Sunday 29 September 2013

Tips untuk meningkatkan motivasi diri.

Alhamdulillah selama 3 hari dua malam, saya diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk menghadiri satu Seminar Jutawan Industri 2013 di Dewan Tun Razak PWTC anjuran Richworks Sdn Bhd, Di bawah Mentor Pemasaran No 1 Asia, Dr Azizan Osman. Semasa saya pergi ke sesi preview seminar di dewan MACC Shah Alam, saya sangat terkejut dengan kehadiran lebih dari 4,000 orang Muslim yang sedang berpusu-pusu untuk masuk ke dewan, sehigga saya sendiripun terpaksa bersesak-sesak masuk dan tertolak hingga ke dalam dewan. Uhhh!! Hampir tak bernafas saya dibuatnya. Sudah lama saya tidak menyusahkan diri saya buat kerja berebut-rebut macam ni. Seingat sayalah kali terakhir saya buat kerja berebut2 ni ketika saya nak mencium Hajarul Aswad sewaktu membuat ibadah umrah. Bertolak-tolak dan bersesak-sesak.   Di dalam hati kecil saya berkata “ Masya Allah..Hebatnya Dr Azizan ni, sampai macam ni sekali orang berebut untuk mendapatkan tempat duduk semata-mata untuk mendengar dia bercakap.” Bila masuk ke dalam dewan, saya melihat ada yang duduk di atas lantai, berdiri di tepi-tepi dinding kerana kerusi sudah penuh. Nasib baiklah saya bawa tiga orang team MAC yang masih muda dan masih kuat berlari untuk mendapatkan tempat duduk. Alhamdulillah bolehlah duduk.

Sebelum saya menghadiri seminar ini, saya berasa begitu lemah sangat dan hilang motivasi diri disebabkan tekanan dan bebanan kerja yang sangat berat yang terpaksa saya siapkan di ofice, dalam waktu yang sama saya terpaksa menyiapkan penulisan akhir tesis PhD saya, menyiapkan penulisan arikel di Journal,  saya terpaksa menyiapkan modul-modul baru di MAC Training and Consultancy, menerima undangan ceramah, melayan mesyuarat Jabatan, mesyuarat consultant dan juga persatuan, melayan pelajar-pelajar  yang datang kepada saya untuk interview kisah kejayaan, melayan pelajar-pelajar dan isteri-isteri yang bermasalah.. membuatkan saya merasa teramat-amat  penat dan lemas.  Sehinggalah suatu hari saya diajak oleh sahabat saya Nursalina Yin Abdullah untuk mendaftar di Preview Seminar Dr Azizan Osman, waktu itu saya tidak teragak-agak untuk mendaftar.

Selepas saya pergi ke preview seminar,  Saya seperti mendapat tenaga baru, dan saya tidak teragak-agak untuk mendaftar ke Seminar Intensif Jutawan Industri (IJI). Alhamdulillah syukur sangat-sangat saya seperti di charge dengan bateri baru. Banyak benda yang dikongsi oleh Dr Azizan sepanjang sesi seminar 3 hari 2 malam, membuatkan saya mengenali lebih tentang diri saya sendiri, membuatkan saya memahami mengapa Allah tentukan perjalanan hidup saya seperti ini.  Walaupun saya terpaksa bersesak-sesak di antara beribu-ribu orang yang hadir di dalam seminar berikut. Saya tidak kisah.Malah beribu-ribu orang yang hadir di IJI tersebut membawa harapan dan semangat masing-masing  untuk berjaya menjadi manusia yang sempurna sebagai khalifah di Muka Bumi Allah SWT. Mengapa saya berkata demikian? Sewaktu saya mengadakan sesi networking bersama perserta-peserta seminar, saya berjumpa ramai golongan professional antaranya doktor, lawyer, pensyarah, professor, guru,CEO syarikat, manager, ustaz,ustazah,  kakitangan kerajaan dan ramai lagilah. Kalau dalam bidang bisnes tu tak payahlah ceritalah.. macam-macam  bisnes ada, daripada sekecil-kecil bisnes hingga ke sebesar-besar bisnes.  Dan ramai juga saya jumpa pelajar-pelajar universiti yang tengah mencari-cari arah. Kalau mereka bahagia dan berjaya di dalam hidup mereka? Kenapa mereka datang ke sini? Ke seminar ini? Mesti ada sesuatu yang mereka harapkan sebab itu mereka sampai di sini. Saya merasa sangat kagum dan tiba-tiba saya terasa amat kecilnya diri  saya ini.

Saya tak mampu nak kongsikan semua apa yang saya dapat,  tapi insya Allah dari masa ke semasa saya cuba hubungkaitkan apa yang saya dapat dengan peristiwa dan kejadian yang datang kepada saya. Insya Allah dalam artikel kali ini saya nak kongsikan Tips untuk meningkatkan motivasi diri, semangat diri yang hilang. Tips yang saya dapat ialah “The Power of Grateful” ataupun kuasa bersyukur dan kuasa berselawat.
Saya percaya setiap dari anda semua tahu kelebihan bersyukur, saya juga tahu. Tetapi saya jarang meluahkannya. Jadi untuk meningkatkan semula motivasi  kita, salah satu tips yang  anda boleh lakukan sebelum tidur malam adalah anda ambil diari anda ataupun kertas. Andai senaraikan 10 sahaja perkara dalam hidup anda yang membuatkan anda rasa bersyukur sangat-sangat. Saya bagi contoh 10 perkara yang membuatkan saya  rasa bersyukur sangat-sangat.

1. Alhamdulillah syukur padaMu Ya Allah kerana kau masih memberikan aku nyawa untuk bernafas.
2. Alhamdulillah syukur  padaMu Ya Allah kerana kau masih memberikan aku rasa untuk aku menikmati rezekimu siang dan malam.
3. Alhamdulillah syukur padaMu Ya Allah kerana kau masih memberikan aku kesihatan untuk aku terus menjalani kehidupan di atas muka bumi ciptaanMu.
4. Alhamdulillah syukur padaMu Ya Allah kerana kau masih memanjangkan usia kedua ibubapaku untuk aku menikmati  redup dan teduhnya kasih sayang mereka kepadaku.
5. Alhamdulillah Ya Allah kerana kau kurniakan aku suami untuk aku menyangi dan disayangi.
6. Alhamdulillah Ya Allah kerana kau kurniakan aku anak-anak untuk aku menikmati indah dan bahagianya  perasaan menjadi seorang ibu.
7. Alhamdulillah Ya Allah kerana kau kurniakan aku sahabat-sahabat untuk aku berkongsi segala rasa yang ada.
8. Alhamdulillah Ya Allah kerana kau memberikan aku peluang dan ruang untuk menjadi seorang pendidik untuk mendidik anak-anak bangsaku.
9. Alhamdulillah Ya Allah kerana kau campakkan rasa cinta dan pengharapanKu kepadaMu di dalam setiap atur langkah yang kulalui.
10. Alhamdulillah Ya Allah kerana kau berikan aku rasa cinta dan sayangku kepada kekasihMu, buah hatiku Rasulullah SAW untuk aku susuli dan teladani.

Tulis ayat-ayat syukur ini baik-baik dan simpan. Sebelum tidur berselawatlah kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW paling kurangpun 100 kali dan selepas itu tidur. Bilamana anda bangkit dari tidur.Bacalah 10 ayat syukur yang anda tulis tersebut. Percayalah anda akan merasa nikmat yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Kenapa? Tak percaya. Ingatkan  satu ayat al-Quran.” Sekiranya kamu bersyukur, aku akan tambah kepadaMu. Dan ingatlah sekiranya kamu kufur, maka azabku amatlah pedih.”
Kenapa saya minta senaraikan 10 sahaja. Sebab jika kita nak senaraikan semua nikmat Allah yang Allah berikan kepada kita, Maka kita tak mampu untuk senaraikan. Cukup dengan senarikan 10 nikmat sehari untuk kita bina kekuatan dan motivasi diri. Cuba anda buat. Anda akan dapat kesannya.