Thursday 4 April 2013

Kedai Pak Su Che Mat dan Pokok Star



Di kampung  Padang Kijang waktu itu hanya ada satu kedai runcit sahaja iaitu kedai Pak Su Che Mat dan kedai tu masih kekal hingga ke hari ini dan diwarisi oleh anaknya yang bongsu Che Usop.  Kedai runcit tersebut menjual barang  keperluan masyarakat kampung  seperti gula, garam, bawang, beras, sabun mandi, sabun basuh  dan sebagainya. Masa dulu tak ada Tesco, Giant atau supermarket besar seperti hari ini. Sekali sekala sahaja saya akan dibawa oleh Mak saya ke Bandar Tanah Merah. Itupun dua kali setahun. Kali pertama  ketika nak beli peralatan dan pakaian sekolah, kali kedua ketika nak beli pakaian dan kelengkapan raya. Di dalam keluarga, saya seringkali disuruh oleh mak saya atau Mak Timah untuk membeli  barang keperluan  seperti gula, bawang atau sebagainya di kedai Pak Su Che Mat yang jaraknya lebih kurang 500 meter dari rumah. Jalan untuk ke kedai perlu melalui dua ladang getah dan jalannya cuma lorong kecil sahaja.
 
Saya tak kisah  untuk ke kedai dan beli macam-macam barang, walaupun waktu itu usia  saya baru  7- 8 tahun. Walaupun masih kecil saya mampu membawa barang yang saya beli dengan selamat. Seingat saya, perkara yang  menakutkan saya waktu itu adalah perjalanan untuk ke kedai.  Ada satu pokok yang besarnya satu pemeluk. Pokok tersebut dikenali sebagai pokok Star. Kenapa Star? Pokok Star adalah pokok kundang. Biji dalam buah star berwarna ungu. Bahasa Kelantan warna ungu dipanggil warna putih star. Oleh sebab itulah pokok kundang itu dipanggil pokok star. Saya memahami asal nama pokok tersebutpun ketika saya sudah besar panjang dan cuba menganalisis sendiri dari mana asalnya nama pokok tersebut. Pokok tu sangat besar dan rendang dan berada  betul-betul di pertengahan jalan  saya ke kedai. Di batang pokok tersebut ada getah hitam yang mengalir panjang seolah-olah air mata yang sedang menangis.  Bila saya hendak ke kedai, saya kena melalui ladang getah dan juga pokok Star tersebut. Orang sentiasa bercerita benda pelik-pelik pasal pokok star itu. Pokok itu dikatakan berhantu. Kalau malam jumaat, orang akan mendengar suara tangisan daripada pokok tersebut. Bila dengar cerita orang tentang pokok tersebut membuatkan perut saya kecut.

Suatu hari ketika Mak saya menyuruh saya membeli gula. Saya terus bergerak, tidak ada kawan yang boleh menemani saya waktu itu kerana adik saya masih lagi kecil.  Dalam perjalanan saya  ke kedai, samada suka atau tidak, saya akan jumpa dengan satu pokok yang amat menakutkan saya itu.  Apa yang saya buat waktu itu. Saya akan berhenti depan pokok dan  bercakap dengan pokok tu.
“Hai pokok, janganlah usik saya ya. Saya ni nak tolong Mak saya beli barang, kalau saya tak tolong  beli barang, mak saya akan marah saya. Kita kawan ya pokok”.

Setiap kali hendak beli barang, setiap kali itulah saya akan bercakap dengan pokok tu.  Masa pulang beli barang pula saya akan cakap terima kasih kat pokok tu sebab tak kacau saya. Itulah yang saya akan lakukan bila saya disuruh membeli barang, sehingga saya rasa tidak takut lagi kepada pokok tersebut.

Bila saya ingat balik peristiwa tu saya rasa geli hati. Namun pengalaman semasa saya kecil mengajar saya sesuatu. Kalau kita takut untuk menghadapi sesuatu kita kena kuatkan semangat untuk menghadapinya. Bercakaplah secara positif kepada sesuatu yang kita takuti, hadapi ia dengan tenang. Insya Allah, benda yang luar biasa akan menjadi biasa untuk kita.

Wednesday 3 April 2013

Ihya' Ramadhan

Ramadhan bakal menjelma lagi. Alhamdulillah dan Insya Allah kita masih lagi dapat merasakan Bulan yang penuh barakah dan rahmat. Semoga Ramadhan kali ini dapat meningkatkan lagi amal ibadah dan juga pahala kebajikan.

Sepanjang bulan Ramadhan sudah pasti para isteri sibuk dengan tugas-tugas di dapur.Memasak juadah hidangan untuk keluarga tersayang.

Tinta buat anak

Anak-anakku

Cuba kau penjamkan matamu, tenangkan fikiranmu,tanya dalam hatimu.. Apakah tujuan hidup kita sebenarnya. Seandainya diri ini mampu berkata-kata pada seluruh dunia dengan suara yang kuat bergema, akan kulontarkan satu jeritan yang menusuk di dalam jiwa... bahawa dunia ini sudah hampir ke penghujungnya, dunia ini sudah terlalu tua, dunia ini hanya menunggu masa untuk binasa.

Hapuskan persengketaan, koyakkan segala permusuhan, lontarkan segala maksiat dan kejahatan, bersihkan diri dengan air suci, supaya jiwa tidak hitam lagi.

Duhai anak-anakku

Fikirkan sedalam mungkin, apa arah kehidupanmu, sematkan ke dalam jiwamu azam dan semangat yang kental, kerana hidup ini bukan sekadar untuk bersuka ria. tetapi ada tujuan dan matlamat yang telah tersedia untuk diterpa.

Indah sungguh pertemuan ini, perancangan Allah yang Maha Kuasa. Hari demi hari, bulan demi bulan dan tahun demi tahun. kita semakin akrab dan bertambah akrab. Allahuakbar3x... Maha Suci Engkau Ya Allah. Terlalu banyak kenangan kami. Namun kami terpaksa akur dengan sunnahMu.. Setiap pertemuan akan berakhir dengan perpisahan..

Ahh berhentilah duhai mata, dari mengalirkan mutiara jernih. Perpisahan ini bukan untuk ditangisi tetapi untuk dikenang, bukan kenangan hari ini, tetapi untuk selama-lamanya.

Mak Timah nenek saya yang hebat


“Orang kalau nak cari isteri, orang akan  tengok halaman rumah dulu. Kalau halaman rumah berkulat, sampah sana sini..itu tandanya anak dara tu pemalas. Anak dara macam tu tak boleh dibuat isteri”. Mak Timah mula membebel. Masa tu saya masih tidak faham apa yang dibebelkan oleh Mak Timah. Satu-satunya nenek kesayangan saya. Itulah salah satu cara orang-orang dulu mencari calon isteri.


 Mak Timah adalah seorang yang sangat disegani di Kampung Padang Kijang.  Mak Timah  satu-satunya anak perempuan kepada pengasas Kampung Padang Kijang iaitu Tok Mahmud. Nama asal Mak Timah (Fatimah binti Mahmood). Mak Timah memiliki banyak kepandaian  antaranya sebagai bidan kampung. Setiap petang ada sahaja perempuan  mengandung datang rumah kami untuk berurut. Selain itu Mak Timah juga merupakan ketua juru masak di majlis-majlis kenduri di kampung Padang Kijang atau di kampung sebelahnya. Mak Timah juga pandai mengandam pengantin dan seringkali dijemput menjadi mak andam di majlis-majlis perkahwinan.  Mak Timah  mempunyai 5 orang beradik yang tinggal di kampung ini iaitu Pak Wa Seman, Pak Ngah Jusoh, Pak Tengah Deloh (Ketua kampung padang Kijang) dan Pak Su Saari ( Guru al-quran tempat saya mengaji). Oleh sebab itu kawan-kawan saya di masa kecil adalah terdiri daripada saudara mara saya sendiri. 

Mak timah juga seorang yang rajin. Sepanjang saya mengenalinya dia seorang yang suka bercucuk tanam. Di sekeliling rumah ditanam dengan macam-macam tanaman. Di tepi perigi ada pokok bunga cina, melur dan cempaka, baunya sangat harum khususnya di waktu pagi. Di hujung kawasan perigi pula ada pokok sireh dan pokok inai daun. Di halaman rumah ada dua pokok mempelam yang besarnya satu pemeluk. Daun pokok mempelam sentiasa gugur. Setiap pagi dan petang Mak Timah akan menyapu daun-daun yang gugur tersebut dan bakar. “Ini untuk halau nyamuk” Katanya. Persekitaran rumah Mak Timah sentiasa bersih mengalahkan rumah yang ada anak dara.
 
Di sebelah kanan rumah ada baruh padi (rumah tempat padi disimpan). Rumah padi dibina tinggi kerana bawa rumah padi adalah tempat tidur lembu. Di tepi baruh padi ada 2 batang pokok kekabu yang sentiasa berbuah. Bila buahnya luruh, Mak Timah akan kutip dan simpan buah tersebut di dalam guni untuk dibuat bantal ataupun tilam.

Di belakang rumah. Mak Timah tanam macam-macam jenis sayur-sayuran dan pelbagai jenis ubi. Antara sayur yang ditanam ialah cili api, cili besar, halia, kunyit lengkuas, serai, daun pandan dan kangkung. Pendek kata  sepanjang saya tinggal dengan Mak Timoh, kami sekeluarga tak payah beli sayur. Terkadang sayur atau ubi yang Mak Timah tanam di jual atau disedekahkan kepada sanak saudara dan juga jiran.

Rumah Mak Timah  yang kami tinggal betul-betul rumah kayu. Tidak ada kipas. Cuma ada satu bilik tidur, tidak ada set kerusi atau set meja makan. Ada satu dapur kayu dan juga serambi dapur untuk diletakkan baldi-baldi air untuk keperluan memasak dan juga mencuci pinggang mangkuk Setiap pagi dan petang, saya akan memunggah air berbaldi-baldi dari perigi ke dapur untuk keperluan memasak dan mencuci pinggan mangkuk.  Masa tu dapur rumah Mak Timah masih lagi menggunakan kayu untuk memasak makanan. Oleh itu aktiviti hujung minggu saya adalah mencari kayu api dengan Mak Timah di ladang getah bagi tujuan memasak Saya akan turut menjujung kayu api yang diikat ke atas kepala untuk di bawa pulang. Seingat saya waktu itu saya baru sahaja berusia 7 tahun. Saya tak pernah merasa letih dan penat buat kerja-kerja seperti itu. Malah saya rasa bangga dan gembira kerana dapat membantu nenek saya.

Di hujung tangga rumah Mak Timah pula ada tempayang air dan batuk (tempurung kelapa, yang pemegangnya di buat daripada kayu digunakan sepagai gayung). Ada serambi yang besar untuk orang lepak dan berbual-bual. Setiap petang ada saja tetamu yang datang melepak di rumah Mak Timah. Dan setiap kali orang datang ke rumah ada sahaja makanan yang dijamu. Suasana di kampung cukup sederhana namun saya gembira, rezeki tidak pernah putus dan masyarakatnya hidup aman damai.

Jadual Mak Timah hari-hari penuh. Saya tidak pernah melihat nenek saya berehat, meriba tangan. Kalau sebelah paginya Mak Timah sibuk menoreh getah. Balik dari menoreh Mak timah sibuk menyediakan makanan tengahari dan juga makanan untuk waktu petang. Sebelah petangnya pula Mak Timah sibuk dengan tanaman sayur atau ubinya. Sekali-sekala dia akan ke sungai memancing ikan.  Mak Timah mengajar saya banyak benda yang berkait dengan kehidupan. Daripada sekecil-kecil benda hinggalah sebesar-besarnya. Saya pula,  kalau hari-hari tidak bersekolah, saya banyak mengikut aktiviti yang dilakukan oleh Mak Timah. Lagipun masa ini,  ibu saya sudah tidak mengambil kisah sangat pada saya kerana dia sarat mengandung adik saya iaitu anak yang ketiga dalam keluarga saya. Sehingga sekarang, walaupun Mak Timah sudah tiada, tapi ilmu yang diajar menjadi pedoman hidup saya walaupun di mana saya berada. “Semoga Allah sentiasa merahmatinya menempatkannya bersama-sama dengan orang-orang yang soleh.”

Tuesday 2 April 2013

Generator dan TV

Saya berpindah daripada tinggal di dalam kem tentera ke kampung ketika berusia 7 tahun. Bersama saya adalah satu-satunya abang saya yang waktu itu berusia 10 tahun. Mek pula sedang menunggu saat-saat kelahiran adik saya. Pada mula kami balik ke kampung, Kami tinggal bersama dengan Mok Timah (nenek sebelah Ibu saya) dan Cik Yaacob (Ayah sebelah mek). Ketika berpindah di Kampung Ayah masih lagi bekerja di Kem Tentera Batu 11, Tanah Merah Kelantan.

Di kampung, tidak ada kemudahan eletrik, tidak ada jalan tar, tidak ada air paip, kemudahan telefon jauh sekali. Setelah berpindah ke kampung, Ayah terpaksa menjual peti ais, dan barangan eletrik yang lain kepada saudara-saudaranya yang tinggal di bandar yang rumah mereka mempunyai kemudahan eletrik. Hasil jualan barang-barang eletrik ayah telah membeli satu generator untuk menerangi kami sekeluarga di waktu malam. Tenaga eletrik yang dihasilkan dari generator ayah tak terhenti di situ, ada dua rumah berkongsi enjin yang sama iaitu rumah Pak Adik Cik Daud dan juga rumah Tuan Soh. Ayah mengambil sedikit sewa untuk membeli minyak generator.

Oleh sebab rumah kami di antara rumah yang ada TV di kampung pada masa itu, Malam minggu rumah kami akan dipenuhi oleh jiran dan sanak saudara yang tinggal berdekatan untuk menonton TV bersama. Kami menonton TV mengalahkan pawagam-pawagam canggih yang ada sekarang. Mok Timah pula seorang yang rajin, jiran yang datang tengok TV akan dijamu dengan macam-macam makanan antaranya ubi keledek, ubi kayu, ubi badak, dan kadang-kadang pisang rebus dengan air kopi atau colek buah pelam muda, paling tidakpun Mok Timah akan jamu tebu yang telah diracik-racik. Itulah snack yang Mok Timah sediakan untuk jiran yang menonton TV di rumah kami.

Tayangan yang paling diminati pada masa itu adalah gusti. Bila ada gusti semua orang bersemangat. Nak-nak lagi Cik Yaacob (Atok lelaki). Bila dia tengok gusti saya yang gelak terkekek-kekek. Cik Yaacob punya semangat berlawan sangat tinggi, sapa yang ada kat depan pasti kena belasah. Pernah saya duduk depan Cik ketika tayangan gusti. Kepala saya kena tumbuk. Cik angkat tangan dan belasah saya tanpa dia sedar. Saya menangis kesakitan. Tapi malangnya tangisan saya diketawakan jiran-jiran. Cik peluk dan gosok kepala saya sambil tersengih.

“Lain kali jangan dok dekat, kalau orang tengah tengok gusti, bahaya, kan tak pasal-pasal kena sakit.” Nasihat Cik Yaacob sambil tersengeh dan menggosok-gosok kepala saya yang terkena penumbuknya. Cik Yaakob terkenal dengan sifat kepahlawanannya di kampung. Dia memang hebat dan mempunyai ilmu persilatan. Kalau ada majlis keramaian Cik Yaacob akan mempersembahkan silatnya dengan diiringi muzik tradisional Kelantan. Pada saya Cik Yaacob memang hebat.

Walaupun kami hanya menonton TV pada hujung minggu sahaja. Namun kami tetap puas dan terhibur. Bila saya teringat balik, kepuasan kami bukan terletak kepada cerita yang ada di dalam TV, tetapi kepuasan kami terletak kepada kehidupan kami yang sentiasa harmoni. Untuk hidup seperti ini tidak memerlukan kepada gajet-gajet canggih. Cukup dengan rasa kebersamaan dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Hakikat sebenarnya generator dan TV ayah telah menyatukan bukan sahaja kami sekeluarga malah sekampung!!!

Monday 1 April 2013

Penghijrahan



Saya dilahirkan di sebuah Kampung yang diberi nama Kampung Padang Kijang di dalam Daerah Tanah Merah Kelantan. Ketika berusia 56 hari, saya telah di bawa oleh ayah dan mek berhijrah Ke Kuala Lumpur, mengikut ayah yang bertugas sebagai tentera di Wardieburn Camp, Setapak Kuala Lumpur. Sewaktu saya berumur 3 tahun sekali lagi saya berhijrah Oya Camp, Sibu Sarawak menaiki kapal laut merentasi Laut Cina Selatan dan ketika berusia 5 tahun saya berpindah ke Majidee Camp Johor Baharu. Sepanjang usia saya 5 tahun. Saya dibesarkan di dalam Kem tentera. Saya tidak ingat waktu itu sebab saya masih lagi kecil. Apa yang saya ingat sebelah petang mek (panggilan ibu saya) akan membawa saya bermain-main di padang yang terletak di dalam kem tentera bersama-sama dengan anak-anak jiran yang juga merupakan anak tentera. Sehinggalah umur saya 7 tahun, saya berpindah ke kampung halaman di mana tempat asalnya ayah, ibu dan saya sendiri iaitu di kampung Padang Kijang,Tanah Merah Kelantan. Perpindahan ini merupakan titik permulaan baru dalam hidup saya kerana disinilah sejarah hidup saya bermula kerana daripada anak yang dibesarkan di dalam kem tentera yang tak pernah pijak tanah berselut, bermain lumpur di tanah bendang, sentiasa berpakaian cantik dan indah. Saya kena belajar hidup sebagai orang kampung.

Secara jujurnya saya merasa sangat bertuah dan bersyukur kepada Allah yang Maha Esa kerana Dia telah memberikan saya peluang untuk merasai dua suasana yang sangat berbeza. Suasana menjadi anak yang orang bandar, yang seharian kena berkurung di dalam rumah, tidak dibenarkan keluar bercampur dan bermain sana sini. Dan satu lagi suasana kampung yang dibiarkan bebas beraktiviti tetapi masih lagi terikat dengan adat dan agama.

Hakikatnya seluruh kehidupan insan mempunyai cerita dan nostalgianya yang tersendiri. Kita sebagai insan adalah pelakon di atas pentas dunia yang bakal melalui epilog suka dan duka di dalam meniti arus masa sementara menunggu destinasi yang kekal abadi. Setiap daripada kita adalah bayi yang dilahirkan ke dunia seperti kain putih, kehidupan dan masa depannya dicorakkan daripada pengalaman yang dilaluinya samada pengalaman itu dibentuk oleh kedua ibubapanya, keluarganya, budayanya ataupun dari persekitarannya sendiri.

Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui apa yang tidak diketahui oleh Hambanya. Allah itu Maha Memberi kepada yang meminta dan Allah juga Maha Pengasih dan juga Penyayang kepada makluknya yang bernama insan. Tidak pernah satupun yang terjadi ke atas kita yang terlepas daripada pandanganNya.

"Ya Allah Ya Tuhanku!.Janganlah Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh kami sendiri, walaupun sekadar sekelip mata."