Friday, 11 October 2013

Diari 1 : Perjalanan ke Istanbul Turki. Bila impian menjadi realiti

27hb Mei 2013- 2 June 2013

Sudah lama saya berimpian  untuk menjejaki kota Istanbul, Turki. Bila menulusuri sejarah kegemilangan Tamadun Uthmaniah dan kisah kehebatan anak muda Sultan Muhammad Al-Fateh, hati sentiasa meronta-ronta untuk ke sana. Saya sentiasa berharap dan berdoa semoga suatu hari saya akan sampai ke juga ke sana. Alhamdulillah Allah tidak memandang doa saya sia-sia.  Akhirnya pada tarikh dan masa yang dirancang, saya bersama-sama dengan suami sampai ke negara Impian saya selepas Mekah dan Madinah. Walaupun saya pergi  atas urusan pembentangan kertas kerja saya di 4th Global Islamic Markerting conference  yang telah diadakan di The Best West Plus Presiden Hotel. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengenali Kota bersejarah ini. Kota di mana runtuhnya sistem kekhalifahan terakhir di dalam sejarah Tamadun Islam.

Hotel yang saya tinggal adalah Hotel Nanda, yang terletak kira-kira 3 KM dari  Istanbul Universiti,  dekat dengan station Tram (kalau Malaysia LRT) perhentian Leili Universiti. Kalau nak ke Grand Baazar cuma mengambil masa lebih kurang 10 minit jalan kaki. Grand Bazar adalah Pasar terbesar di dunia yang telah dibina pada masa pemerintahan Sultan Muhammad Al-Fateh. Hotel ini tak adalah bertaraf lima bintang atau empat bintang. Sewa hotelnya pun bolehlah RM1800 untuk 6 malam. Pada saya bila bercuti luar negara ni terutamanya di sebelah-sebelah Eropah, biarlah ambil hotel biasa-biasa sahaja, sebab banyak lagi duit boleh guna untuk buat benda lain di sana. Lainlahkan kalau dah kaya sangat-sangat. Bolehlah nak tidur kat hotel bertaraf lima bintang  Lagipun fungsi hotel di sini betul-betul digunakan untuk tempat saling baju dan tempat tidur sahaja. Dalam bab ini saya kagum dengan sepasang suami isteri dari Indonesia, yang merupakan peserta conference. Kedua-duanya masing-masing menyambung pengajian di peringkat PhD. Mereka menyewa services apartment di sini, siap bawa beras dan macam-macam makanan . Katanya mereka tak lalu hari-hari nak mengadap makanan orang Eropah ni. Dalam hati saya “Betul juga cakap dia ni, saya dah kali kedua datang ke Bumi Eropah masih tak belajar dari kesilapan, Please take note wahai diri.. Next time kalau pergi tempat yang kita tak biasa dengan budaya makanan di orang, sewalah service apartment. Kalau tak lalu makan luar, boleh masak. At least masak nasi dan goreng telurpun dah cukup.”

Kami sampai di Antartuk Airport jam 5.30 pagi. Dah habis waktu subuh di sini. Matahari naik jam 5.15 pagi. Oleh kerana badan terlampau penat,  kami memilih untuk menaiki teksi ke hotel. Teksi tu kami cari di luar airport. Jarak dari airport ke hotel kami lebih kurang 15KM. Tambang teksi  35 Lira. 


Sampai sahaja di hotel, kami tak boleh nak check in  lagi sebab waktu check in adalah pukul 12. Pihak hotel yang baik hati dan memberi kami breakfast free pada hari itu. Alhamdulillah.  Kami turun ke restoran untuk makan pagi. seperti biasalah di negara sebelah-sebelah Eropah ni. Pelbagai bijirin, juice, roti  dan juga salad di kaunter hidangan. Sayapun tak pandai nak makan makanan kat sini sebenarnya. Saya hanya mengambil bijirin dan nasib baik saya ada bawa bekal kopi Guara.


Selepas bersarapan pagi itu saya meminta kepada pihak hotel untuk menumpangkan beg pakaian saya di kaunter. Kami mengambil kesempatan berjalan-jalan di sekitar kawasan hotel. Suasana sunyi sekali. Kedai-kedai di sini dibuka pada jam 9.00 pagi. Satu lagi keadaan yang melemahkan saya di sini adalah jalannnya berbukit, bangunan hotel dan rumah kedai di buat di lereng-lereng bukit yang tidak ditarah. Penatnya mendaki hanya Allah sahaja yang tahu. Pesanan saya pada siapa yang nak datang ke sini, jangan pakai kasut tumit tinggi, kalau pakai kasut sukan lagi bagus.

Selepas bersiar-siar di kawasan sekitar hotel, saya balik semula ke Hotel dan check in.  Kami melelapkan badan seketika untuk menghilangkan penat dalam perjalanan. Bila tiba waktu petang, saya mengajak suami saya  tunjukkan tempat saya conference esok, berbekalkan peta yang ada di tangan, akhirnya saya sampai juga ke The Best West Plus, Presiden Hotel. Alhamdulillah jaraknya taklah  jauh dari  tempat saya tinggal. Tapi memandangkan bangunan di sini hampir  sama, dan di celah-celah bangunan pula jalan orang lalu lalang, Saya tak yakin kalau saya balik seorang-seorang  kat Hotel daripada tempat conferece boleh lepas ke tidak. Oleh sebab itu, tugas utama suami saya di sini adalah menghantar dan mengambil saya balik dari conference. Mmmm time-time macamnilah nak mengada-ngada lebihkan.

Masa saya pergi ke Istanbul,  cuaca di sini tersangat baik, tak terlampau panas dan juga tak terlampau sejuk. Suhu dalam 16 darjah Celsius. Baru nak berubah musim dari musim sejuk ke musim panas. Balik dari tempat conference kami berjalan –jalan di sekitar hotel, tanpa kami sedar kami dah sampai ke Grand Bazaar. Pasarnya dari luar nampak macam dah tua sangat-sangat. Tapi bila masuk ke dalam boleh sesat. Sebab pasar ni sangat besar  terdapat lebih daripada 4,000 buah kedai. Macam-macam ada.


Pemandangan dari luar  Grand Bazar
Pemandangan dari dalam Grand Bazar





Kami berjalan beberapa seketika sambil mencari-cari apakah yang sesuai untuk dijadikan makan malam. Akhirnya kami memilih roti keju. Roti ni macam roti canai tapi dalamnya letak keju dan juga daun saderi. Sedaplah juga makan, tapi kat sini tak ada kuah  kari  atau dal, so saya makan dengan sambal bilis tin yang saya bawa. Mmmm cukuplah untuk alas perut saya dan suami.
Dalam roti ni  ada keju, daun sup dan daun bawang
Roti yang  ala-ala roti canai kat Malaysia

Balik di hotel saya fokus kepada research saya, sebab esok adalah giliran saya kena present paper. Macam biasa bertungkus lumus dan bersengkang mata study, itulah namanya belajar. Kalau tak sanggup nak buat kerja ni awal-awal lagi cakap jangan belajar.  Sambil bertungkus lumus belajar, sesekali mata saya menjeling ke arah suami  yang tengah syok melayan cerita-cerita Turki di kaca TV.  Terdetik di  hati saya. “Faham ke dia ni tengok cerita Turki ni, dahlah semua bahasa Turki, tak ada translation plak tu.” Saya tergelak sendiri. Nak buat apa lagikan, nak keluar isterinya tengah study, layan jelah TV tu” Detik hati saya sendiri. Bila dia tengok saya tergelak sorang-sorang. Matanya terus menoleh ke arah saya dengan berkerut di dahi. Alamak dia perasanlah..seperti biasa cara untuk control line, Saya buat-buat tak tahu dan macam tak ada apa-apa yang berlaku. Tiba-tiba terus fokus pada kertas kerja yang ada di tangan saya. Study punya study entah pukul berapa saya terlelap saya sendiri tidak pasti.

Hari Kedua (29 Mei 2013)

Saya tersedar, bila jam menunjukkan pukul 4.00 pagi. Kalau kat Malaysia dah pukul 8.00 pagi. Terus bangkit dan  bersiap  untuk bertahajud,  Selepas bertahajud saya mengangkat tangan berdoa:

Ya Allah  Ya Tuhanku,
Kau ampunilah dosa-dosaku,
Dosa kedua ibubapaku yang amat  aku kasihi,
Dosa ibu dan ayah mertuaku,
Dosa suamiku,
Dosa anak-anakku,
Dosa ahli keluargaku
Dosa guru-guruku yang telah mendidikku dari kecil hinggalah dewasa.
Dosa anak didiku
Dosa sahabat-sahabat yang kukasihi
Dan dosa untuk saudaraku muslimin dan Muslimat sekalian

Ya Allah Ya Tuhanku
Aku sangat-sangat merasa bersyukur
Kerana kesempatan yang Engkau berikan
Untuk aku sampai ke sini
Untuk aku mengenali bumi ciptaanMu
Untuk aku terus mensyukuri segala Nikmat dan PemberianMU.
Terima Kasih Ya Allah, atas nikmatMu

Ya Allah Ya Tuhanku
Peliharalah anak-anakku,
jauhilah mereka dari segala mara bahaya
Ubati kesedihan mereka
Kerana ditinggalkan oleh kami seketika.
Pulangkan kami kepada mereka dengan selamat nanti,
Insya Allah dengan izinMU.

Ya Allah Ya Tuhanku
Kau kurniakanlah segala hajat fasi-fasi MAC
Yang telah mengirimkan doa kepdaku.
Kerana kami mengerti di antara orang-orang yang mustajab doanya.
Ialah doa orang yang bermusafir.
Permudahkanlah segala urusan mereka
Berikanlah kejayaan kepada mereka di dunia dan akhirat.

Ya Allah Ya Tuhanku
Permudahkanlah urusanku di sini
Jadikanlah musafir kami di sini
Musafir yang mendapat pahala ibadah dariMu
Musafir yang mendapat RahmatMu
Musafir yang mendapat  keberkatanMU.

Amin Ya Rabal Alamin.

Selepas selesai berselawat kepada junjungan besar Rasulullah  SAW.  Saya terus mengaminkan doa dengan linangan air mata yang jatuh di pipi. Terasa tenang dan damai sekali. Habis sahaja berdoa kedengaran azan subuh sambung menyambung. Saya difahamkan di Istanbul ini ada lebih dari 3000 buah masjid di sini dan jarak di antara satu masjid dengan satu masjid yang lain adalah dekat.


Selepas menunaikan solat subuh, perut saya terasa lapar. Kalau ikutkan waktu Malaysia dah pukul  10.00 pagi, Patutlah lapar. Apa lagi seperti biasa, Kalau bermusafir bekal yang saya tak pernah tinggal adalah Mee Maggi.  Pagi-pagi di sini mana ada kedai buka. Lagipun musim sekarang waktu siang lagi panjang dari waktu malam.  So tak ada pilihan melainkan paksa diri untuk makan Mee Maggi, sementara menunggu waktu breakfast hotel pukul 7.00 pagi.

Tuesday, 8 October 2013

Mujahadah Agro Camp… Mencari Cinta Hakiki


Mujahadah Agro Camp
Berdirinya  aku di sini,
Melewati perjalanan waktu
Melalui liku yang penuh perit
Seolah memijak duri  sembilu
Keringat demi keringat menitis,
Segalanya dikorbankan
Membina pondok-pondok kecil
Membina wakaf untuk bersujud
Pada Sang Pencipta..
Demi mencari cinta hakiki
Cinta  yang suci
Cinta yang satu.



Di sini..
Di Mujahdah Agro Camp ini,
Ukuhwahfillah  tercipta
Pada setiap sore yang dilewati
Pada setiap jiwa yang hadir di sini

Disini..
Di Mujahadah Agro Camp ini
Manusia datang silih berganti
Meninggalkan segala kemewahan dunia
Merasai hidup yang serba kekurangan
Dari setiap sudut ruang kehidupan




Namun di sini..
Adanya cinta dan kasih sayang
Adanya harapan,
Adanya cabaran
Di sini  juga
adanya jalan menuju Tuhan

Di sini.. Di Mujahadah Agro Camp ini
Tak kala semangatku rapuh
Diselimuti kisah-kisah duka
Dibelenggu resah dan air mata
Dihumban cerita derita yang tak bertepi.
Namun tak kala itu juga kubina segala kekuatan diri yang masih berbaki
Memohon doa dan restu dari yang Maha Mengetahui
Moga siang yang kulalui
Malam yang kulewati di sini
Mendapat restu dan rahmatNya
Menjadi bekalan untukku
Takkala diri dijemput pulang
Kepangkuan Ilahi

Di sini.. Di lembah Mujahadah ini,
Tak kala suara-suara alam menemani
Di sunyi hening dinihari
Sejuk air bukit menyirami
Membasahi tubuh lemah dan letih
Kubangkit dengan pengharapan
Menadah tangan memohon pada yang Maha Memberi
Biar alam menjadi saksi
Moga Air mata yang jatuh ini
Air mata yang menitis keranaNya
Moga Dia Yang Maha Pengasih
Tidak akan memandangnya sia-sia

Ya Rabbul Izati
Moga Mujahadah ini  
Mendapat keberkatan dariMu Ya Rabbi
Mendapat kekuatan dari sifatMu yang Maha Berkuasa
Mendapat rahmat dari  sifatMu yang Maha Penyayang.
Mujahadah ini adalah niat dan cita-citaku untuk menuju JalanMu Ya Rabbi
Restuilah perjuanganku, redhakanlah segala usahaku
Demi cintaku pada agamaku
Demi sayangku pada bangsaku.

Ya Allah Yang Maha Penyayang
Kuatkatkanlah semangat juangku.
Dan semangat juang insan-insan yang sentiasa bersamaku.
Berilah  segala bantuan kepadaku,
Untuk aku terus bermujahadah tanpa henti
Sesungguhnya semangat  dan jiwa ini tak akan kuat
Tanpa RestuMu,
Tanpa kasih sayangMu
Tanpa Redha dan Rahmatmu..

Akhirnya..
Terima kasih dan syukur padaMu Ya Allah
Di atas anugerah Mujahadah Agro Camp yang diberi
Sebagai hadiah yang tidak ternilai
Untukku
jua untuk insan-insan yang mengerti
erti sebuah cinta yang hakiki,
jua erti sebuah cinta insani

Amin Ya Rabal Alamin.

Titipan Rasa:
Yazilmiwati Mama MAC
12.45 am

7 Oct 2013

Wednesday, 2 October 2013

5 tips berdepan dengan ego suami

Lelaki dan perempuan adalah dua makhluk ciptaan Allah yang sangat istimewa dengan mempunyai  identiti, sikap dan juga perangai yang jauh berbeza.  Sikap lelaki terkenal dengan ego, panas baran, dan tidak mudah mengalah,  lebih-lebih lagi pada isteri yang disayangi. Manakala sikap perempuan pula adalah ingin dimanja dan disayangi, mudah merajuk, mudah tersentap dan menangis terutamanya pada suami yang dikasihi. Perbezaan dua  karakter ini sangat penting diketahui oleh si isteri dan juga suami sebagai panduan ketika berlaku ketegangan di dalam rumah tangga. Berdasarkan daripada pengalaman dan juga penyelidikan, ingin saya kongsikan khususnya kepada golongan isteri, tips yang boleh dipakai bila berhadapan dengan ego suami.

1. Senyap dan berdiam diri

Ketika berselisih pandangan dengan suami, tidak guna untuk berperang mulut dengannya kerana lelaki selalu merasakan dia sentiasa betul. Tak ramai suami yang diberi kekuatan untuk mengaku kesilapan diri lagi-lagi kepada isterinya. Sebagai seorang isteri, ketika berlaku perselisihan dengan suami, langkah yang paling wajar diambil ialah diam. Kalau masalah itu besar, berikan dia masa untuk berfikir selama beberapa hari. Kalau suami rasa apa yang dikatakan isteri itu betul, maka dia akan dengar  dan akan mengikut apa yang disuarakan oleh sang isteri.  Elakkan dari bertengkar dan berperang mulut dengan suami kerana dibimbangi tindakan tersebut akan menderhakai suami. Dalam waktu berdiam diri, layan kehendak suami seperti biasa dengan ikhlas, cuma kurangkan bercakap dan banyakkan berdiam diri. Mudah-mudahan dengan mengambil tindakan berdiam diri, suami akan lebih memahami apa yang kita rasa.

2. Mulakan dengan meminta maaf.

Sebelum mengambil langkah untuk berdiam diri, minta maaf terlebih dahulu dan katakan dalam hal ini kita yang silap. Ini dinamakan teknik reverse psychology. Dalam hal ini tunjukkan kematangan kita dengan meminta maaf. Pernah dengar  ayat “mengalah bukan bererti kalah”.  Jangan mudah merajuk dan menangis di hadapannya. Perbuatan menangis dan merajuk sesuai bagi pasangan yang baru berkahwin tetapi tidak pada pasangan yang lebih lima tahun berkahwin. Suami akan cepat merasa rimas dan bosan. Dengan meminta maaf juga menunjukkan sifat seorang isteri yang bertakwa. Sebagaimana Allah Berfirman yang bermaksud:
Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, yaitu orang-orang yang menafkahkan, baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.(QS. Ali Imran: 133-134).

3. Menangkan suami

Sebenarnya tujuan isteri bercerita pada suami, bukan sebab nak cari gaduh atau nak menang dalam pergaduhan, tetapi tujuannya adalah untuk suami faham dan tahu apa yang isteri rasa. Betul tak?  Terkadang tu cara isteri bercerita membuatkan dia melenting tak pasal-pasal. Lagi-lagi kalau apa yang diceritakan isteri itu betul dan terkena batang hidung lagilah dia melenting. Bila si isteri rasa suhu suami sudah meningkat cuba redakan dengan meminta maaf dan mengalah. Jangan sekali-kali menambah kata-kata yang boleh melukai hatinya.

4. Bersabar dan Redha

Banyakkan bersabar dan redha dengan suami. Kemarahan itu bukan milik kita tetapi haknya. Jika kita tentang kemarahannya, ia akan lebih cepat terbakar atau merebak. Lagipun api bukan lawannya api sebaliknya hendaklah disimbah dengan air supaya padam. "Untuk meredakan, amalkan surah Toha ayat satu hingga enam dan baca sebanyak 1,000 kali. Tiup kepada wajahnya ketika dia tidur atau pada makanan atau minumannya. Insya-Allah akan lembut hatinya. Allah berfirman dalam surah Thoha yang bermaksud:
"Tha, Ha, (Hai manusia), tiada Kami turunkan al-Quran ini supaya engkau mendapat celaka. Melainkan peringatan bagi orang yang takut (kepada Tuhan). Wahyu yang diturunkan dari Tuhan yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. Tuhan yang Pemurah berkuasa di atas singgahsana. Kepunyaan-Nya apa yang ada dilangit, apa yang ada di bumi, apa yang ada di antara kedua-duanya dan apa yang ada di bawah tanah."
.(QS. At-Thoha: 1-6). 

5. Perbanyakkan berselawat kepada Nabi Muhammad SAW.

Takkala pergaduhan itu membuatkan sehingga isteri menitiskan air mata, maka perbanyakkanlah berselawat kepada junjungan besar nabi Muhammad SAW sebanyak 1000 kali. Selepas itu bermohon kepada Allah SWT supaya Allah membuka hati suami supaya menjadi insan yang lembut hatinya, sejuk jiwanya, tenang fikirannya untuk menerima nasihat sebagaimana sifat Rasulullah SAW takkala melayan isteri Baginda dan semoga Allah memberikan ketenangan untuk isteri untuk merawat lukanya sendiri dan menerima kelemahan dan kekuatan suami seadanya. Insya Allah bila Allah redha maka kehidupan kita akan menjadi mudah. Peringatan penting untuk si isteri adalah kuat dan hebat macam manapun isteri, syurganya di bawah tapak kaki suami. Mencari jalan damai adalah lebih baik daripada bertikam lidah dengan insan yang bergelar suami.

Jadilah isteri yang mempunyai sifat seperti air, yang boleh memadamkan api yang sedang marak menyala. 



7 Tips untuk buat anak-anak dekat dengan kita

1. Jangan marah anak kalau dia buat silap.

Kadang-kadang kita sebagai ibu bapa kita menganggap diri kita mempunyai kuasa veto pada anak-anak. Pantang dia buat silap, kita akan sergah dan marah dia. Anak-anak yang sentiasa dimarah dan disergah  akan menjadi  seorang anak yang pasif, tidak mempunyai keyakinan diri dan paling teruk dia akan sentiasa memberontak  semata-mata untuk mendapat perhatian daripada kita. Kalau dia buat silap.. peluk dia, dan usap kepala dengan ikhlas. Cakap kat dia..” Mama tahu along dah buat silap.. tak pa mama doakan lain kali along tak akan buat silap lagi”. Kalau malas nak cakap diam sahaja, tapi dengan syarat jangan tunjuk muka masam. Sebab anak-anak sebenarnya dia tahu dia buat silap dan dia sendiripun rasa bersalah dengan kesilapan yang dilakukan. Kalau kita marah di saat dia membuat kesilapan akan membuatkan dia menjadi semakin bersalah  dan tertekan.

2. Banyak sentuh dan usap dia.

Setiap kali dia nak keluar dari rumah ataupun kita nak tinggalkan dia di rumah, kita peluk dan usap dia. Begitu juga tiap kali kita balik dari kerja dan dia balik dari sekolah. Kita panggil dia dengan panggilan manja dan peluk dia selama 5- 10 saat, tak perlu nak cakap apa-apapun. Insya Allah dia akan berubah menjadi seorang yang tenang dan mendengar kata. Kerana pelukkan dari ibu dan ayah akan membuatkan diri mereka sentiasa merasa dilindungi. Hasilnya walaupun mereka berada jauh dari kita, kita akan sentiasa dekat dihati mereka.

3. Makan malam bersama-sama

Sebagai ibubapa kadang-kadang kita sentiasa lupa untuk bertanya khabar aktiviti harian mereka. Kalau tak boleh setiap hari, Sekurang-kurangnya dalam seminggu kena ada 3 kali kita makan bersama-sama dengan anak-anak dan juga keluarga. Terutamanya ketika makan malam. Lupakan sekejap bebanan kerja yang kita ada untuk melayan mereka. Biarkan mereka berbual dan bercerita tentang apa sahaja, dan kita bagi respon sebaik yang mungkin apa yang mereka beritahu pada kita Elakkan dari mengeluarkan pandangan negatif  seperti mengutuk, menghina dan mencaci diri mereka ataupun apa sahaja cerita yang mereka beritahu pada kita. Elakkan mengeluarkan idea-idea yang mempunyai unsur-unsur  hasutan, provokasi kepada mereka.Elakkan dari berleter,  Berikan mereka idea, cadangan dan nasihat yang baik. Insya Allah mereka akan selesa bercerita apa sahaja pada kita.

4. Ajak anak teman kita shopping atau beli barang.

Sewaktu beli barang dengan mereka di Supermarket ataupun di pasar. Ajar mereka barang-barang keperluan yang perlu ada pada sesebuah rumah. Jangan sumbat semua maklumat dalam masa sehari. Ajar sikit-sikit. Contoh ajar macam mana cara nak pilih ikan segar. Walaupun benda tu simple tapi sangat berbaloi-baloi bila kita ajar sejak dari kecil lagi. Sebab nanti bila kita pergi supermarket kita akan nampak dia suka memilih barang keperluan rumah sendiri.  Selain itu jangan lupa minta pandangan mereka untuk memilih sesuatu yang anda ingin beli. Kalau pandangan dia bagus, puji pandangannya dan ambil cadangannya. Ini akan membuatkan dia rasa dihargai.

5. Ajar sendiri anak baca al-Quran dan ajak mereka solat sekali dengan kita.

Ini sangat-sangat penting. Kadang kala kita lupa atau kita tak sempat nak ajar mereka mengaji al-Quran dan juga solat. Kita membiarkan anak-anak membesar tanpa ilmu agama. Kita pentingkan ilmu akademik, tetapi ilmu agama kita abaikan.  Keadaan ini sangat merbahaya kerana anak-anak yang tidak dididik dengan ajaran dan praktikal agama akan menyebabkan jiwa mereka kosong dan rohani mereka lapar. Bila jiwa mereka lapar, cubaan untuk mereka mencari benda-benda yang tidak baik dan tidak bermanfaat sangatlah tinggi.

6. Jadi role-model  kepada mereka.

Jangan kita sekadar bercakap, tetapi kita tidak buat. Sebagai contoh kita suruh anak kita pergi solat magrib dalam waktu yang sama kita syok melayan drama kat TV ataupun kita tunjuk contoh tak baik dengan membuang sampah merata-rata. Anak-anak  sentiasa memerhatikan telatah orang dewasa dan mereka akan ikut orang dewasa. Kalau kita buang sampah merata-rata depan mereka, nanti dia orangpun akan ikut. Kalau kita caci maki orang lain depan dia orang, diorang pun akan ikut. Jiwa-jiwa anak-anak terlalu suci. Jadilah role-model yang terbaik untuk mereka.

7. Sentiasa berdoa kepada Allah SWT.

Sentiasa berdoa dan meminta kepada Allah SWT supaya anak-anak kita menjadi anak2 yang soleh dan solehah. Doa ibu bapa adalah keramat untuk anak-anak. Sentiasalah berfikiran positif kepada anak-anak kita. Kerana apa yang kita fikir itulah yang akan terjadi. Fikir itu juga doa. Sebagaimana Firman Allah dalam hadis qudsi “Aku mengikut apa yang hambaku sangkakan”. Berfikirlah secara positif, Insya Allah anak kita akan membesar sebagai seorang yang positif.


Anak adalah amanah Allah yang perlu dijaga sebaik-baiknya. 

Tuesday, 1 October 2013

Minat yang baik bersertakan niat yang ikhlas pasti direstui olehNya

Bila bercerita tentang minat ataupun passion, saya tercari-cari apakah minat saya sebenarnya. Apakah yang saya lakukan yang membuatkan saya tak ingat dunia. Apakah yang saya lakukan saya tak sedar masa berlalu dan saya sentiasa merasa puas dengan aktiviti yang saya lakukan.

Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT, kerana saya menemui minat dan passion saya sendiri. Sebenarnya minat saya ni tidak sesuai  dilakukan oleh  wanita seperti saya. Biasanya wanita lebih berminat kepada aktiviti ke arah keperempuanan, tapi saya dah terbalik.  Saya sangat berminat  dengan program-program yang berbentuk pembangunan insan, motivasi dan juga program-program berbentuk kerohanian. Saya suka bila berada di dalam program-program motivasi tidak kiralah samada saya sendiri yang memberi motivasi ataupun  saya yang kena  dimotivasikan. Keluar dari program seperti ini saya jiwa saya tenang dan puas. 

Salah satu aktiviti program
Minat yang satu ini membuatkan saya sanggup mengadakan program motivasi dan kepimpinan kepada pelajar-pelajar saya sendiri di Sunway University. Bukan saya dapat apapun dengan mengadakan program-program seperti ini.  Saya buat aktiviti ini ikhlas kerana Allah SWT demi tanggungjawab dakwah  saya kepada masyarakat dan satu lagi saya buat sebab saya minat. Sepanjang saya di Sunway University saya telah mengadakan lebih daripada 40 aktiviti yang membabitkan pembangunan insan, motivasi, kepimpinan dan juga program berbentuk kerohanian. Setiap tahun saya akan mengadakan program seperti ini kepada pelajar-pelajar saya ataupun program bersama pelajar-pelajar sekolah, rumah anak-anak yatim dan juga rumah pemulihan akhlak. Walaupun saya satu-satunya Penasihat untuk program kepada pelajar-pelajar saya di Sunway University, saya tak kisah. Aktiviti yang saya buat melibatkan sehingga 80-100 orang pelajar dan pernah mencecah sehingga 150 -200 orang pelajar. Terkadang  tu hanya saya seorang sahaja yang akan menemani pelajar-pelajar saya  di hutan.





Kepenatan saya hilang, bila saya melihat pelajar-pelajar Melayu khususnya pelajar-pelajar Islam bersatu dan melakukan aktiviti ibadah dan pembangunan insan bersama-sama, antaranya mereka akan solat berjemaah lima waktu sehari semalam, solat sunat tahajud bersama-sama, membaca al-Quran dan juga mathurat bersama-sama dan banyak lagi aktiviti ibadah yang lain dilakukan bersama-sama. Selama saya bertugas di Sunway University lebih dari 11 tahun, sudah merata tempat saya bawa pelajar-pelajar saya untuk mengadakan aktiviti khemah ibadah antaranya di  Dusun Eco Resort, Nur Laman Bestari, Hutan Simpan FRIM, Gunung Nuang, Broga Hill, Sungai Congkak, Sungai Pisang Gombak, Janda Baik dan banyak lagi tempat-tempat lain. Saya tak kisah untuk bermalam di dalam khemah bersama-sama dengan pelajar saya, mendaki bukit dan gunung bersama-sama mereka, meredah hutan rimba di waktu malam dan siang bersama-sama, memasak makanan untuk pelajar-pelajar saya dan sebagainya. Walaupun penat namun saya rasa kepenatan saya berbaloi-baloi.  

Kenangan mendaki Gunung Nuang
Untuk membawa mereka ke hutan pelbagai dugaan dan halangan terpaksa dihadapi antaranya saya terpaksa bertungkus lumus mencari sumbangan, membuat persiapan lengkap sebelum berprogram, melayan karenah ibubapa dan juga menerima cemuhan dari pelajar-pelajar saya sendiri  serta cemuhan dari rakan-rakan sekerja sehingga kadang-kadang tu cemuhan mereka membuatkan air mata saya luruh. Namun saya kuatkan semangat untuk meneruskan aktiviti seperti ini kerana saya rasa bertanggungjawab untuk mengajar pelajar-pelajar saya  mendekatkan diri kepadaNya dan kalau saya tidak melakukannya saya rasa berdosa.  Jika niat itu betul-betul Ikhlas keranaNya, akan ada bantuan daripada Allah untuk mempermudahkan segala urusan saya. Alhamdulillah,  kepenatan saya hilang bila saya membaca laporan pelajar-pelajar saya mengenai program yang saya jalankan. Ada yang mengatakan sebelum ini mereka tidak pernah solat akhirnya mereka tidak tinggal solat. Ada yang sebelum ini tidak bertudung dan akhirnya bertudung, mereka semakin rapat dan mendekatkan diri kepada Allah. Malah lebih membuatkan saya rasa terharu, walaupun mereka telah pergi belajar hingga ke luar Negara, setiap kali mereka balik bercuti ataupun sudah habis belajar mereka masih lagi datang dan mencari saya.
 
Di atas Broga Hill bersama pelajar
Dalam Seminar  Intensif Jutawan Industri  (IJI), saya dan rakan-rakan peserta seminar diajar mengenali minat, dan saya rasa apa yang saya buat ini adalah minat saya.. Anda bagaimana? Sudah tahu apa minat anda..














Sunday, 29 September 2013

Tips untuk meningkatkan motivasi diri.

Alhamdulillah selama 3 hari dua malam, saya diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk menghadiri satu Seminar Jutawan Industri 2013 di Dewan Tun Razak PWTC anjuran Richworks Sdn Bhd, Di bawah Mentor Pemasaran No 1 Asia, Dr Azizan Osman. Semasa saya pergi ke sesi preview seminar di dewan MACC Shah Alam, saya sangat terkejut dengan kehadiran lebih dari 4,000 orang Muslim yang sedang berpusu-pusu untuk masuk ke dewan, sehigga saya sendiripun terpaksa bersesak-sesak masuk dan tertolak hingga ke dalam dewan. Uhhh!! Hampir tak bernafas saya dibuatnya. Sudah lama saya tidak menyusahkan diri saya buat kerja berebut-rebut macam ni. Seingat sayalah kali terakhir saya buat kerja berebut2 ni ketika saya nak mencium Hajarul Aswad sewaktu membuat ibadah umrah. Bertolak-tolak dan bersesak-sesak.   Di dalam hati kecil saya berkata “ Masya Allah..Hebatnya Dr Azizan ni, sampai macam ni sekali orang berebut untuk mendapatkan tempat duduk semata-mata untuk mendengar dia bercakap.” Bila masuk ke dalam dewan, saya melihat ada yang duduk di atas lantai, berdiri di tepi-tepi dinding kerana kerusi sudah penuh. Nasib baiklah saya bawa tiga orang team MAC yang masih muda dan masih kuat berlari untuk mendapatkan tempat duduk. Alhamdulillah bolehlah duduk.

Sebelum saya menghadiri seminar ini, saya berasa begitu lemah sangat dan hilang motivasi diri disebabkan tekanan dan bebanan kerja yang sangat berat yang terpaksa saya siapkan di ofice, dalam waktu yang sama saya terpaksa menyiapkan penulisan akhir tesis PhD saya, menyiapkan penulisan arikel di Journal,  saya terpaksa menyiapkan modul-modul baru di MAC Training and Consultancy, menerima undangan ceramah, melayan mesyuarat Jabatan, mesyuarat consultant dan juga persatuan, melayan pelajar-pelajar  yang datang kepada saya untuk interview kisah kejayaan, melayan pelajar-pelajar dan isteri-isteri yang bermasalah.. membuatkan saya merasa teramat-amat  penat dan lemas.  Sehinggalah suatu hari saya diajak oleh sahabat saya Nursalina Yin Abdullah untuk mendaftar di Preview Seminar Dr Azizan Osman, waktu itu saya tidak teragak-agak untuk mendaftar.

Selepas saya pergi ke preview seminar,  Saya seperti mendapat tenaga baru, dan saya tidak teragak-agak untuk mendaftar ke Seminar Intensif Jutawan Industri (IJI). Alhamdulillah syukur sangat-sangat saya seperti di charge dengan bateri baru. Banyak benda yang dikongsi oleh Dr Azizan sepanjang sesi seminar 3 hari 2 malam, membuatkan saya mengenali lebih tentang diri saya sendiri, membuatkan saya memahami mengapa Allah tentukan perjalanan hidup saya seperti ini.  Walaupun saya terpaksa bersesak-sesak di antara beribu-ribu orang yang hadir di dalam seminar berikut. Saya tidak kisah.Malah beribu-ribu orang yang hadir di IJI tersebut membawa harapan dan semangat masing-masing  untuk berjaya menjadi manusia yang sempurna sebagai khalifah di Muka Bumi Allah SWT. Mengapa saya berkata demikian? Sewaktu saya mengadakan sesi networking bersama perserta-peserta seminar, saya berjumpa ramai golongan professional antaranya doktor, lawyer, pensyarah, professor, guru,CEO syarikat, manager, ustaz,ustazah,  kakitangan kerajaan dan ramai lagilah. Kalau dalam bidang bisnes tu tak payahlah ceritalah.. macam-macam  bisnes ada, daripada sekecil-kecil bisnes hingga ke sebesar-besar bisnes.  Dan ramai juga saya jumpa pelajar-pelajar universiti yang tengah mencari-cari arah. Kalau mereka bahagia dan berjaya di dalam hidup mereka? Kenapa mereka datang ke sini? Ke seminar ini? Mesti ada sesuatu yang mereka harapkan sebab itu mereka sampai di sini. Saya merasa sangat kagum dan tiba-tiba saya terasa amat kecilnya diri  saya ini.

Saya tak mampu nak kongsikan semua apa yang saya dapat,  tapi insya Allah dari masa ke semasa saya cuba hubungkaitkan apa yang saya dapat dengan peristiwa dan kejadian yang datang kepada saya. Insya Allah dalam artikel kali ini saya nak kongsikan Tips untuk meningkatkan motivasi diri, semangat diri yang hilang. Tips yang saya dapat ialah “The Power of Grateful” ataupun kuasa bersyukur dan kuasa berselawat.
Saya percaya setiap dari anda semua tahu kelebihan bersyukur, saya juga tahu. Tetapi saya jarang meluahkannya. Jadi untuk meningkatkan semula motivasi  kita, salah satu tips yang  anda boleh lakukan sebelum tidur malam adalah anda ambil diari anda ataupun kertas. Andai senaraikan 10 sahaja perkara dalam hidup anda yang membuatkan anda rasa bersyukur sangat-sangat. Saya bagi contoh 10 perkara yang membuatkan saya  rasa bersyukur sangat-sangat.

1. Alhamdulillah syukur padaMu Ya Allah kerana kau masih memberikan aku nyawa untuk bernafas.
2. Alhamdulillah syukur  padaMu Ya Allah kerana kau masih memberikan aku rasa untuk aku menikmati rezekimu siang dan malam.
3. Alhamdulillah syukur padaMu Ya Allah kerana kau masih memberikan aku kesihatan untuk aku terus menjalani kehidupan di atas muka bumi ciptaanMu.
4. Alhamdulillah syukur padaMu Ya Allah kerana kau masih memanjangkan usia kedua ibubapaku untuk aku menikmati  redup dan teduhnya kasih sayang mereka kepadaku.
5. Alhamdulillah Ya Allah kerana kau kurniakan aku suami untuk aku menyangi dan disayangi.
6. Alhamdulillah Ya Allah kerana kau kurniakan aku anak-anak untuk aku menikmati indah dan bahagianya  perasaan menjadi seorang ibu.
7. Alhamdulillah Ya Allah kerana kau kurniakan aku sahabat-sahabat untuk aku berkongsi segala rasa yang ada.
8. Alhamdulillah Ya Allah kerana kau memberikan aku peluang dan ruang untuk menjadi seorang pendidik untuk mendidik anak-anak bangsaku.
9. Alhamdulillah Ya Allah kerana kau campakkan rasa cinta dan pengharapanKu kepadaMu di dalam setiap atur langkah yang kulalui.
10. Alhamdulillah Ya Allah kerana kau berikan aku rasa cinta dan sayangku kepada kekasihMu, buah hatiku Rasulullah SAW untuk aku susuli dan teladani.

Tulis ayat-ayat syukur ini baik-baik dan simpan. Sebelum tidur berselawatlah kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW paling kurangpun 100 kali dan selepas itu tidur. Bilamana anda bangkit dari tidur.Bacalah 10 ayat syukur yang anda tulis tersebut. Percayalah anda akan merasa nikmat yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Kenapa? Tak percaya. Ingatkan  satu ayat al-Quran.” Sekiranya kamu bersyukur, aku akan tambah kepadaMu. Dan ingatlah sekiranya kamu kufur, maka azabku amatlah pedih.”
Kenapa saya minta senaraikan 10 sahaja. Sebab jika kita nak senaraikan semua nikmat Allah yang Allah berikan kepada kita, Maka kita tak mampu untuk senaraikan. Cukup dengan senarikan 10 nikmat sehari untuk kita bina kekuatan dan motivasi diri. Cuba anda buat. Anda akan dapat kesannya.



Thursday, 4 April 2013

Kedai Pak Su Che Mat dan Pokok Star



Di kampung  Padang Kijang waktu itu hanya ada satu kedai runcit sahaja iaitu kedai Pak Su Che Mat dan kedai tu masih kekal hingga ke hari ini dan diwarisi oleh anaknya yang bongsu Che Usop.  Kedai runcit tersebut menjual barang  keperluan masyarakat kampung  seperti gula, garam, bawang, beras, sabun mandi, sabun basuh  dan sebagainya. Masa dulu tak ada Tesco, Giant atau supermarket besar seperti hari ini. Sekali sekala sahaja saya akan dibawa oleh Mak saya ke Bandar Tanah Merah. Itupun dua kali setahun. Kali pertama  ketika nak beli peralatan dan pakaian sekolah, kali kedua ketika nak beli pakaian dan kelengkapan raya. Di dalam keluarga, saya seringkali disuruh oleh mak saya atau Mak Timah untuk membeli  barang keperluan  seperti gula, bawang atau sebagainya di kedai Pak Su Che Mat yang jaraknya lebih kurang 500 meter dari rumah. Jalan untuk ke kedai perlu melalui dua ladang getah dan jalannya cuma lorong kecil sahaja.
 
Saya tak kisah  untuk ke kedai dan beli macam-macam barang, walaupun waktu itu usia  saya baru  7- 8 tahun. Walaupun masih kecil saya mampu membawa barang yang saya beli dengan selamat. Seingat saya, perkara yang  menakutkan saya waktu itu adalah perjalanan untuk ke kedai.  Ada satu pokok yang besarnya satu pemeluk. Pokok tersebut dikenali sebagai pokok Star. Kenapa Star? Pokok Star adalah pokok kundang. Biji dalam buah star berwarna ungu. Bahasa Kelantan warna ungu dipanggil warna putih star. Oleh sebab itulah pokok kundang itu dipanggil pokok star. Saya memahami asal nama pokok tersebutpun ketika saya sudah besar panjang dan cuba menganalisis sendiri dari mana asalnya nama pokok tersebut. Pokok tu sangat besar dan rendang dan berada  betul-betul di pertengahan jalan  saya ke kedai. Di batang pokok tersebut ada getah hitam yang mengalir panjang seolah-olah air mata yang sedang menangis.  Bila saya hendak ke kedai, saya kena melalui ladang getah dan juga pokok Star tersebut. Orang sentiasa bercerita benda pelik-pelik pasal pokok star itu. Pokok itu dikatakan berhantu. Kalau malam jumaat, orang akan mendengar suara tangisan daripada pokok tersebut. Bila dengar cerita orang tentang pokok tersebut membuatkan perut saya kecut.

Suatu hari ketika Mak saya menyuruh saya membeli gula. Saya terus bergerak, tidak ada kawan yang boleh menemani saya waktu itu kerana adik saya masih lagi kecil.  Dalam perjalanan saya  ke kedai, samada suka atau tidak, saya akan jumpa dengan satu pokok yang amat menakutkan saya itu.  Apa yang saya buat waktu itu. Saya akan berhenti depan pokok dan  bercakap dengan pokok tu.
“Hai pokok, janganlah usik saya ya. Saya ni nak tolong Mak saya beli barang, kalau saya tak tolong  beli barang, mak saya akan marah saya. Kita kawan ya pokok”.

Setiap kali hendak beli barang, setiap kali itulah saya akan bercakap dengan pokok tu.  Masa pulang beli barang pula saya akan cakap terima kasih kat pokok tu sebab tak kacau saya. Itulah yang saya akan lakukan bila saya disuruh membeli barang, sehingga saya rasa tidak takut lagi kepada pokok tersebut.

Bila saya ingat balik peristiwa tu saya rasa geli hati. Namun pengalaman semasa saya kecil mengajar saya sesuatu. Kalau kita takut untuk menghadapi sesuatu kita kena kuatkan semangat untuk menghadapinya. Bercakaplah secara positif kepada sesuatu yang kita takuti, hadapi ia dengan tenang. Insya Allah, benda yang luar biasa akan menjadi biasa untuk kita.