Anak adalah anugerah Allah yang tidak ternilai. Mereka
bukannya harta dan perhiasan dunia semata-mata, malah mereka juga adalah
bekalan dan aset kepada kedua ibu bapa selepas pergi meninggalkan dunia ini.
Saya seringkali ditanya bagaimanakah cara yang terbaik untuk mendidik
anak-anak. Berdasarkan kepada pengalaman dan juga pemerhatian saya terhadap
kawan-kawan yang berjaya mendidik anak mereka menjadi anak-anak yang cemerlang,
di bawah ini saya kongsikan lapan tips untuk mendidik anak menjadi anak yang
cemerlang di dunia dan di akhirat. Insya Allah,
1.Perhatian
Anak merupakan amanah dari Allah SWT yang memerlukan
perhatian dan kasih sayang yang sepenuhnya dari kedua ibu bapa. Anak-anak yang
kurang perhatian akan menjadi anak yang nakal, tidak mendengar cakap dan degil.
Mereka akan melakukan perkara-perkara yang boleh menyakiti hati ibu bapa
semata-mata untuk meraih perhatian daripada ibu bapa mereka. Oleh itu berilah perhatian yang sewajarnya
kepada anak-anak kerana bila mereka kaya dengan perhatian, mereka akan menjadi
anak yang mendengar kata. Perhatian juga perlu terhadap bidang pendidikan
mereka. Jangan menyerahkan tugas mengajar mengaji al-Quran kepada ustaz
semata-mata, Ibu bapa juga mestilah tahu dan pandai mengajar mengaji . Kalau
tak tahu kenalah belajar. Manakala di dalam bidang akademik pula, ibu bapa
perlu tahu setakat mana prestasi pendidikan anak-anak mereka. Jangan terlalu
menyerahkan tugasan mengajar hanya kepada guru atau pusat tusyen semata-mata.
sehingga
2. Pujian
Pujian juga sangat penting untuk menjadikan mereka merasa
dihargai. Sebagai manusia biasa, kita lebih suka dipuji daripada dikeji. Kalau
kawan-kawan kita, kita boleh puji, kenapa begitu susah untuk memuji anak
sendiri untuk mereka lebih rasa dihargai oleh kedua ibu bapa mereka.
3. Pelukan
Peluk anak bukanlah hanya pada anak-anak yang masih kecil.
Anak-anak yang tengah meningkat remaja dan juga dewasa juga memerlukan pelukan
daripada ayah dan ibu. Pelukan seorang ibu akan menghilangkan kegundahan hati yang dialami oleh si anak dan akan
membuatkan jiwa anak menjadi tenang.
4. Perkataan
Pilihlah perkataan yang baik-baik tak kala bercakap dengan
anak. Kalau kita seringkali memilih perkataan yang boleh melukakan hati mereka,
mereka akan lebih suka menceritakan masalah mereka kepada orang lain berbanding
kepada kita. Bila anak sudah mencari
orang lain untuk menceritakan masalah kepada mereka, jangan terkejut bila suatu
hari nanti kita sudah tidak mengenali anak sendiri. Selain itu sentiasalah
memberikan kata-kata motivasi kepada anak untuk menjadikan mereka sentiasa
bersemangat di dalam melakukan apa juga aktiviti.
5. Pendidikan
Pendidikan di sini merangkumi pendidikan akhlak, agama dan
juga akademik. Seimbangkan antara ketiga-tiga pendidikan ini. Insya Allah
anak-anak kita akan dipaternkan dengan gaya pendidikan yang lengkap untuk
keperluan mereka dunia dan akhirat.
6. Pukul
Pukul juga penting sebenarnya untuk mengajar mereka hukuman
yang mereka akan dapat jika mereka melakukan kesalahan. Kalau kita tidak pernah
bertegas dengan mereka, mereka akan “naik lemak” dan lama kelamaan mereka akan
susah untuk dibentuk menjadi manusia
yang baik. Rotan boleh, tapi jangan dengan nafsu amarah, rotanlah anak
dengan penuh kasih sayang dan dengan bertujuan hendak mengajar bukan untuk
mencederakan.
7. Penghargaan
Setiap manusia akan gembira bila dihargai. Begitu juga
dengan anak kita. Mereka akan rasa bangga bila ibu bapa mereka yang menghargai
hasil usaha mereka. Belajarlah menghargai mereka walaupun dengan memberikan hadiah
yang bernilai RM5. Dengan itu mereka akan bersemangat untuk melakukan sesuatu
yang baik.
8. Pantau
Pemantauan juga penting, sebagai ibu bapa mereka perlu tahu
dengan sapa anak mereka berkawan. Bagaimana cara mereka bercakap. Tegurlah
mereka apabila mereka mengeluarkan perkataan yang kesat dan tidak baik. Kalau
mereka sudah terbiasa dengan perkataan kesat, jatuhkan hukuman. Kita tidak
pernah mengajarkan mereka menggunakan perkataan kesat. Mungkin mereka dapat
perkataan tersebut daripada kawan-kawan mereka yang lain.
Sekiranya kita dapat mempraktikan tips-tips di atas, Insya
Allah anak-anak kita bakal menjadi anak-anak yang soleh di dunia dan akhirat.
Mereka akan menjadikan kita sebagai sumber inspirasi, guru, kawan, polis malah
segala-galanya dalam kehidupan mereka.