Wednesday, 20 April 2016

Tips melancong Ke Jepun 1



Sudah lama saya teringin untuk ke negeri matahari terbit ni. Bila dengar cerita-cerita menarik orang yang baru balik dari Jepun ni, tiba-tiba hati saya rasa teruja pula untuk ke sana. So bermulalah kisah pengembaraan Deraemon J. Apa tidaknya sebelum saya memulakan travel ke sana dalam sehari saya pasti akan membuka website dan membaca blog orang yang pernah ke sana. Semakin saya baca semakin teruja pula nak pergi. Sehingga tidur malampun boleh termimpi-mimpi.
 Perkara yang perlu kita buat keputusan sebelum melawat ke Jepun adalah tiket penerbangan, tiket pengangkutan di sana,  penginapan, makanan,  nak pergi musim apa, nak melawat kat mana,  berapa hari nak tinggal di sana dan berapa bajet yang kita ada.  Itu sahaja kita kena plan betul2.
Alhamdulillah tahun ni saya mendapat tawaran untuk membentangkan kertas kerja saya di Nagoya. So bolehlah saya menyelam sambil minum air. Hehehe. Oleh kerana saya bakal membawa En Suami sebagai peneman, maka saya terpaksalah plan bajet saya betul. Antara perkara yang saya buat sebagaimana berikut:
1. Tempah Flight Tiket.
Survey punya survey akhirnya dapatlah saya flight tiket yang paling murah waktu tu dan tiket tu pula flight ke Nagoya. Saya menaiki Vietnam Air untuk ke Nagoya sebab AirAsia dan Mas taka da flight untuk ke Nagoya. Harga tiket pergi balik RM1,000. Pergi 8 Nov 2015 dan balik 18 Nov 2015. Flight yang saya naik, waktu pergi transit di Hanoi selama sejam dan masa balik transit di Ho Chin Minh City selama 18 jam. Apa lagi, inilah peluang bawa En Suami pusing-pusing kat Pasar Ben Than, borong kain sembahyang dan tudung Nealofa gitu. Lagi situ, bila kita naik flight Vietnam air ni, kita boleh booking makanan halal, kita hanya perlukan email itenary perjalanan kita ke :booking.nro@vietnamairlines.com. dan inform kat dia yang kita request untuk Muslim food. Nanti atas flight dia akan hidangkan kita makanan halal. Satu lagi yang saya suka Vietnam air ni sebab seat dia lagi besar daripada seat air asia. Bolehlah nak tidur mengereng kiri atau mengereng kanan. Habis step pertama.

2. Pengangkutan train (Subway atau sinkansen)
Beza subway dengan sinkansen adalah subway untuk kegunaan dalam Bandar sahaja. Tapi sinkasen adalah bullet train adalah untuk inter-bandar. Sebagai kalau dari Nagoya ke Tokyo, kita kena guna Bullet train. Train dalam bandar kalau kat Nagoya kita kena bayar 750 yen untuk one day tiket. Kalau di Tokyo untuk one day tiket harganya 800 yen. Tetapi kalau inter bandar, kita perlu beli tiket Sinkansen. Dan tiket train ni sangat mahal kalau kita beli di Jepun. Untuk dapatkan harga Murah kita kena beli kat Malaysia, nama tiket ni adalah JR Pass. Boleh dibeli di JTB Malaysia di Bangunan Amoda Jalan Imbi, harga tiket ni masa saya beli RM1025 untuk 7 hari perjalanan. Dan tiket ni dijual ikut update currency. Dengan menggunakan tiket ini kita boleh travel seluruh daerah Jepun dari utara ke selatan selama lebih kurang 7 hari. Macam saya sendiri, saya travel ke 4 daerah berlainan bersamaan 2/3 Jepun yang jaraknya hampir 700 KM menggunakan JR pass ni. 

Bullet Train Dari Nagoya ke Tokyo
Tren dia sangat selesa, tak rasa bergegar lansung
 
Train macam kepala Itik





Saturday, 31 January 2015

Lapan resepi mendidik amanah Allah

Anak adalah anugerah Allah yang tidak ternilai. Mereka bukannya harta dan perhiasan dunia semata-mata, malah mereka juga adalah bekalan dan aset kepada kedua ibu bapa selepas pergi meninggalkan dunia ini. Saya seringkali ditanya bagaimanakah cara yang terbaik untuk mendidik anak-anak. Berdasarkan kepada pengalaman dan juga pemerhatian saya terhadap kawan-kawan yang berjaya mendidik anak mereka menjadi anak-anak yang cemerlang, di bawah ini saya kongsikan lapan tips untuk mendidik anak menjadi anak yang cemerlang di dunia dan di akhirat. Insya Allah,



1.Perhatian
Anak merupakan amanah dari Allah SWT yang memerlukan perhatian dan kasih sayang yang sepenuhnya dari kedua ibu bapa. Anak-anak yang kurang perhatian akan menjadi anak yang nakal, tidak mendengar cakap dan degil. Mereka akan melakukan perkara-perkara yang boleh menyakiti hati ibu bapa semata-mata untuk meraih perhatian daripada ibu bapa mereka.  Oleh itu berilah perhatian yang sewajarnya kepada anak-anak kerana bila mereka kaya dengan perhatian, mereka akan menjadi anak yang mendengar kata. Perhatian juga perlu terhadap bidang pendidikan mereka. Jangan menyerahkan tugas mengajar mengaji al-Quran kepada ustaz semata-mata, Ibu bapa juga mestilah tahu dan pandai mengajar mengaji . Kalau tak tahu kenalah belajar. Manakala di dalam bidang akademik pula, ibu bapa perlu tahu setakat mana prestasi pendidikan anak-anak mereka. Jangan terlalu menyerahkan tugasan mengajar hanya kepada guru atau pusat tusyen semata-mata. sehingga

2. Pujian
Pujian juga sangat penting untuk menjadikan mereka merasa dihargai. Sebagai manusia biasa, kita lebih suka dipuji daripada dikeji. Kalau kawan-kawan kita, kita boleh puji, kenapa begitu susah untuk memuji anak sendiri untuk mereka lebih rasa dihargai oleh kedua ibu bapa mereka.

3. Pelukan
Peluk anak bukanlah hanya pada anak-anak yang masih kecil. Anak-anak yang tengah meningkat remaja dan juga dewasa juga memerlukan pelukan daripada ayah dan ibu. Pelukan seorang ibu akan menghilangkan kegundahan  hati yang dialami oleh si anak dan akan membuatkan jiwa anak menjadi tenang.

4. Perkataan
Pilihlah perkataan yang baik-baik tak kala bercakap dengan anak. Kalau kita seringkali memilih perkataan yang boleh melukakan hati mereka, mereka akan lebih suka menceritakan masalah mereka kepada orang lain berbanding kepada kita.  Bila anak sudah mencari orang lain untuk menceritakan masalah kepada mereka, jangan terkejut bila suatu hari nanti kita sudah tidak mengenali anak sendiri. Selain itu sentiasalah memberikan kata-kata motivasi kepada anak untuk menjadikan mereka sentiasa bersemangat di dalam melakukan apa juga aktiviti.


5. Pendidikan
Pendidikan di sini merangkumi pendidikan akhlak, agama dan juga akademik. Seimbangkan antara ketiga-tiga pendidikan ini. Insya Allah anak-anak kita akan dipaternkan dengan gaya pendidikan yang lengkap untuk keperluan mereka dunia dan akhirat.



6. Pukul
Pukul juga penting sebenarnya untuk mengajar mereka hukuman yang mereka akan dapat jika mereka melakukan kesalahan. Kalau kita tidak pernah bertegas dengan mereka, mereka akan “naik lemak” dan lama kelamaan mereka akan susah untuk dibentuk menjadi manusia  yang baik. Rotan boleh, tapi jangan dengan nafsu amarah, rotanlah anak dengan penuh kasih sayang dan dengan bertujuan hendak mengajar bukan untuk mencederakan.

7. Penghargaan
Setiap manusia akan gembira bila dihargai. Begitu juga dengan anak kita. Mereka akan rasa bangga bila ibu bapa mereka yang menghargai hasil usaha mereka. Belajarlah menghargai mereka walaupun dengan memberikan hadiah yang bernilai RM5. Dengan itu mereka akan bersemangat untuk melakukan sesuatu yang baik.

8. Pantau
Pemantauan juga penting, sebagai ibu bapa mereka perlu tahu dengan sapa anak mereka berkawan. Bagaimana cara mereka bercakap. Tegurlah mereka apabila mereka mengeluarkan perkataan yang kesat dan tidak baik. Kalau mereka sudah terbiasa dengan perkataan kesat, jatuhkan hukuman. Kita tidak pernah mengajarkan mereka menggunakan perkataan kesat. Mungkin mereka dapat perkataan tersebut daripada kawan-kawan mereka yang lain.


Sekiranya kita dapat mempraktikan tips-tips di atas, Insya Allah anak-anak kita bakal menjadi anak-anak yang soleh di dunia dan akhirat. Mereka akan menjadikan kita sebagai sumber inspirasi, guru, kawan, polis malah segala-galanya dalam kehidupan mereka.

Sunday, 1 June 2014

Saya mahu dicintai dan menyintai

“Berkomunikasi dengan remaja macam ni  kena banyak slow talk dengan dia zie?” Suami saya berkata perlahan tak kala saya sibuk membancuh teh di dapur Mujahadah Agro Camp. “Remaja yang sakit macam ni, lagi kita kasar lagi dia memberontak. Nak mendidik anak-anak macam ni, kalau nak kasar kena lagi kasar daripada dia orang. Kalau tak mampu  jangan berkasar, banyak kan berlembut dan memujuk”. Pesan suami saya lagi.
Saya tersentap, kepala saya ligat berfikir dan menghadam. Satu persatu saya tatap wajah mereka tak kala memberi nasihat. anak remaja ini baru berusia 14-16 tahun, wajah mereka kelat, tak seperti anak-anak remaja lain yang pernah mengunjungi kem sebelum ini. Saya membelek-belek borang soal selidik di tangan. Antara kesalahan yang dibuat mencuri, merokok, merempit, memeras ugut, membuli, berjudi, menengking mak ayah, tidak solat, tidak puasa, malah ada yang tidak tahu langsung untuk solat dan pelbagai kesalahan lain. Sepanjang 3 hari berprogram macam kata-kata kesat yang dikeluarkan. Pantang ada kesilapan sikit, mereka mudah untuk menyumpah seranah. Setiap kali mendengar sumpah seranah mereka. Setiap kali itulah saya beristighfar panjang. Astagfirullahalazim!! 
Otak  makin ligat berputar, kadang-kadang kita tidak sedar. Dosa yang anak-anak lakukan, sebahagiannya adalah berpunca daripada kesilapan ibubapa sendiri. Kesilapan dari banyak sudut. Saya tidak akan menghuraikan kesilapan itu di sini. Namun kesilapan yang paling besar,  tidak menjaga hubungan dengan Allah SWT.
Saya membelek-belek fail di tangan. Hampir 70 peratus daripada bercinta.  Saya bertanya kenapa mahu bercinta? Alasan yang diberikan, saya sunyi, saya mahu dicintai dan menyintai, saya mahu disayangi dan menyayangi. Saya tersenyum memandang mereka. Sebenarnya jawapan mereka memberi jawapan kepada persoalan saya.. sebenarnya mereka memerlukan perhatian dan kasih sayang, mereka mahu seseorang mengucapkan pada mereka, saya sayang awak, saya cinta awak. ucapan yang lahir dengan hati yang tulus ikhlas. kalau ada seseorang yang mendekati mereka dengan perhatian dan kasih sayang pasti hati mereka udah cair dan lembut. Mereka akan mudah untuk mengikut dan mendengar kata.
Ramai anak-anak remaja yang menghadapi masalah seperti ini hari ini. Di setiap sekolah yang team MAC kunjungi, kami mendengar keluhan-keluhan guru menghadapi masalah remaja seperti ini. Bayangkanlah kalau dalam satu sekolah lebih daripada 200 orang pelajar yang bermasalah, kalau 1,000 buah sekolah dah ada 200,000 orang pelajar bermasalah.  Tanggungjawab siapakah untuk mendidik mereka?  Bila tanya tanggungjawab siapa? Masing-masing mahu menunding jari sana dan sini.  Bukankah Islam mengajar kita untuk al amr bil ma’ruf wa nahy anil mungkar? Sedangkan mereka adalah generasi muda yang bakal menjadi pemimpin. Kalau bukan pemimpin masyarakatpun sekurang-kurangnya menjadi pemimpin keluarga.

Saya melepaskan anak-anak ini pulang, dengan perasaan yang sangat sukar untuk ditafsirkan. Jauh di sudut hati saya memohon. “Ya Allah, kau rahmatilah anak-anak ini, lindungilah mereka, berilah mereka petunjuk dan hidayahmu kepada mereka. mereka masih mudah Ya Allah..temukanlah mereka jalan tebaik untuk mereka mendekatiMu. Jadikanlah mereka anak yang baik, anak yang mendengar kata, anak yang patuh dan taat di dalam mengikuti setiap ajaranMu ya Allah. Peliharalah kehidupan mereka di dunia dan di akhirat.. AMIN

Tuesday, 19 November 2013

Resepi Kejayaan Jutawan Tulang Gantian: En Romli Ishak

Assalamualaikum En Romli. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk saya menemubual En Romli. Untuk pengetahuan En Romli,  kajian ini bertajuk faktor-faktor kejayaan usahawan dari perspektif Islam. Sebelum kita mulakan temubual kita dengan lebih lanjut terlebih dahulu, saya nak minta En Romli  terangkan sedikit tentang latar belakang En Romli.

Waalaikumusalam, nama saya Romli Ishak, saya berasal dari negeri Kedah Darul Aman. Sedikit tentang latar belakang saya, saya merupakan anak yatim, ayah saya meninggal ketika saya berusia 2 tahun. Selepas usia saya 5 tahun mak saya kahwin lain. Bapa tiri saya tak nak saya dan mak saya buang saya. Dia hantar saya kat rumah datuk saya. Bermula dari peristiwa itu, saya dibesarkan oleh Tuk saya.

Walaupun saya dibesarkan dalam keadaan yang amat menyiksakan, tapi sebenarnya keadaan inilah yang telah banyak membina jati diri saya.  Saya duduk dengan atuk saya, yang tidak ada isteri masa tu. Atuk saya hantar saya sekolah, tapi dia pesan kat saya kalau nak sekolah tak boleh ponteng sekolah dan kena dapat nombor dalam peperiksaan 1, 2 dan 3 sahaja. Saya pernah kena rotan dengan atuk saya sebab dapat No 6. Macam manalah saya nak dapat no 1, 2, 3. Saya tak ada buku teks macam orang lain. Saya cuma ada buku tulis sahaja. Tuk saya tak mampu nak belikan saya buku teks. Hujung tahun 1975 barulah kerajaan bagi buku teks.  Masa saya pergi sekolah atuk saya bagi 10 sen sahaja. Masa tu 10 sen lepaslah nak beli nasi lemak satu bungkus, air saya minum air paip sahaja. Perut saya ni dah immune dengan air paip. Walaupun minum air paip saya tak pernah kena sakit.

Beberapa tahun kemudian atuk saya kahwin dengan orang kampung sebelah, saya dapat nenek tiri. Nasib baiklah nenek tiri saya ni baik orangnya. At least makan pakai saya terjaga, tapi masalahnya saya nak pergi sekolah jauh sebab saya terpaksa tinggal dekat rumah nenek tiri saya yang rumahnya jauh dari sekolah. Setiap hari saya kena kayuh basikal lebih kurang 10KM sehari. Imagine waktu tu saya masih sekolah rendah.  Badan berpeluh-peluh kayuh basikal barulah sampai sekolah. Tapi semangat saya sentiasa berkobar-kobar untuk pergi sekolah.  Lepas tu saya dapat result yang bagus dalam Peperiksaan Penilaian darjah lima dan saya dapat  masuk boarding school iaitu Sultan Abdul Hamid College. Sekolah Tun Dr Mahathir dulu.

Sewaktu saya masuk sekolah menengah, prestasi  pelajaran saya masa tu merosot, sebab saya selalu keluar sekolah untuk cari duit. Setiap hujung minggu saya akan balik berniaga, cikgupun faham dengan keadaan saya.   Kat asramapun saya meniaga macam-macam. Masa saya nak exam SRP, saya kena belajar dan fokus betul-betul, sebab nak dapat result yang baik dalam exam. Sebab sekolah tu pula tak dapat 15 agregat kena reject.  Saya sangat takut waktu tu. Takut kena buang sekolah. Orang kampung semua ingat saya belajar bagus kat sekolah tu. Masa tu siapa yang dapat masuk Asrama Penuh ni kira hebatlah. So saya sangat takut kalau-kalau saya kena buang sekolah. Habislah saya kena marah kat Tuk saya. Tiga bulan nak exam, saya tak keluar mana-mana. Saya fokus betul-betul pada pelajaran saya. Saya pulun belajar betul-betul. Saya baca yasin hari-hari. Saya solat hajat hari-hari, akhirnya saya dapat 13 agregat. OKlah at least saya tak kena reject dari sekolah tu.

Bila saya naik tingakatan 4, Saya dilantik memegang macam-macam jawatan kat sekolah, saya sangat sibuk  dengan persatuan waktu tu , sebab tu SPM saya teruk.  Saya cuma dapat pangkat dua sahaja, tapi pangkat dua masa tu, dah boleh masuk Universiti, akhirnya saya dapat masuk UPM,  ambil Diploma in Agriculture.

Itulah  serba sedikit tentang latar belakang hidup saya, walaupun saya dibesarkan di dalam keadaan yang sangat susah tapi saya bersyukur kerana kesusahan itulah yang menjadikan saya seorang yang tabah dan kuat semangat.


Ok,  En Romli berdasarkan pengalaman En Romli,  Apakah personaliti yang perlu ada pada diri seorang usahawan Muslim?

Pada saya, saya yakin dan saya nampak sebagai seorang usahawan Muslim kita perlu menjaga hubungan kita dengan Allah SWT samada di  waktu susah atau senang kita.  Kita kena percaya dan yakin semua yang berlaku di dalam hidup kita, adalah perancangan daripada Allah SWT. Oleh itu,  kita sebagai hamba kena yakin sepenuhnya kepada  Allah SWT.

Selain itu, untuk berjaya di dalam apa jua bidang yang kita ceburi, kita kena berusaha sehabis yang mungkin. Usaha up to the limit. Selagi mana tidak ada kata berhenti  jangan berhenti.  Macam mana kita nak tahu yang kita kena berhenti. Bila Allah SWT bagi kita sakit, bagi kita demam. Saya biasa masuk wad sebab demam.  Selain itu, selagi kita sihat dan mampu untuk bekerja kita kena kerja. Sebab dunia adalah tempat untuk kita bekerja bukan untuk kita berehat dan kerja juga merupakan satu ibadah.

Seorang usahawan muslim juga kena ikhlas di dalam menjalankan perniagaan mereka. Jangan sekali-kali menipu, suka ambil kesempatan kepada orang lain. Yang penting prinsip agama kena jaga.

Kebanyakan bisnesman yang rosak ni,  dia bukan pengasas  kepada perniagaan yang dijalankan, tetapi dia adalah  orang yang mewarisi perniagaan tersebut daripada keluarga dan sebagainya. Biasanya kalau dia yang mengasaskan perniagaan dia akan jadi seorang yang hebat.  Berbeza usahawan dengan CEO ini adalah usahawan  adalah orang yang merentas jalan, manakala CEO pula adalah orang yang menguruskan perniagaan.  CEO tak semestinya usahawan, tapi kebiasaannya usahawan boleh menjadi CEO sebab dia kena tahu everything di dalam perniagaan yang dilakukan.

Selain itu, bagi yang masih ada mak ayah. Kena jaga mereka baik-baik. Mereka adalah sumber kekuatan seorang anak. Saya cuma rapat dengan mak saya bila saya dah dewasa, bila ayah tiri saya dah meninggal dunia.  Mak saya dulu dan mak saya sekarang sangat berbeza.  Dulu mak saya dia buang saya sebab dia ikut perintah suami dia, dia kena taat pada suami dia, tapi bila ayah tiri saya dah tak ada. Saya cari mak saya balik. Doa  seorang ibu sangat mustajab. Sebagai seorang anak janganlah kita menyakiti hati mak ayah kita. Takut nanti dia  kata macam-macam kat kita, hidup kita akan susah nanti. Pada saya, kalau saya nak buat sesuatu saya akan minta mak saya tolong doakan untuk saya. Macam hari tu saya cakap kat mak saya, saya nak submit proposal  kat JCorp, Saya minta mak saya doakan untuk saya. Hari yang saya submit proposal tu. Mak saya dia puasa dan solat hajat untuk saya.

Bergambar selepas sesi temuramah dengan En Romli Ishak di Pejabat Beliau 
Nantikan buku bertajuk: Resepi Kejayaan 20 Usahawan Muslim Di Malaysia yang bakal muncul di pasaran tidak lama lagi, Buku ini akan menceritakan temubual saya bersama 20 Jutawan Melayu di Malaysia yang akan berkongsi kejayaan mereka di dalam bidang perniagaan yang diceburi