Di kampung Padang Kijang waktu itu hanya ada satu kedai
runcit sahaja iaitu kedai Pak Su Che Mat dan kedai tu masih kekal hingga ke
hari ini dan diwarisi oleh anaknya yang bongsu Che Usop. Kedai runcit tersebut menjual barang keperluan masyarakat kampung seperti gula, garam, bawang, beras, sabun
mandi, sabun basuh dan sebagainya. Masa
dulu tak ada Tesco, Giant atau supermarket besar seperti hari ini. Sekali sekala sahaja saya akan dibawa oleh Mak
saya ke Bandar Tanah Merah. Itupun dua kali setahun. Kali pertama ketika nak beli peralatan dan pakaian
sekolah, kali kedua ketika nak beli pakaian dan kelengkapan raya. Di dalam
keluarga, saya seringkali disuruh oleh mak saya atau Mak Timah untuk membeli barang keperluan seperti gula, bawang atau sebagainya di kedai
Pak Su Che Mat yang jaraknya lebih kurang 500 meter dari rumah. Jalan untuk ke
kedai perlu melalui dua ladang getah dan jalannya cuma lorong kecil sahaja.
Saya tak
kisah untuk ke kedai dan beli
macam-macam barang, walaupun waktu itu usia saya baru 7- 8 tahun.
Walaupun masih kecil saya mampu membawa barang yang saya beli dengan selamat.
Seingat saya, perkara yang menakutkan
saya waktu itu adalah perjalanan untuk ke kedai. Ada satu pokok yang besarnya satu pemeluk. Pokok
tersebut dikenali sebagai pokok Star. Kenapa Star? Pokok Star adalah pokok
kundang. Biji dalam buah star berwarna ungu. Bahasa Kelantan warna ungu
dipanggil warna putih star. Oleh sebab itulah pokok kundang itu dipanggil pokok
star. Saya memahami asal nama pokok tersebutpun ketika saya sudah besar panjang
dan cuba menganalisis sendiri dari mana asalnya nama pokok tersebut. Pokok tu
sangat besar dan rendang dan berada betul-betul di pertengahan jalan saya ke kedai. Di batang pokok tersebut ada
getah hitam yang mengalir panjang seolah-olah air mata yang sedang
menangis. Bila saya hendak ke kedai,
saya kena melalui ladang getah dan juga pokok Star tersebut. Orang sentiasa
bercerita benda pelik-pelik pasal pokok star itu. Pokok itu dikatakan berhantu.
Kalau malam jumaat, orang akan mendengar suara tangisan daripada pokok
tersebut. Bila dengar cerita orang tentang pokok tersebut membuatkan perut saya
kecut.
Suatu hari
ketika Mak saya menyuruh saya membeli gula. Saya terus bergerak, tidak ada
kawan yang boleh menemani saya waktu itu kerana adik saya masih lagi kecil. Dalam perjalanan saya ke kedai, samada suka atau tidak, saya akan
jumpa dengan satu pokok yang amat menakutkan saya itu. Apa yang saya buat waktu itu. Saya akan
berhenti depan pokok dan bercakap dengan
pokok tu.
“Hai pokok,
janganlah usik saya ya. Saya ni nak tolong Mak saya beli barang, kalau saya tak
tolong beli barang, mak saya akan marah
saya. Kita kawan ya pokok”.
Setiap kali
hendak beli barang, setiap kali itulah saya akan bercakap dengan pokok tu. Masa pulang beli barang pula saya akan cakap
terima kasih kat pokok tu sebab tak kacau saya. Itulah yang saya akan lakukan
bila saya disuruh membeli barang, sehingga saya rasa tidak takut lagi kepada
pokok tersebut.
Bila saya
ingat balik peristiwa tu saya rasa geli hati. Namun pengalaman semasa saya
kecil mengajar saya sesuatu. Kalau kita takut untuk menghadapi sesuatu kita
kena kuatkan semangat untuk menghadapinya. Bercakaplah secara positif kepada
sesuatu yang kita takuti, hadapi ia dengan tenang. Insya Allah, benda yang luar
biasa akan menjadi biasa untuk kita.