“Orang kalau nak cari isteri, orang akan tengok halaman rumah dulu. Kalau halaman rumah berkulat, sampah sana sini..itu tandanya anak dara tu pemalas. Anak dara macam tu tak boleh dibuat isteri”. Mak Timah mula membebel. Masa tu saya masih tidak faham apa yang dibebelkan oleh Mak Timah. Satu-satunya nenek kesayangan saya. Itulah salah satu cara orang-orang dulu mencari calon isteri.
Mak Timah adalah seorang yang sangat disegani
di Kampung Padang Kijang. Mak Timah satu-satunya anak perempuan kepada pengasas
Kampung Padang Kijang iaitu Tok Mahmud. Nama asal Mak Timah (Fatimah binti
Mahmood). Mak Timah memiliki banyak kepandaian antaranya sebagai bidan kampung. Setiap petang
ada sahaja perempuan mengandung datang
rumah kami untuk berurut. Selain itu Mak Timah juga merupakan ketua juru masak di majlis-majlis kenduri di kampung Padang Kijang atau di kampung sebelahnya. Mak Timah juga pandai mengandam pengantin dan seringkali dijemput menjadi mak andam di majlis-majlis perkahwinan. Mak Timah
mempunyai 5 orang beradik yang tinggal di kampung ini iaitu Pak Wa
Seman, Pak Ngah Jusoh, Pak Tengah Deloh (Ketua kampung padang Kijang) dan Pak
Su Saari ( Guru al-quran tempat saya mengaji). Oleh sebab itu kawan-kawan saya
di masa kecil adalah terdiri daripada saudara mara saya sendiri.
Mak timah
juga seorang yang rajin. Sepanjang saya mengenalinya dia seorang yang suka
bercucuk tanam. Di sekeliling rumah ditanam dengan macam-macam tanaman. Di tepi
perigi ada pokok bunga cina, melur dan cempaka, baunya sangat harum khususnya
di waktu pagi. Di hujung kawasan perigi pula ada pokok sireh dan pokok inai
daun. Di halaman rumah ada dua pokok mempelam yang besarnya satu pemeluk. Daun
pokok mempelam sentiasa gugur. Setiap pagi dan petang Mak Timah akan menyapu
daun-daun yang gugur tersebut dan bakar. “Ini untuk halau nyamuk” Katanya.
Persekitaran rumah Mak Timah sentiasa bersih mengalahkan rumah yang ada anak
dara.
Di sebelah
kanan rumah ada baruh padi (rumah tempat padi disimpan). Rumah padi dibina
tinggi kerana bawa rumah padi adalah tempat tidur lembu. Di tepi baruh padi ada
2 batang pokok kekabu yang sentiasa berbuah. Bila buahnya luruh, Mak Timah akan
kutip dan simpan buah tersebut di dalam guni untuk dibuat bantal ataupun tilam.
Di belakang
rumah. Mak Timah tanam macam-macam jenis sayur-sayuran dan pelbagai jenis ubi.
Antara sayur yang ditanam ialah cili api, cili besar, halia, kunyit lengkuas,
serai, daun pandan dan kangkung. Pendek kata
sepanjang saya tinggal dengan Mak Timoh, kami sekeluarga tak payah beli
sayur. Terkadang sayur atau ubi yang Mak Timah tanam di jual atau disedekahkan
kepada sanak saudara dan juga jiran.
Rumah Mak Timah yang
kami tinggal betul-betul rumah kayu. Tidak ada kipas. Cuma ada satu bilik
tidur, tidak ada set kerusi atau set meja makan. Ada satu dapur kayu dan juga
serambi dapur untuk diletakkan baldi-baldi air untuk keperluan memasak dan juga
mencuci pinggang mangkuk Setiap pagi dan petang, saya akan memunggah air
berbaldi-baldi dari perigi ke dapur untuk keperluan memasak dan mencuci pinggan
mangkuk. Masa tu dapur rumah Mak Timah masih lagi menggunakan kayu untuk memasak makanan. Oleh itu aktiviti hujung minggu saya adalah mencari kayu api dengan Mak Timah di ladang getah bagi tujuan memasak Saya akan turut menjujung kayu api yang diikat ke atas kepala untuk di bawa pulang. Seingat saya waktu itu saya baru sahaja berusia 7 tahun. Saya tak
pernah merasa letih dan penat buat kerja-kerja seperti itu. Malah saya rasa
bangga dan gembira kerana dapat membantu nenek saya.
Di hujung
tangga rumah Mak Timah pula ada tempayang air dan batuk (tempurung kelapa, yang pemegangnya di
buat daripada kayu digunakan sepagai gayung). Ada serambi yang besar untuk
orang lepak dan berbual-bual. Setiap petang ada saja tetamu yang datang melepak
di rumah Mak Timah. Dan setiap kali orang datang ke rumah ada sahaja makanan
yang dijamu. Suasana di kampung cukup sederhana namun saya gembira, rezeki
tidak pernah putus dan masyarakatnya hidup aman damai.
Jadual Mak Timah hari-hari penuh. Saya tidak pernah melihat nenek saya berehat, meriba tangan. Kalau sebelah paginya Mak Timah sibuk menoreh getah. Balik dari menoreh Mak timah sibuk menyediakan makanan tengahari dan juga makanan untuk waktu petang. Sebelah petangnya pula Mak Timah sibuk dengan tanaman sayur atau ubinya. Sekali-sekala dia akan ke sungai memancing ikan. Mak Timah
mengajar saya banyak benda yang berkait dengan kehidupan. Daripada
sekecil-kecil benda hinggalah sebesar-besarnya. Saya pula, kalau hari-hari tidak bersekolah, saya banyak mengikut aktiviti yang dilakukan oleh Mak Timah. Lagipun masa ini, ibu saya sudah tidak mengambil kisah sangat pada saya kerana dia sarat mengandung adik saya iaitu anak yang ketiga dalam keluarga saya. Sehingga sekarang, walaupun Mak Timah
sudah tiada, tapi ilmu yang diajar menjadi pedoman hidup saya walaupun di mana
saya berada. “Semoga Allah sentiasa merahmatinya menempatkannya bersama-sama dengan orang-orang yang soleh.”
No comments:
Post a Comment