tips kepada wanita yang menghadapi masalah komunikasi dengan suami. Ini kerana komunikasi yang tidak betul di antara pasangan akan menyebabkan berlakunya konflik dalam rumahtangga dan sekiranya ia tidak dibendung akan meruntuhkan institusi keluarga itu sendiri. Saya mengambil tanggungjawab ini untuk berkongsi pengalaman dan tips komunikasi yang berkesan yang boleh diamalkan oleh para isteri yang menghadapi masalah untuk berkomunikasi dengan suami. Semoga ianya memberi kemanfaatan kepada semua.

Bila mata tak boleh tidur, mulalah fikiran melilau mencari sesuatu untuk dibuat. Saya ternampak satu buku “Men are from Mars and Women are from Venus”, di atas rak buku peribadi  saya di dalam bilik. Saya mengambil buku tersebut dan membelek-beleknya. Mata saya terpaku pada satu topik “bagaimana mahu meminta dan mendapat sokongan”, Muka surat 315. Macam menarik je topik ni. bisik hati saya sendiri.

Bila saya membaca sesuatu buku, saya akan cuba kaitkan dengan apa yang berada di sekeliling saya. Sudah tentu topik yang saya sedang  baca ada kaitannya dengan Mr Arrogant saya. Perlu diingatkan di sini, tak semua lelaki bersifat arrogant. lelaki yang saya kategorikan lelaki arrogant adalah lelaki yang kelihatan  ego, sombong, tak banyak cakap, bila bercakap bahasanya sangat tajam, menikam hingga ke lubuk hati dan kalau bercakap memang tak mahu kalah.  Tetapi lelaki arrogant ni sebenarnya bijak dan pandai, baik hati, suka tolong orang, bertanggungjawab dan yang bestnya lelaki  arrogant ni, dalam hatinya ada taman yang indah dan cantik. Hehehehe. Kalau anda juga ada jumpa Mr Arrogant macam ni, maka topik ni sesuai untuk anda, kalau tak jangan baca.

Kebiasaannya sangat susah untuk kita mendapat pertolongan atau sokongan dari lelaki  yang mempunyai ciri-ciri Arrogant ni. Menurut John Gray, penulis buku “Men are from Mars and Women are from Venus”, lelaki jenis ini yang adalah lelaki yang berasal dari planet Marikh. Untuk bercakap, apatah lagi meminta tolong dari lelaki yang berasal dari planet Marikh ni, mesti ada seni, tak boleh main hentam kromo sahaja. Sebab kesannya nanti, diri sendiri yang akan merana. Saya teringat di awal perkahwinan dulu, tahun kedua, tahun ketiga berkahwin. Saya sentiasa menangis dengan sikap Mr Arrogant saya. Bila bercakap dengan dia, ada sahaja benda yang menyakitkan hati. Apatah lagi kalau nak minta tolong. Sampai satu saat saya macam malas nak minta tolong dengan dia lagi, selagi saya mampu buat sendiri saya akan buat sendiri kerja tu. Yang paling teruknya saya paksa diri saya untuk ikhlaskan hati menjadi isteri yang baik, taat dan solehah. Ikhlaskan hati dalam keadaan terpaksa susahkan? Betul tak?

Pernah satu ketika saya bertanya kepada Mr Arrogant saya.“Kenapa abang ni teruk sangat? Cakap sesedap rasa sahaja”. Dia tersenyum dan dengan selamba menjawab: “ Kalau abang teruk, abang dah tak jumpa dengan zie dah”. Saya tercengang “Kenapa?” Saya bertanya tak puas hati. “Zie ingat tak satu ayat al-Quran cakap, Suami yang baik untuk isteri yang baik, begitulah sebaliknya. So kalau abang ni jahat, abang tak akan jumpalah dengan zie, sebab perempuan yang baik macam zie ni, mesti jumpa dengan lelaki yang baik dan handsome macam abang”. Mr arrogant saya menjelaskan dengan panjang lebar, sambil meninggalkan saya terkulat-kulat sendiri. Mmmm betul juga cakap dia. Bisik hati saya sendiri. Terukkan saya. Mahu bertahun juga makan air mata. Sakit hati nangis, sakit hati nangis, itulah kerjanya. Penat sahaja nangis.  hehehe. Astagfirullahal azim… berdosanya saya.

Saya cuba mencari buku atau tips untuk menawan hati Mr arrogant ni, tapi tak ada kat pasaran, kebanyakan buku yang ada banyak menceritakan tentang tangungjawab isteri adalah taat kepada suami. Saya geram juga. Bukan tak nak taat pada suami, tapi kalau dah berkali-kali sakit hati. Kadang-kadang tu hilang juga sabar. Saya juga banyak dengar cerita kawan-kawan yang mengeluh tentang suami masing-masing. Sabar jelah ya. Saya selalu ingatkan diri sendiri dan kawan tentang kedudukan seorang suami pada seorang isteri sebagaimana Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sekiranya aku (boleh) menyuruh manusia menyembah manusia nescaya aku akan menyuruh isteri menyembah suaminya." (Hadis riwayat Abu Daud)

Tingginya darjat seorang suami. Sesungguhnya syurga isteri di bawah tapak kaki suami. Saya sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya menjadikan saya isteri yang terbaik untuk Mr arrogant saya ni. Alhamdulillah bila saya pelajari teknik ini sedikit demi sedikit mengubah persepsi saya pada Mr Arrogant saya. Semakin sayang dan bangga menjadi isteri kepada lelaki yang bersikap arrogant ni.  Di bawah ini saya kongsikan Tips untuk meminta tolong dari Mr Arrogant.

Tips 1. Sebelum kita belajar meminta sesuatu daripada Mr arrogant, kena belajar bersyukur dengan apa yang telah dia berikan kepada kita.

Sebagai contoh dia dah sediakan tempat tinggal, makan, pakai, baiki benda-benda yang rosak dalam rumah, tolong baiki dan service kereta kita, tolong jaga anak, tolong kita beli barang dan macam-macam lagilah. Dalam bab ni saya sentiasa mendengar rungutan isteri kat luar sana. “Saya kalau tak kahwinpun tak apa, saya boleh hidup sendiri. Sebab sekarang ni semua benda saya buat sendiri”. Subhanallah, jangan sekali-kali mengungkapkan perkara demikian, sebab-sebab kadang-kadang kita tak rasa dan tak menghargai pertolongan yang dah suami berikan pada kita. Belajar menghargai dan bersyukur dengan apa yang ada. Sebab Allah tak akan temukan kita dengan pasangan kita kalau dia tahu jodoh tu tak sesuai untuk kita.
Tips 2. Mula meminta dengan perkara kecil dan hargailah pertolongannya.
Mulakan meminta dengan perkara-perkara yang kecil dan bila dia melakukan mengikut permintaan kita, hargailah pertolongannya. Terdapat di kalangan isteri yang bila dia meminta daripada suami, dah suaminya melakukannya, dia akan membebel sebab apa yang dilakukan oleh suami tidak mengikut cita rasanya. Sekiranya kita terus menerus melakukan sedemikian, suami akan hilang motivasi untuk membantu kita.

Tips 3: Masa yang sesuai

Jangan meminta masa dia tengah atau sedang fokus melakukan sesuatu atau jangan meminta ketika dia hendak melakukan sesuatu. Sebagai contoh dia sedang memang mahu mengangkat pinggan ke sinki untuk dicuci. Jangan cakap kat dia “Bolehkan abang tolong cucikan pinggan tersebut?” Bila kita cakap macam tu, dia akan merasa seolah-olah kita sedang memberi dia arahan. Ini penting pada isteri-isteri yang berpangkat besar dan bergaji besar di tempat kerja. Jangan bawa perangai mengarah itu di rumah. Di rumah kita adalah isteri kepada seorang suami. Turunkan pangkat anda sekejap, tinggal sahaja pangkat anda di pejabat.

Tips 4:  Nada yang betul.

Jangan gunakan bahasa desakan atau menuntut. Apabila kita memiliki nada yang mendesak atau menuntut, tak kiralah cantik manapun bahasa kita. Suami akan merasa dia tidak dihargai selama ini. Dan kemungkinan dia akan menjawab secara kasar. Sebagai contoh ayat yang tak betul ialah “Lauk, sayur dalam peti ais semua dah habis, kita nak makan apa hari ni”. Pada suami dia akan memahami sebaliknya “abang sepatutnya bertanggungjawab, tak perlulah untuk saya sentiasa mengingati abang”. Nada yang betul adalah “boleh abang tolong belikan ayam dan sedikit sayur?”

Tips 5: Cakap dengan bahasa yang ringkas

Elakan dengan memberikan senarai panjang mengapa dia patut membantu kita. Lebih panjang kita bercakap. Peluang untuk dia menolak permintaan kita lagi tinggi. Kebiasaanya Mr Arrogant tidak mahu mendengar mengapa dia mesti memenuhi permintaan isteri. Kebiasaanya perempuan akan menerangkan panjang lebar kenapa suaminya perlu membantunya. Bagi wanita yang bekerja sebagai pendidik, jangan bawa karektor sebagai pendidik itu di rumah sehingga suamipun hendak diajar itu dan ini. Keadaan ini bila dibiarkan berterusan akan membuatkan dia merasa bosan. Tetapi sekiranya dia bertanya “kenapa?”. Maka jawablah secara ringkas dan tepat. Kebiasaanya Mr Arrogant ni orangnya bijak pandai, tak perlu untuk kita menerangkan panjang lebar.

Tips 6: Bahasa yang digunakan hendaklah jelas.

Gunakan bahasa yang jelas untuk meminta pertolongan daripada Mr arrogant. Jangan anggap dia faham apa yang tersirat di hati kita. Sebab dia adalah manusia yang berasal dari dunia yang sangat berbeza dengan kita, sekiranya tidak diberitahu secara jelas. Dia tidak akan faham dan tidak akan membantu.  Untuk meminta pertolongan dari Mr Arrogant kena letak perkataan “ Boleh abang tolong…..”. sebagai contoh “Boleh abang tolong hantarkan anak pergi sekolah hari ini?”. Antara kesilapan ayat yang biasa dilakukan ketika meminta pertolongan ialah
a)“ Saya sibuk hari ini, van sekolah pula tak datang…” (ayat berleter)
b) “Kalau abang tak hantar anak hari ni, kalau jadi apa-apa kat anak, abang yang bertanggungjawab..” (Ayat ugutan)
c) “Dahlah saya nak cepat, van sekolah pula tak datang, geram betullah…” (ayat tidak puas hati)

Tiga contoh ayat di atas adalah tidak jelas. Jika ayat ini diulang secara berterusan akan membuatkan dia cepat naik angin. Mr Arrogant tidak suka cara isterinya meminta tolong seperti ayat di atas. Sekiranya isteri tidak menyedari dan terus menerus melakukan perkara yang sama akan menimbulkan reaksi yang tidak baik dari suami yang akhirnya akan membuatkan isteri kecil hati dan merasa kecewa untuk meminta tolong dari suami.
Kesilapan di dalam menggunakan ayat-ayat di atas, membuatkan suami akan merasa terhina dan merasa dirinya dimanupulasikan oleh isteri. Lelaki menolak permintaan isteri disebabkan bukannya dia tidak ingin membantu, tetapi dia merasa kecewa dengan percakapan isterinya.

Cuba lakukan tips di atas, Insya Allah Mr Arrogant akan seronok untuk menolong kita.



Tuesday, 29 October 2013

Bukan sekadar rotan

“Cikgu boleh pukul saya, tapi jangan sekali-kali cakap kat saya yang bukan-bukan.” Teringat saya pada satu peristiwa ketika saya tidak menyiapkan kerja sekolah suatu ketika dulu. Waktu  tu saya  darjah enam. Pertama kali zaman persekohan saya, saya dipukul oleh cikgu dengan pembaris panjang. Saya tak pernah kena sebelum ni. Hanya kerana satu kesilapan saya dipukul oleh cikgu. Saya menangis sepuas-puasnya. Bermula dari waktu sebelum rehat hinggalah sampai waktu balik sekolah air mata saya tak berhenti mengalir. Waktu tu saya tak peduli biarpun dikutuk oleh kawan-kawan yang saya ni manja. Apa yang saya tahu waktu tu, saya sangat-sangat kecewa dengan perbuatan cikgu pada saya.

Setiap cikgu yang masuk ke kelas hari  itu tertanya-tanya kenapa saya menangis. Saya tak perlu memberikan jawapan sebab satu kelas bercakap yang saya kena pukul dengan pembaris  panjang.  Pada saya, saya tak sepatutnya dipukul, sebab sebelum ini saya tak pernah melakukan kesilapan. Hanya saya terlupa untuk membuat latihan saya dipukul.

Saya tak sangka peristiwa saya menangis dari pagi sehinggalah waktu balik sekolah tersebar di seluruh bilik guru. Sehinggalah keesokan hari, pagi-pagi lagi cikgu yang merotan saya masuk ke kelas dan memanggil  saya ke bilik guru.
Di satu sudut di dalam bilik guru:
“Cikgu minta maaf, sebab rotan awak semalam, cikgu tak sengaja.” Cikgu Razak memulakan percakapan.
Saya tak berkata apa-apa. Diam seribu bahasa.
“Cikgu ada belikan kamu hadiah. Nah ambil ni?” Cikgu Razak menyambung kata-katanya sambil menghulurkan Komik Ujang di tangannya kepada saya.
“Terima kasih cikgu?” Saya mengambil komik hadiah dari cikgu saya. Air mata saya bergenang di kelopak mata. Saya sangat terharu. Tak sangka cikgu boleh meminta maaf kepada saya.
“Mulai sekarang jangan marah kat cikgu lagi ya, cikgu tahu awak budak baik. Semalam  cikgu tak sengaja merotan awak. Tak sangka pula awak ni sensitif orangnya. Gurau sikitpun tak boleh. Satu bilik guru ni kecoh awak menangis sepanjang hari.” Cikgu Razak memujuk sambil tersenyum
Saya hanya berdiam diri tak bersuara. Dari wajah yang bersahaja, saya mula mengukit senyuman. Di dalam hati saya waktu tu bersyukur sangat-sangat dapat hadiah komik dari cikgu. Saya dah lama nak komik tu, tapi tak ada duit nak beli.

Peristiwa saya dirotan di sekolah masih saya kenang sehingga sekarang. Bila saya kenang kembali kenapa saya boleh menangis begitu lama, padahal  waktu tu saya cuma kena  rotan sekali sahaja, berbanding dengan kawan saya yang lain kena rotan berkali-kali dan mereka boleh buat tak tahu sahaja. Siap boleh sengeh lagi kat cikgu.

Saya menangis sebab cikgu yang merotan saya adalah cikgu yang sangat saya sayang dan saya hormat semasa sekolah dulu. Saya menangis sebab cikgu yang rotan saya adalah cikgu yang paling baik dengan saya masa sekolah dulu. Saya menangis sebab cikgu yang merotan saya adalah sentiasa memberikan kata-kata semangat kepada saya untuk terus belajar sehingga saya jadi pandai. Bila terkenang waktu itu, saya rasa seronok  sangat. Saya cuba untuk mencari cikgu kesayangan saya, tapi tak dapat.

Cikgu, walaupun di mana cikgu berada, Setiap kali lepas solat, saya sentiasa mendoakan kejayaan dan kebahagiaan kepada cikgu dunia dan akhirat. Semoga cikgu sentiasa berada di dalam rahmat dan kasih sayang Allah. Insya Allah Amin.

Indahkan menjadi seorang guru yang disayangi oleh pelajar-pelajarnya. Indahkan menjadi  seorang guru yang dihargai oleh pelajar-pelajarnya. Bertambah indah menjadi guru yang sentiasa didoakan oleh para pelajar-pelajarnya. Berapa ramaikah anak didik kita, dan berapa ramai yang sudah berjaya, dan berapa ramai anak didik yang mendoakan kebahagian dan kejayaan untuk guru-gurunya. Kepada golongan pendidik. Kalau kita dah bertugas selama 10 tahun contohnya, dan kita dah mengajar lebih dari 1000 orang pelajar, katakanlah 500 orang pelajar yang kita ajar sentiasa mendoakan kebahagian dan kejayaan kita di dunia dan akhirat setiap hari selepas waktu solat. Dan ada di antara pelajar-pelajar kita yang doanya sentiasa dimakbulkan oleh Allah. Insya Allah sebagai pendidik, itulah hadiah yang tak ternilai. Tanpa kita sedar dari doa anak-anak didik, kita akan merasa tenang dan bahagia.  Tak  rugi hidup dengan memberi kasih sayang, tak rugi hidup dengan memberi perhatian, tak rugi hidup dengan melakukan tugas sebagai pendidik dengan keikhlasan. Setiap kali lepas solat saya sentiasa berdoa:

Ya Allah Ya Tuhanku!!
Kau ampunilah dosa-dosa semua guru-guruku, daripada sekolah rendah hinggalah ke peringkat universiti. Permudahkanlah urusan mereka. Berikan kebahagiaan dan kejayaan kepada mereka dunia dan akhirat dan rahmatilah kehidupan mereka. Amin.

Kenangan bersama akan dikenang hingga ke akhir hayat.







Sunday, 27 October 2013

Himpunan kata-kata hikmah.

Mintalah rezeki hanya pada Allah SWT, kerana dia Maha Pemberi Rezeki dan kongsilah rezeki yang ada sesama manusia kerana dengannya, rezeki akan diberkati.

Kalau nak orang senyum kat kita, kita kena senyum kat orang dulu. Kalau nak orang berlembut dengan kita kita kena berlembut dengan orang dulu. Kalau nak orang sayang kita, kita kena sayang kat orang dulu. Kalau nak orang menghargai kita, kita kena menghargai orang dulu.. Walau dalam apa jua keadaan percayalah memberi lebih indah dari menerima. Memberi senyuman, berlemah lembuh, kasih sayang dan juga penghargaan juga merupakan sedekah dan sedekah yang ikhlas ada ganjarannya.

Kita akan merasa cukup bukan kerana kita memiliki apa yang kita mahu, tapi kita mensyukuri apa yang kita ada.

Saya sering mendengar orang di sekeliling saya berkata saya tidak mampu, Awak bolehlah.  Hakikatnya bukan kurang kemampuan yang melemahkan hidup dan semangat seseorang, tetapi tidak cukup kesungguhan untuk menggunakan kemampuan yang dia ada, yang akan melemahkan semangat seseorang untuk terus melangkah ke hadapan. 

Saya sayang diri saya

Tika saya marah, saya mampu padamkan kemarahan itu
Tika saya terluka, saya mampu mengubat kelukaan itu
Tika saya kecewa, saya mampu sembuhkan kekecewaan itu
Tika saya gembira, saya mampu mensyukuri nikmat itu

Saya sayang diri saya,
Saat teman saya menghabiskan masa sia-sia
Saya habiskan waktu untuk perkara yang berguna
Saat teman saya sibukkan diri dengan cinta manusia
Saya habiskan masa mencari cinta Allah dan RasulNya

Saya sayang diri saya
Tika mendengar kutukan dan kejian
Saya balas dengan pujukan dan kasih sayang
Ketika diuji dengan persahabatan
Saya tetap  berdiri sebagai teman

Saya sayang diri saya
Setiap hari melindungi  aurat diri
Setiap saat menjaga maruah diri
Setiap detik melebar senyuman
Hidup penuh semangat dan keyakinan

Saya sayang diri saya.
Berdiam diri bukanya tak berkata
Berbicara ketika diperlukan sahaja
Menundukkan pandangan  sentiasa
Menjaga adab dan susila
Takut kepada fitnah dunia

Saya sayang diri saya
Di saat teman sibuk bersms ria
Bercanda dan bercinta
Saya tidak pedulikannya
Kerana saya percaya
Jodoh itu di tanganNya
Sampai masa dan ketika
Ia pasti akan tiba

Saya sayang diri saya
Kerana Dia Maha Pencipta
Saya sentiasa mentaatiNya
Melakukan yang disuruh
Meninggalkan yang dilarang
Saya yakin cinta Allah
Cinta hakiki..
Allah pasti menyayangi
Kerana saya menyayangi diri saya
Dan menyerahkan jiwa dan raga
Hanya kepada Dia yang Maha Esa.

Nukilan rasa:
Yazilmiwati Mama MAC
Sajak untuk
program Saya Sayang Diri Saya
Sekolah Menengah Gombak Setia
27 October 2013


Thursday, 24 October 2013

Terlupa shopping sorang-sorang

Balik dari kerja, saya terus menyinggah  di Mydn Subang Jaya. Banyak barang rumah dah habis. Sabun basuh kain, sabun cuci pinggan,  beras, gula, kicap, susu , lauk, sayur, pendek kata banyak yang habislah. Sambil bawa kereta kepala tengah berpusing ligat, mengingatkan apa barang rumah yang  dah habis. Daripada barang dapur hinggalah ke dalam bilik mandi kepala otak tengah berpusing ligat untuk mengingati senarai barang.  Sampai sahaja di tempat parking Mydn. Saya mengeluarkan kertas dan menulis senarai barang dapur yang hendak dibeli. Kira-kira ada kat 30 senarai list barang nak kena beli. Banyaknya. Larat ke aku nak shopping sorang-sorang ni. Bisik hati kecil sendiri. Hari ni  badan terasa letih sangat-sangat. Apa tidaknya selepas solat subuh terus datang ke ofic untuk menyiapkan kerja. Saya pula jenis tak suka bertangguh kerja. Kerja hari ni kena siapkan hari ni. Takpalah tak dapat rehatpun, janji kerja siap.
Bila tengok list barang yang telah disenaraikan di tangan, hati mula bercakap sendiri. Kalau hari ni tak beli, bila lagi aku nak beli barang. Barang nak masak semuanya dah habis.  Kejap lagi suami minta buatkan air, susu dan nescafee dah habis, anak minta roti, rotinya habis. Nak masak nasi beras habis, nak basuh kain, sabun tak ada, nak berus gigi ubat gigi tak ada.  Ishk tak boleh jadi ni. Baik beli barang-barang ni sekarang. Lagipun saya dah sampai kat sini dah pun, tak kanlah nak patah balikkan.

Jam menunjukkan pukul 4.40 petang, tak pa kejap je ni. Saya pujuk hati sendiri sambil kaki melangkah lemah memasuki Mydn. Sampai sahaja di tingkat atas, saya menolak troli dengan berbekalkan kertas yang ada di tangan. Saya memulakan operasi  mencari barang yang telah disenaraikan satu persatu.  Saya dah boleh agak dah kat mana letaknya barang yang saya nak beli, bukan baru first time datang sini.  Saya memandang sekeliling, mmm ramai juga wanita macam saya tengah shopping. Terhendap-hendap mencari barang. Tetiba saya tersenyum sendiri.. kesian betulah jadi perempuan ni kan, kat ofispun dan kena kerja, balik rumahpun nak kena kerja.  Nasiblah labu.. hehehe.

Selepas melihat barang dalam troli, saya terus ke kaunter dan membuat bayaran. Total beli barang RM357.35. Mak ai, banyaknya aku shopping, apa yang aku beli ni. Berapa tahun aku tak beli barang ni. Bisik hati kecil sendiri sambil memerhatikan resit pembelian barang ditangan. Mata saya mula melilau mencari sesuatu, sambil tangan menolak troli menuju ke kereta. Selepas selesai memasukkan barang ke dalam kereta. Saya menghidupkan enjin kereta dan duduk berehat sebentar di sebelah penumpang. Jam dalam kerta menunjukkan pukul 6.45 petang. Ishk nak magrib ni. Saya mengambil telefon dan menelefon suami.

“Hello, assalamualaikum, abang kat mana ni? Cepatlah sikit, dah nak magrib ni” Saya mula merengek.
“Waalaikumsalam, Zie kat mana ni?” Suami saya bertanya
“Kat dalam keretalah.” Saya menjawab geram. Boleh pula dia tanya saya kat mana.
“Yalah kat mana” Suami saya mengulangi  lagi,tak puas hati dengan jawapan saya.
“Ler abang ni, zie kat parking keretalah, abang kat mana ni, penat tau angkat barang sorang-sorang. Boleh abang biarkan zie angkat barang sorang-sorang” Saya dah mula merenget.
“Zie, abang kat rumah ni, Zie kat mana ni?” Suami saya bercakap lagi.
“Hah!  Apa Kat rumah. Astagfirullahal azim!!!” Alamak aku datang shopping sorang-sorang ke tadi. Tiba-tiba tersedar dari mengelamun.  Terus keluar pintu kereta dan masuk sebelah driver.
“Zie! Zie,” terdengar suara suami saya memanggil di telefon.
“Ok, abang kita jumpa jap lagi ya, zie dah nak balik ni.” Tanpa cakap banyak.  Saya mematikan telefon bimbit dan menghidupkan enjin kereta.  Kali ni saya tergelak sorang-sorang... Zie, zie.. Apalah zie ni, boleh terlupa shopping sorang-sorang. Bila badan letih barulah teringatkan suami. Habislah balik rumah nanti, kena perli.

Sampai di rumah:

“Assalamualaikum” Saya memberi salam seperti biasa.
“Waalaikumsalam, mmm dari mana,?
“Abang, abang tolong angkat barang dalam kereta tu, zie penat sangat ni,” sambil melabuhkan diri ke sofa di ruang tamu.  Saya tidak menjawab soalan, tapi terus meminta tolong.
“Abang, zie nak terlelap 10 minit ya, nanti kejut tau.” Sambil melabuhkan badan di sofa, memang dah tak sempat nak masuk bilik dah. Badan dah penat sangat-sangat.

“Perempuan! Perempuan! kalau dah shopping memang tak ingat dunia, bila dah penat baru teringat ada suami rupanya aku ni.” Suami saya membebel sambil  mengangkat barang keluar dari kereta.  Disebabkan kepenatan yang teramat sangat, saya tak sempat membalas,yang pasti saya terlelap dalam senyuman.

Wednesday, 23 October 2013

Resepi Kejayaan Jutawan Media: Datuk Husamudin Haji Yaacob.

Datuk Husamudin Haji Yaacob merupakan pemilik syarikat karangkraf yang telah menerbitkan lebih daripada 30 majalah setahun. Di antara majalah dan akhbar yang terkenal ialah majalah mingguan wanita, hijabista, akhbar sinar harian dan pelbagai lagi. Syarikat karangkraf juga telah menerbitkan buku dan majalah yang bernilai RM400 juta  setahun. Selain itu beliau juga mempunyai yayasan kebajikan sendiri yang dikenali sebagai Yayasan Nur Karangkraf  dan menawarkan biasiswa kepada para pelajar yang layak.

Alhamdulillah saya telah berkesempatan menemuduga  beliau pada 25 hb Mei 2012 jam 9.00 pagi di Pejabat beliau iaitu si Syarikat Karangkraf yang terletak di Shah Alam Selangor. Tujuan temubual ini dijalankan adalah untuk mengetahui tentang latar belakang usahawan berjaya, pencapaian beliau dan juga faktor-faktor kejayaan dari perspektif Islam.

Datuk Husammudin Haji Yaacob berusia 59 tahun dan berasal dari Kota Bharu Kelantan, memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia UKM pada tahun1978. Pengalaman berniaga beliau bermula dari kecil lagi, iaitu membantu ayah menjual surat khabar dan buku. Sambil menunggu pelanggan sambil beliau membaca, oleh sebab itu,  minat membaca bermula semenjak dari kecil lagi. Minat dalam penulisan diteruskan ketika berada di tahun ketiga universiti. Di antara  sebab menceburkan diri dalam bidang perniagaan adalah kerana faktor kemiskinan dan juga minat di dalam bidang penulisan. Di antara nasihat yang dikongsi dengan saya ialah:

“Kita tengok hari ini mengapa kebanyakkan  keluarga Islam gagal dalam mendidik anak? Keraktor seseorang individu sebenarnya haruslah dibina semenjak dari kecil lagi.  Keluarga Islam  sekarang gagal, kerana ibubapa tak pandai nak ajar anak-anak mereka. Kalau zaman dulu bapa kita adalah sumber inspirasi kita, bapak dulu ada authority, sekali bapak jerit hoi, anak dah takut.  Tetapi cuba tengok bapa sekarang. apa dah jadi? Bapak sekarang sibuk main golf, bapa sibuk dengan business, sibuk dok buat benda-benda lain kat luar. Bila dia balik rumah dia jadi playsafe, bawa anak pergi makan, belanja anak-anak dengan kemewahan. Kononnya nak cover line dengan anak sebab tak sempat nak habiskan masa dengan anak. Cara macam ini sebenarnya tak betul. Anak-anak akan rosak nanti.

Satu lagi perasan tak kenapa lelaki sekarang lembut? Itupun masalah juga tu ..mak sekarang bekerja, bila mak bekerja,  mak jadi paranoid, mak sangat garang. Bila mak garang sangat,  anak-anak  jadi takut dan jinak.  Anak-anak akan merasakan wanita lebih berkuasa. Sebab satu ramai anak lelaki sekarang  nak jadi perempuan. Sebab perempuan ada power, ada kuasa.

Selain itu kalau kita perhatikan ibubapa sekarang sangat protective yang tak bertempat dalam mendidik anak. Sebagai contoh anak nak lintas jalan sendiri mak tak bagi, macam mana anak tu nak berani. Kalau dia lintas jalanpun tak berani, macam manalah anak tu nak ambil risiko berniaga.

Anak saya perempuan, saya suruh dia pergi camp, masuk hutang, biar dia rasa susah sikit. Kalau you ada anak lelaki suruh dia pergi  main bola .Ini tak, Suruh dia berkurung dalam  rumah.  Macam mana budak tu tak lembut. Mak saya dulu, saya nak tidur rumah kawan dia tak bagi, tapi kawan nak tidur rumah boleh. Sebab kalau kawan tidur rumah mak saya ada, mak saya boleh monitor. Mak saya dia kenal semua sapa kawan-kawan saya.
                                                                    
Selain itu ibubapa sekarang sangat manjakan anak. Ibubapa  tak tegas dalam mendidik, tiap-tiap hujung minggu  bawa anak pergi shopping complex, belanja anak-anak makan itu ini. sepatutnya hari minggu bawa anak masuk hutan, atau ajar anak-anak perempuan masak kat dapur. Suruh dia pergi pasar sendiri lepas tu masak sendiri. Biar dia tahu tugas sebagai anak perempuan. Jangan anak perempuan dan anak lelaki dah jadi sama status dah sekarang. Tidak ada beza. Bila dah kahwin esok-esok tak sampai tiga bulan dan bercerai. Macam mana tak bercerai, adap sopan tak dijaga. Sepatutnya ajar anak-anak  untuk dia survive. Biar dia rasa hidup tu bukan mudah, hidup tu susah dan perlu bekerja untuk dapatkan duit. Kalau kita sebagai ibubapa ajar anak kita hidup susah, Insya Allah bila dia dewasa esok-esok dia akan pandai berdikari."

 
Datuk Husamudin Yaacob, ketika ditemui di Pejabat Karangkraf.


Nantikan buku bertajuk: Resepi Kejayaan 20 Usahawan Muslim Di Malaysia yang bakal muncul di pasaran tidak lama lagi, Buku ini akan menceritakan temubual saya bersama 20 Jutawan Melayu di Malaysia yang akan berkongsi kejayaan mereka di dalam bidang perniagaan yang diceburi